Tangannya mulai memegang tanah merah itu. Serentak dengan itu, along mulai menangis. Dia bukan meratapi tapi dia cuma ingin melepaskan kesedihannya agar nanti dia tidak lagi bersedih. Dia harus redha dengan ketetapan Tuhan.

"Andai sahaja diberikan peluang untuk along tebus harga diri Ara, along akan buat. Along akan pastikan Mikhail merana dengan semua ni. Tapi.."

Tangannya mengusap air matanya yang berjaya mengaburi pandangannya.

"Along tahu Ara tak suka kalau along balas dendam kan? Along tak buat ye sayang.. along sayangkan Ara dan along takkan buat perkara yang Ara tak suka." Setelah puas meluahkan kata dan rasa, along mencapai jag yang berisi air lalu disiram ke atas pusara adiknya dan dengan itu, along melangkah pergi meninggalkan adiknya sendiri.

Beberapa minit kemudian, Hilman datang bersama Mikhail. Sengaja Hilman tidak mengikuti keluarga Ayra kerana yakin, along tidak akan membenarkan Mikhail turut serta. Jadi, terpaksalah dia berulang-alik setelah mengiringi jenazah ke makam untuk membawa Mikhail menziarah pusara isterinya.

"Assalamualaikum, isteri saya." Permulaan kata yang berjaya mengalirkan air mata di pipi Mikhail. Hilman sekadar diam dan memberikan ruang untuk Mikhail meluahkan rasa. Dia tahu, Mikhail pasti akan menyesal dengan apa yang dilakukan. Rasa serba salah itu takkan mampu dipadam walaupun bertahun-tahun Ayra pergi.

"Saya bukan suami yang baik untuk awak dan saya bukan ayah yang baik untuk anak kita. Saya berdosa dengan awak sampaikan akhir nafas awak pun, saya tak ada di sisi awak. Saya pentingkan diri, saya lupakan awak dan saya abaikan awak."

"Saya selalu sakitkan hati awak selepas saya jumpa dengan Elly. Saya tak pernah fikir perasaan awak. Saya cuma tahu fikir kepuasan yang saya terima je."

Mikhail menggenggam tanah itu dan perlahan-lahan dibawa ke dadanya. "Sayang, damailah dikau di sana. Saya akan tetap merindui dan menyayangi awak walaupun awak dah jauh daripada saya."

"Dia takkan pernah jauh selagi kau tak hapuskan dia daripada hati kau, Mikhail."

Mikhail menoleh ke arah Hilman yang ralit membaca yassin untuk arwah Ayra. "Aku tahu, Izz. Aku tahu." Hilman tersenyum dan menyambung kembali bacaannya. Mikhail juga turut serta menyedekahkan al-fatihah dan surah yassin untuk arwah isterinya.

Setelah menziarahi kubur Ayra, mereka berdua kembali ke hospital untuk melihat keadaan putera sulungnya yang masih perlu dipantau oleh pihak hospital.

"Encik Mikhail?" Panggil jururawat yang bertugas menjaga anaknya. Mikhail tersenyum gembira kerana merasakan bahawa gilirannya sudah tiba untuk melihat anaknya yang masih diletakkan di inkubator.

"Doktor Ameer ingin berjumpa dengan encik." Senyuman itu pudar dan rasa tidak sedap hati mulai bertandang di dadanya.

Apa lagi dugaanMu ya Allah?

Pintu bilik doktor Ameer diketuk dan Mikhail masuk setelah mendapat keizinan daripada doktor Ameer. Mikhail melangkah dengan senyuman yang cuba dilontarkan untuk menyembunyikan rasa gelisahnya.

"Sila duduk, Mikhail."

Mikhail akur lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

"Saya yakin nurse dah bagitahu awak yang anak awak terpaksa dimasukkan ke dalam inkubator kerana paru-parunya masih kecil dan lemah." Mikhail mengangguk. "Tapi, setelah kami melakukan pemeriksaan, bukan sahaja paru-paru, malah jantungnya juga lemah dan kecil. Jantungnya juga tidak mampu mengepam darah yang sepatutnya untuk tubuh badannya. Dukacita dimaklumkan, anak awak sudah pun meninggal dunia beberapa jam yang lepas."

Tika itu, Mikhail merasakan dunianya semakin gelap dan kucar-kacir. Belum hilang merahnya tanah isterinya, kini ditambah pula kehilangan anaknya. Satu-satu waris yang dia punya telah pun pergi buat selama-lamanya mengikut jejak mamanya.

"Mikhaif Safuwan.. anak abah.. kenapa pergi tinggalkan abah?" Ujar Mikhail perlahan seraya menutup wajahnya dengan menggunakan kedua-dua tapak tangannya. Doktor Ameer bangun lalu menenangkan Mikhail yang kehilangan orang yang amat dia sayang.

Dugaan apa lagi yang Kau berikan, ya Allah..

Tak berfikir panjang, Mikhail terus pulang ke rumahnya. Dia tak sanggup lagi melihat jenazah anaknya dikebumikan. Dia tak sanggup melihat anaknya ditelan bumi.

Setibanya di rumah, dia melihat Ellyda sedang mengemaskan bajunya. "You buat apa ni?" Soal Mikhail. Ellyda mendiamkan diri lalu menyerahkan fail yang berisi borang permohonan cerai kepada Mikhail.

"I nak you ceraikan I. I tak sanggup lagi nak jadi hipokrit depan you lagi."

"Kenapa tak cakap awal-awal? Aku pun tak naklah kau jadi isteri aku lagi. Aku tak nak beristerikan perempuan jalang macam kau. Sanggup mencurangi suami dengan tidur dengan jantan lain!"

"You ingat you baik sangat ke? Padan muka dengan you! Ayra dah tinggalkan you dan bukan takat dia je, I pun nak tinggalkan you!"

Mikhail ketawa. "Well, well, well. Bukan kau tinggalkan aku, tapi yang tinggalkan kau. Ellyda Zahra, aku ceraikan kau dengan talak tiga." Lantas dengan itu, Ellyda terus melepaskan baju yang dipegangnya dan memandang Mikhail seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Mikhail.

Mikhail ketawa lalu melambaikan tangannya ke arah Ellyda. Mikhail juga tidak berhenti-henti ketawa melihat keadaan dirinya yang sudah seperti tidak ada hala tuju.

Kehilangan Ayra Sophia..

Kehilangan Mikhaif Safuwan..

Dan kehilangan Ellyda Zahra..

Adakah ini kifarah untukku?

Aku kehilangan semuanya setelah Ayra meninggalkan aku. Aku kehilangan semua kebahagiaan yang aku ada dengan sekelip mata apabila Ayra meninggalkanku. Tiada lagi sesiapa pun menyayangi aku.

"Ayra!!! Saya minta maaf!"

Hatinya berlawan kata. Akhirnya, Mikhail kalah. Lalu dia membaringkan badannya di atas katil rumah miliknya dan Ayra.

Aku dah dapat balasanku dan aku akan terus dapat balasan aku.

Ayra SophiaWhere stories live. Discover now