Berombak naik dada along menahan marah. Isterinya juga tidak berani masuk campur dalam urusan ini. Dia tahu suaminya tengah panas dan pastinya tak mampu disejukkan lagi kerana suaminya itu kehilangan adiknya atau lebih tepat, adik kesayangannya.

"Abah tak menyesal ke kahwinkan dia dengan jantan tu? Along menyesal, abah. Along menyesal sebab dengar cakap Ara yang jantan tak guna ni mampu bahagiakan dia padahal jantan ni mampu sakitkan adik along!"

"Along dahlah. Lupakan apa yang dah lepas. Kalau along ungkit sekalipun, Ayra takkan hidup lagi. Ayra dah pergi dan takkan kembali dekat kita lagi. Jom kita bawak jenazah Ayra balik, okay?" Pujuk abah seraya menarik anaknya ke dalam pelukan. Terdengar hamburan tangis daripada anak lelakinya yang sudah pun memiliki dua orang anak. Dia faham keadaan anaknya yang kehilangan orang yang dia sayang. Ikutkan hati, ingin juga dia hamburkan tangisnya, tapi kalau dia juga lemah siapa yang akan cuba bangkitkan seri keluarga ini lagi?

"Kau beruntung Mikha. Kau beruntung harini sebab aku tak dapat belasah kau cukup-cukup. Tapi kau ingat, aku takkan pernah lupa apa yang kau dah buat dekat adik aku. Isteri kau tu pun, aku takkan pernah lupa apa yang dia dah buat." Along menghampiri Mikhail yang sesekali menyentuh lebam di tepi bibirnya. Sudah dua kali dia mendapat tumbukan daripada wira-wira yang sering melindungi Ayra.

Kolar baju Mikhail dicapai menyebabkan Mikhail mendongak memandang tepat mata along. "Kifarah tu takkan pernah salah menuju mangsanya. Kau buat Ara dan sekarang bini kau buat kau. Kau curang dengan Ara dan bini kau pun buat benda yang sama. Seronok tak rasanya bila dicurangi?"

Mikhail diam. Dia juga tidak berani bertentangan mata dengan along yang marak dengan dendam.

"Aku tanya kau ni! Seronok tak?!" Herdik along sambil ditarik-tarik kolar baju itu agar mencengkam leher Mikhail. "Along, sa..kit." rintih Mikhail. Along tersenyum mengekek.

Perlahan-lahan dia melepaskan cengkamannya. Sesekali dia menggosok tangannya seperti ingin menghilangkan rasa jijik memegang baju Mikhail. "Ya, sakit. Tapi malangnya, aku tak mampu buat kau sakit, sesakit yang Ara rasa. Beruntunglah Mikhail, kau masih diberi hak penjagaan untuk jaga anak kau. Ikutkan aku, jangan harapkan hak penjagaan, hak untuk kau dipanggil ayah pun aku takkan bagi."

Along berlalu pergi meninggalkan Mikhail sendiri di situ. Jenazah yang sudah pun dilakukan bedah siasat di bawa pulang dengan ambulans. Mikhail tidak mengikuti sekali kerana yakin, along pasti tidak mengizinkannya. Jadi, Mikhail hanya mengikuti dari belakang sahaja.

Sampai sahaja jenazah di rumah, tok imam dan orang-orang masjid mulai memulakan memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, dan menyembahyangkan jenazah. Suasana hiba bertandang ke rumah keluarga Ayra. Setelah semuanya selesai, jenazah Ayra dibawa menuju ke perkuburan Islam.

Alhamdulillah, pengebumian Ayra berjalan lancar dan cuaca pun agak elok seolah-olah mengerti. Selesai sahaja, orang-orang masjid mulai beransur pulang dan hanya ahli keluarga Ayra sahaja yang masih bersila di atas tikar. Surah yassin yang berada di tangan dibuka dan dimulakan bacaan serentak.

Seusai sahaja menghabiskan bacaan, abah terlebih dahulu menjiruskan air mawar ke atas pusara allahyarhamah puterinya. Titisan demi titisan mulai membasahi pipi abah yang sedari tadi menahan daripada jatuh. Setelah itu, ibu pula mengikuti jejak suaminya. Usah dikatakan, berjurai-jurai air mata ibu mengalir membasahi pipinya. Tak pernah dibayangkan seumur hidup bahawa Ayra bakal meninggalkannya sebelum dirinya.

"Ibu sayang Ayra." Hanya tiga patah perkataan yang mampu menambahkan kehibaan suasana itu. Setelah kesemua ahli keluarganya menjiruskan air mawar sebagai penghormatan terakhir sebelum melangkah pergi meninggalkan Ayra di situ.

Hanya tinggal along yang memandang sepi tanah yang berwarna merah itu. "Tak pernah along sangka, adik along akan tinggalkan along. Walaupun along tinggalkan Ara selepas along kahwin, tapi along tetap dapat jumpa dengan Ara. Tapi sekarang, along takkan dapat jumpa Ara. Along takkan dapat lihat senyuman Ara. Along takkan dapat dengar suara Ara. Along takkan dapat bergurau senda dengan Ara lagi."

Ayra SophiaOnde as histórias ganham vida. Descobre agora