Bab 4

355 9 0
                                    

"NAJAH..." panggil satu suara. Kami menoleh ke arah wanita yang memanggil Najah. Seorang wanita berbaju kurung warna hijau lumut dan bertudung berjalan ke arah kami.

"Along, baru sampai ke?" tanya Najah. Dia bersalam dan mencium tangan wanita yang dipanggil along itu.

"Haah, baru aje sampai. Hantar Fifi ke taska dulu, merengek tak mahu Pak Karim hantar. Fifi nak along juga yang hantar. Along ingat nak ajak Najah lunch, Najah dah lunch belum ni?" tanya wanita itu.

"Nak pergilah ni, jomlah kita pergi sekali. Along, kenalkan ini Nur Natasha Ameera. Tasha, kenalkan ni Safiyyah Najlah, kak long abang." Najah memperkenalkan aku dengan kakaknya.

Pertama kali aku bertentangan mata dengan Safiyyah Najlah, saudara sulung Najah. Aku gementar berhadapan dengannya. Dia pantas mendahului aku, menghulurkan tangannya kepadaku. Orangnya cantik sekali, ayu dan tinggi lampai. Benar kata Sarah, kakak Najah sangat cantik.

"Nak panggil along atau Kak Safi, ya?" tanya Najah pada kakaknya.

"Kak Safilah..." ujarnya ketika aku berjabat tangan.

"Tasha..." balasku pula. Lembut dan wangi sekali tangan Kak Safi. Selepas bersalaman dia tidak lokek menguntum senyum kepadaku. Hati rasa damai melihat wajah dan perilakunya yang lembut.

"Ini Tasha yang Najah cerita pada kakak tu, ya?" tanya Kak Safi pada Najah. Suamiku mengangguk. Aku tertanya-tanya, apakah rahsia kami sudah diketahui orang? Kami berjalan menuju ke lif dan seterusnya ke tempat letak kereta. Aku hanya diam, mendengar apa yang dibualkan mereka dua beradik. Sesungguhnya mereka berdua amat rapat dan mesra. Apabila menyedari aku seperti 'terasing', Najah pantas menggapai tanganku dan menggenggam erat jemariku.

BMW 3 Series warna perak milik Najah begitu gah di petak yang dikhaskan untuknya. Dia membuka pintu belakang untuk Kak Safi, dia juga membuka pintu untukku seperti selalu.

"Kak Safi seorang aje yang tahu tentang kita, sayang," ucap Najah sebaik sahaja kami semua berada di dalam kereta. Aku menarik nafas lega.

"First time kakak jumpa orang yang buat Najah gila. Manis orangnya. Patut pun Najah jadi sewel semacam, sanggup sambung buat master. Kalau dulu masa mula-mula papa mahu hantar dia ke UK, dia tak mahu pergi. Tiba-tiba aje Najah tak nak balik, pelik juga kakak!" celah Kak Safi dengan mesra. Najah menggapai lagi tanganku. Dia tidak segan berbuat demikian di hadapan kakaknya.

"Najah harap Kak Safi akan support Najah nanti. Najah tak mahu kahwin dengan Farah tu. Dua minggu lepas kami terserempak dengan Farah di Sofitel dengan seorang lelaki."

"Farah nampak kamu berdua ke?" tanya Kak Safi dengan cemas.

"Tak, masa tu Najah dah masuk dalam bilik, baru nak tutup pintu terpandang pula Farah melintas depan bilik kami, Najah pun mengendaplah. Farah tak nampak kami," cerita Najah.

"Entahlah, kakak pun tak faham dengan mama tu. Mama nak kahwinkan Farah dengan Najah semata-mata kerana nak jaga hubungan baik dia dengan Datin Kalsom. Kakak pun tak berkenan dengan Farah tu, gedik semacam aje. Kualiti apa yang mama pandang pada Farah tu pun akak tak tahu. Najah dan papa sendiri pun tak berkenan. Tasha dah jumpa Farah?"

"In person belum lagi, kak. Hari tu pun Najah yang ajak kami mengendap dari balik pintu."

"Bila masa kamu stay kat Sofitel tu?" tanya Kak Safi lagi

"Friday last two weeks kan, sayang?"

"Oh... Hari yang Najah tak balik tu, ya? Kesian adik kakak ni. Lain kali datang aje ke apartmen kakak. Membazir aje tidur di hotel," pelawa Kak Safi. Najah ketawa besar mendengar pelawaan kakaknya. Kak Safi begitu sporting sekali.

JUJUR HATIKU UNTUKMUWhere stories live. Discover now