Gadis itu senyum bermain misteri dengan Faisal. Lirikan mata yang diberi sebelum berpaling pergi begitu bermakna. Faisal hanya mengangkat tangan membalas pergi gadis itu dan tertegun. Bila disemak laju di minda siapakah gadis berkenaan, yang muncul hanyalah imej Selena Gomez dalam pelbagai aksi.

Menyedari hanya dia seorang yang ditinggalkan bersama begnya, Faisal segera keluar dari balai ketibaan. Matanya terus meliar mencari pemandu syarikatnya. Terlihat lelaki yang sedang dalam perbualan telefon. Tangan yang satu lagi rendah memegang kad tertulis HandShake, nama syarikat tempat Faisal bekerja.

"Sikpa, nya dah sampe dah," ujar lelaki itu dalam telefon sebaik melihat Faisal menghampirinya.

"Sori, bos, lambat sikit keluar," ujar Faisal sambil memberi tabik rendah.

"Saya ingat kamu miss flight tadik," ujar lelaki itu sambil berjalan ke arah pintu keluar.

"Haha, takde la, bos. Takpe, lunch aku belanja makan lalapan."

"Bolleeehh..." Senyum pemandunya sampai ke telinga. Soal makan percuma memang tiada siapa yang sanggup berkata tidak. Kemudian mereka berlalu ke arah Ford Ranger putih yang diparkir tidak jauh dari situ.

Gelagat mereka berdua diperhati dua pasang mata yang berdiri melihat dari tingkat dua. Lelaki yang tinggi bertopi corak askar adalah salah seorang daripada mereka. Dia ditemani pemuda Russia yang bertopi putih dengan fon kepala Beats biru.

"Guess your flight arrived first," ujar lelaki berkot kepada pemuda Russia itu. Mata mereka tidak putus mengekori Faisal dan supirnya sehingga masuk ke kereta.

"It was part of the plan," jawab pemuda Russia sambil merehatkan badan di railing bangunan. Matanya melepaskan pandangan pada orang melepak di sekitar booth kereta sewa.

"Russian eh? Dmitri or Anthonov?"

"Sergey. And you, I heard you have many names." Sergey memberikan senyuman yang orang lain boleh rasakan terdapat suatu aura kegilaan di sebaliknya.

"You can call me Ran. For now." Ran turut menyandar sambil memandang sisi ke arah Sergey.

"Ran?" Sergey membuat gaya berlari. Matanya membulat besar. Cukup sifat untuk satu soalan penuh sindiran. Ran hanya membalas dengan muka tiada perasaan. Sergey serta-merta berhenti dan ketawa perlahan. Siapa hendak mencari masalah dengan lelaki yang misinya selalu berkaitan dengan nyawa, pistol dan peluru.

"Your coat makes you look weird. You should wear T-shirt. Like me!" Megah sambil menayangkan T-shirt putih bertulis I Love Malaysia. Telo Inggerisnya pekat Russia.

"Yeah? Look who's talking with a beanie and a big ass headphone in this tropical climate? Tell me, is this the first time you operate around here?" Ran sudah menunjukkan rasa jengkel. Dia sebenarnya selalu melaksanakan misi secara solo. Cuma kali ini dia terpaksa menerima seorang pasangan.

"Sort of..." Sergey mencebik terangguk-angguk sambil mengimbas laju lokasi-lokasi misinya terdahulu. Sebelum ke Malaysia, dia telah singgah di Thailand. Dia mengintai wajah Ran selepas itu. 

Ini juga kali pertama dia bekerja dengan Ran. Pelbagai khabar pernah didengarnya tentang lelaki di hadapannya yang dikatakan mempunyai pelbagai identiti. Persis seorang pengintip rahsia atau agen perisikan. Cuma tiada siapa yang ingat akan wajah atau nama sebenarnya. 

Kewujudannya hanya sekadar cakap-cakap orang sehinggalah dia berada di hadapannya sekarang. Berkening nipis berwarna perang yang hampir tidak kelihatan, bermata biru terang dan berwajah segi persis orang Eropah.

"The coat is essential..." jawab Ran seolah membaca fikiran Sergey sambil menggaru kulit cacat di antara ibu jari dan telunjuk kanannya.

"Of course. This headphone too." Sergey seolah tak mahu mengalah dengan penampilannya.

"How do you hear me without getting off from your playlist?" Ran bertanya lagi. Badannya ditegakkan dan memandang tepat pada Sergey.

"You want to try?" Sergey menanggalkan Beats sebelum fon kepala itu disuakan ke arah Ran. Ran teragak-agak menyambut. Setelah membelek-beleknya dan melihat tiada apa yang meragukan, dia memakainya.

Sebaik sahaja telinga dipekup rapat speaker, dia terputus dengan dunia luar. Yang dia dengar bukan suara tak cukup nafas seorang rapper mahupun rentak bass rave. Telinganya menangkap berpuluh-puluh suara manusia yang sedang berbual. Begitu banyak sehingga dia sendiri tidak dapat menangkap sebarang butir perbualan.

Ran pantas menanggalkan fon kepala itu sambil menjegilkan mata pada pemuda di sebelahnya yang sedang sibuk bermain dengan seekor cengkerik yang muncul entah dari mana. Ran yang selama ini solo tidak pula melakukan apa-apa siasatan mengenai pasangan barunya.

 Bahkan sebenarnya dia mendapat arahan yang dia mempunyai pasangan sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke Miri. Dia sendiri tidak pasti apa kelebihan Sergey. Yang pastinya dia juga bukan calang-calang orang.

"Descartes surely has interesting people in it." Ran menghulur perlahan. Sergey fokus membiarkan cengkerik itu berlari-lari di sekeliling tangan kanannya. Bila ia berhenti di hujung jari tengah Sergey, ia melompat terjun ke bawah tanpa diketahui nasib selepas itu.

"Da..." jawabnya ya dalam bahasa Russia. Tangannya mengambil semula Beats dan dia senyum sebelum ia terpasang kembali di telinga.

PARCELWhere stories live. Discover now