Bab 1

1.2K 23 0
                                    

PROLOG

Alunan lagu Bersamamu nyanyian Sarah Raisuddin begitu meruntun jiwaku ketika ini. Bait liriknya bagaikan gambaran hidupku yang merindu. Sudah beberapa kali hari ini lagu itu berkumandang di radio dan setiap kali lagu itu berkumandang, seolah-olah membawa aku kembali kepada kisah semalamku. Sesekali dadaku sebak, terkadang pula air mata pasti mengalir bila aku ingat semula peristiwa yang berlaku sepanjang hidup ini. Penuh dengan cerita suka dan tidak kurang juga cerita air mata. Aku sedar, aku perlu kuat untuk lalui hari-hari mendatang namun aku hanyalah wanita biasa yang ditimbuni dengan pelbagai sifat perempuan yang lemah.

Aku memerhatikan umi yang keluar masuk bilik membantuku berkemas sekali gus menamatkan lamunanku. Pantang punya kesempatan, umi sibuk berkemas. Apalah sangat yang ada dalam apartmen ini kerana kebanyakannya milik Kak Safi. Aku cuma menumpang di sini, namun aku bersyukur kerana di rumah inilah aku lalui hari-hari bahagiaku dengan Najah. Di rumah ini kami ketawa, di rumah ini kami bergurau senda dan di rumah ini juga kami menangis. Sesungguhnya aku juga berat untuk berpisah dengan rumah ini, sama seperti saat aku berpisah dengan Najah. Aku ingin tinggal di sini kerana di sinilah kehidupanku bermula. Namun aku harus menurut keputusan keluarga, demi kebaikan diriku dan anak-anak. Di mana-mana sekalipun aku berada, rasa rindu pada Najah tidak mungkin akan terpadam dan rindu itu akan sentiasa hadir dalam hati aku. Ahhh... Rindunya aku pada Najah!

Beberapa kotak mengandungi barang-barang peribadi milik aku, Naufal dan Najwa telah disusun kemas. Esok atau lusa pekerja papa akan membantu aku memindahkannya ke rumah baru kami. Sebenarnya kalau boleh aku tidak mahu berpindah dari apartmen ini. Banyak kenangan indah, memori suka duka yang terakam di segenap ruang. Air mataku pasti mengalir setiap hari jika aku dibiarkan bersendirian. Nasib baik ada umi yang setia menemani aku, Naufal dan Najwa. Jika tidak, aku sendiri tidak tahu apa akan jadi pada kami bertiga.

Aku lebih banyak berangan dan bersendirian di dalam bilik daripada meladeni anak kembarku yang masih kecil. Mujur juga sejak 40 hari yang lalu, mama dan papa sering berkunjung ke mari. Dapatlah si kembar itu menjenguk dunia luar selain dari apartmen ini. Kalau harapkan aku, memang tidak ke mana-manalah anak-anakku kerana aku hanya mahu duduk diam di rumah dan mengimbas semula segala yang indah tentang Najah dan semua kenangan yang kami cipta dalam rumah ini.

Ya Allah, rindunya!

Sudah lebih sebulan dia pergi namun bayangan Najah sentiasa hadir di mataku. Kelibatnya ke sana dan ke mari menjadi mainan di ekor mata. Bau badannya juga sentiasa menghambat hidungku. Malah haruman yang selalu dipakainya masih berbaki di botol. Tiada satu pun barang milik Najah beralih dari tempatnya. Mungkin barang-barang itu akan menjadi barang terakhir yang akan aku masukkan ke dalam kotak atau mungkin sahaja aku tinggalkan semuanya di sini lantas menjadikan rumah ini muzium cinta kami.

Kadang-kadang dia seperti ada di dalam rumah ini dan aku juga selalu tersasul memanggil abang, panggilan yang aku biasa gunakan untuknya. Aku sering kali lupa bahawa dia tidak lagi menjadi penghuni rumah ini dan atas alasan itu jugalah papa, mama dan umi mahu aku berpindah ke rumah baru secepat yang mungkin.

"Tasha perlu suasana baru," kata papa dan dipersetujui oleh ahli keluargaku yang lain. Mereka sepakat mahu aku segera berpindah. Mama begitu bimbangkan aku. Kata mama, aku sering mengelamun dan memencilkan diri. Ya Allah, aku tidak sedar akan semua itu.

Kotak kecil warna biru lembut yang terletak di atas meja konsol itu menarik perhatianku setiap kali aku memandangnya. Aku tidak lagi menyentuhnya sejak kali pertama kotak itu diserahkan kepadaku. Kotak itu umpama sebuah arkib yang menyimpan kesemua kisah hidupku dengan seorang lelaki bernama Syahrun Najah. Hari ini aku gagahkan diri untuk membukanya. Dengan perlahan aku selak kemas kertas pembalut warna putih yang menyelimuti buku itu sebelum aku mengeluarkannya. Aku tabahkan hati lalu aku baca jurnal itu untuk sekali lagi. Aku usap perlahan kulit buku itu, seperti aku membelai Najah dahulu.

JUJUR HATIKU UNTUKMUWhere stories live. Discover now