Bab 2

504 9 0
                                    

DUA bulan setelah kembali ke tanah air, aku belum mendapat pekerjaan yang sesuai. Bukan memilih tetapi setiap tawaran yang aku terima sering kali dibantah oleh Najah. Ada sahaja alasannya untuk tidak membenarkan aku bekerja. Sudahnya sepanjang tempoh ini, aku ditugaskan menjadi 'bibik'. Lucu juga bila Najah lebih suka aku menjadi bibik di rumah. Ini semua idea bijak umi! Bibik pun bibiklah, sekurang-kurangnya aku dapat bertemu dengan Najah setiap hari.

Selepas umi keluar ke politeknik, aku melakukan tugas-tugas mengemas dan membersihkan rumah. Rumah umi yang sedia cantik ini bertambah berkilat dek kerajinanku, sampaikan pasu bunga di luar rumah pun turut aku sental dengan berus dawai.

Namun jauh di sudut hati sebenarnya aku sudah mula bosan duduk di rumah. Hari-hari aku merengek dengan Najah minta keizinan darinya untuk bekerja. Kata Najah, dia lebih senang kalau aku duduk di rumah sahaja menjaga makan minumnya tetapi duduk berjauhan lebih 40 kilometer seperti ini, apalah maknanya kalau aku diam di rumah sahaja?

"Abang, dalam laman web Maukerja hari ni ada jawatan kosong untuk eksekutif akaun, dekat aje dengan rumah umi ni. Boleh ya, bang?" ajuku pada Najah.

"No, no, no... Tasha tak boleh jauh dari abang. Abang risau kalau Tasha kerja nanti, ada orang lain mengurat Tasha," ujar Najah dalam telefon.

"Hesy, abang ni, ingat semua orang tak ada kerja macam abang ke? Kalau abang lainlah, ada banyak masa mengurat Tasha. Siap ponteng kelas lagi sebab nak skodeng Tasha kat flat," kataku pula. Najah tertawa.

"Berapa gaji syarikat tu tawar?" tanya Najah. Aku tersenyum, sepertinya ada peluang untuk aku bekerja. Pasti aku tidak lagi kebosanan di rumah andai Najah memberi lampu hijau untukku. Sekurang-kurangnya dapat pelepasan untuk pergi temu duga dahulu jadilah, dapat kerja atau tidak itu belakang cerita.

"Starting dua ribu, okeylah kan?" tanyaku pula.

"Hmmm, sikit sangat. Macam inilah, Tasha kerja aje dengan abang kat sini... Abang tawar Tasha tiga ribu tidak termasuk elaun dan lain-lain lagi. Macam mana, nak tak?" kata Najah pula.

"Yeayyy, bestnya!" sahutku dengan gembira.

"Tapi abang, jauhlah nak ke JB," sambungku pula.

"Nak ke tak nak? Kalau tak nak, jangan berangan nak kerja kat tempat lain. Last offer ni," beritahu Najah. Suaranya kedengaran seperti mengugutku. Aku tidak mahu kalah dengan Najah, jauh pun jauhlah asal aku dapat bekerja!

"Hmmm, nanti Tasha bincang dengan umi. Tasha mana ada kereta nak ke JB?"

"Abang belikanlah nanti. Tasha nak kereta apa? Esok kita pergi showroom tengok kereta mana yang Tasha berkenan," kata Najah sungguh-sungguh.

"Isyyy, tak payahlah... Susahkan abang aje. Tak apa nanti Tasha bincang dengan umi, boleh kut kalau Tasha pinjam kereta umi. Sebelum Tasha ke pejabat, Tasha hantarlah umi ke politeknik dulu," cadangku pada Najah.

"Mana ada menyusahkan, memang dah jadi tanggungjawab abang untuk menyediakan keperluan dan kemudahan untuk Tasha, isteri abang..."

"Jangan membazir dulu, abang. Nanti bila dah duduk serumah, ada dua kereta pula," ujarku. Aku tahu Najah tidak pernah lokek denganku apatah lagi untuk mengabaikan tanggungjawabnya menjaga kebajikanku.

Sejak aku kenal dia, hidupku benar-benar terjaga dan dilindungi. Namun begitu aku tidak pernah sesekali mengambil kesempatan atas kebaikan hatinya. Aku sudah terbiasa hidup sederhana dengan umiku sejak aku kecil lagi. Cukup sekadar senang tetapi tidak perlu bermewah-mewah. Kata umi, kalau mewah sangat bimbang mengundang riak dalam hati.

Akhirnya Najah mengalah, perihal kereta tidak lagi menjadi persoalan utama bagi kami. Yang penting bagi aku pagi ini, Najah telah memberi kebenaran untukku bekerja. Restu Najah sudah lebih daripada cukup.

JUJUR HATIKU UNTUKMUWhere stories live. Discover now