Bab 3

382 9 0
                                    

SEMINGGU selepas menghadiri temu duga, aku mula melapor diri pada hari Isnin yang mulia ini. Aku jadi tidak lena tidur malam tadi, kerana terlalu bersemangat untuk mula bekerja pagi ini. Petang semalam sewaktu pulang dari bulan madu di Melaka, aku dan Najah sempat singgah di Mahkota Parade untuk membeli-belah. Najah begitu bermurah hati membelikan aku beberapa helai pakaian baru. Sehingga tengah malam tadi aku masih lagi memperagakan pakaian itu di hadapan cermin, seperti anak kecil mendapat baju raya yang baru kata umi.

Mulai hari ini aku terpaksa keluar awal setiap pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas namun aku tidak kesah. Sekurang-kurangnya aku kini tidak perlu lagi jadi bibik. Seawal jam lapan pagi aku sudah sampai di pejabat Najah yang terletak di tingkat 10 di Menara Ansar. Aku duduk di atas sofa kelabu sementara menunggu pengurus sumber manusia masuk ke pejabat.

"Good morning, Azura," tegur satu suara yang aku kenali. Aku menoleh ke arahnya. Pasti Najah yang menegur gadis penyambut tetamu itu.

"Morning, Encik Syahrun," jawab gadis itu. Janggal kedengaran suamiku dipanggil dengan nama Syahrun. Aku menahan senyumku. Sejak aku kenal dia, aku tidak pernah dengar dia dipanggil dengan nama pertamanya itu.

"Zaid tak masuk ofis lagi ke, Zura?" tanya Najah kepada gadis itu.

"Belum lagi, Encik Syahrun. Cik Natasha ni pun sedang tunggu Encik Zaid. Biasanya waktu ini dia dah sampai, hari ni lambat pula," balas gadis itu.

"Tak apa, nanti kalau Zaid datang suruh dia jumpa saya. Natasha boleh ikut saya ke pejabat," arah Najah kepadaku dan gadis penyambut tetamu itu. Tanpa sebarang bantahan aku mengekori Najah ke biliknya. Pejabat itu sungguh kemas dan tersusun. Aturan perabot dan kubikel yang membahagikan ruang kerja antara staf begitu seimbang dan warnanya juga senada.

Kami berhenti di hadapan bilik yang tertera nama Najah lengkap dengan jawatannya. Aku baca plak yang tertera di pintu biliknya.

"Syahrun Najah Hanafi."

"Management Information Systems Manager."

Najah membuka kunci pintu dan menolak perlahan daun pintu itu sambil mempelawa aku masuk. Dia tersengih-sengih memandangku.

"Tasha mesti bising nanti," katanya sambil mengenyitkan sebelah mata. Aku kehairanan, tidak tahu apa sebabnya dia tersengih-sengih.

"Masuklah."

"Ya Allah, abang..."

Terkejut aku melihat keadaan bilik Pengurus MIS itu. Bersepah sungguh!

"Abang, ini bilik abang atau tempat kucing beranak?" tanyaku pada Najah yang masih lagi tersengih.

"Jumaat lepas abang cari fail tak jumpa, habis semua abang geledah. Nak kemas semula tak sempat, tengok jam dah dekat pukul satu. Kalau abang kemas, abang takut tak sempat lunch dengan baby abang ni. Lepas tu tak masuk ofis terus, kan kita pergi Melaka. Lupa?"

Aku tahu Najah bukan sengaja membiarkan biliknya bersepah. Dia seorang yang sangat mementingkan kekemasan dan kebersihan. Aku tahu dia benar-benar kelam-kabut minggu lepas.

"Tasha tolong kemas boleh?" tanya Najah.

"Encik Syahrun, dalam appointment letter saya, jawatan yang diberikan kepada saya ialah eksekutif akaun, bukannya pembantu pejabat," balasku pula. Najah ketawa mendengar aku memanggilnya dengan nama Syahrun.

"Sayang jangan panggil abang macam itulah, geli abang dengar. Dah, tolong cepat kemas bilik ni," tambah Najah sambil mengemas buku-buku perisian yang bersepah di atas mejanya. Aku turut membantunya menyusun fail-fail ke kabinet yang berhampiran. Kertas-kertas yang aku tidak tahu sama ada masih berguna atau tidak, aku satukan menjadi kemas.

JUJUR HATIKU UNTUKMUWhere stories live. Discover now