*1*

384 8 0
                                    

"Kepulauan Spratly yang sekian lama menjadi rebutan pelbagai pihak, kini mula dikuasai Kerajaan China yang sudah mula membina pelbagai kemudahan ketenteraan di pulau itu. Menurut jurucakap―"

Faisal menekan butang alat kawalan jauh menukar siaran. Siaran berita tengah malam bertukar kepada siaran komedi slapstik. Matanya mengecil sedikit melihat terangnya skrin televisyen di dalam kegelapan ruang tamu tanpa sinar lampu kalimantang. Kelantangan suara juga perlahan agar tidak mengganggu layaran mimpi jiran sebelah.

Faisal tertawa perlahan tiba-tiba. Lawak si tukang karut menjadi. Aksi dan telatah tidak dibuat-buat. Seolah-olah satu pukauan agar melupakan sebentar realiti yang sedang berlaku.

"Abang... belum nak tidur lagi?"

Suara wanita bertanya dari belakang sambil sepasang tangan yang cukup lembut mula mendakap dirinya perlahan. Haruman dari tubuh isterinya, Anis, perlahan memenuhi ruang hidung. Wangi. Cukup wangi dengan minyak wangi Flower by Kenzo yang dibelinya di Abu Dhabi beberapa bulan lalu.

"Belum lagi. Nak tengok TV sat. Tak boleh nak tidur... tak tau kenapa..."

Bibirnya mengucup perlahan tangan isterinya. Lembut. Selembut sutera baldu lengan isterinya. Dia menoleh ke belakang melihat. Wajah isterinya cukup tenang dan mendamaikan. Balam malam menutup sedikit sebanyak kekurangan muka yang ramai sanggup berhabis menghilangkannya.

Perlahan jarinya mengusap jemari isterinya. Semakin kasar dek tanggungjawab. Persetankan itu kerana tiada yang kekal muda melainkan hati. Mahukan semuanya lembut sehingga ke kuburan, harus dicari bibik bagi mengisi tugas suri rumah. Isterinya pula yang jenis kuat cemburu.

"Sayang nak ke dapur kejap. Abang nak sayang buatkan air ke?" tanya Anis sambil melepaskan ciuman di kepala. Faisal menggeleng perlahan. Matanya kembali fokus ke skrin TV. Siaran ditukar lagi. Entah kenapa hatinya seolah-olah resah. Dia rasakan ada sesuatu yang bakal berlaku. Sesuatu yang membawa kepada sebuah kehilangan yang tiada galang ganti. Mungkin juga sekadar mainan perasaan. Entahlah.

"Err... sayang. Nanti ingatkan abang esok untuk bawa sekali kotak company ye? Boleh pulak kena bawa ke laut esok," laung perlahan Faisal ke arah dapur.

"Kotak apa, bang?" tanya Anis yang sedang berjalan kembali ke ruang tamu dengan dua gelas air kosong. Gaun malam Anis yang melekap di tubuh mendedahkan bentuk badan di setiap langkah. Sebuah keindahan yang tidak jemu dijamu mata. Lagi-lagi di mata lelaki yang baru sahaja enam bulan mendapat lesen halal.

"Entah. Tak pulak bos abang mention apa-apa. Dia cuma WhatsApp kata datang office dan bawa ke lokasi next job."

"Hand-carry alat biasa je kot," Anis memberi sangkaan baik dan mudah. Kepalanya terus direbahkan pada paha suaminya. Dua gelas tadi dibiarkan sahaja tidak berusik.

Faisal menyisir rambut Anis perlahan. Rambut isterinya yang ikal asli dibelai-belai lembut. Hatinya berbunga di kala ini dengan sebuah perasaan cinta. Tapi cinta itu perlu ada tanggungjawab seorang suami si pembekal rezeki ke mulut isteri. Jarinya mengelus perlahan rambut Anis lagi sebelum alat kawalan jauh ditekan lagi. Satu lagi siaran berita, cuma dari saluran yang lain.

"Ini berita yang baru kami terima. Laguna Pirates baru sahaja mengeluarkan kenyataan bertanggungjawab ke atas rampasan kapal dagang milik sebuah syarikat Eropah dua bulan lepas. Kenyataan yang dikeluarkan di laman YouTube itu menyatakan kapal itu telah berpindah milik dan sebarang usaha mencarinya tidak akan membawa hasil."

Faisal menukar siaran lagi. Kali ini dia terus mencari kembali siaran lawak tadi. Hati marhaennya meronta candu duniawi. Kenapa perlu membebankan otak? Dia hanya sekadar tukang pasang talian internet di lautan.

PARCELOù les histoires vivent. Découvrez maintenant