BAB 10

9 1 0
                                    

NADIR menarik nafas lega. Setelah 10 minit berjalan, titik koordinat 11 akhirnya berada di depan mata. Dia menoleh sekitar. Perempuan misteri bersenjata tombak tadi lenyap entah ke mana. Selepas berlari sejauh hampir dua kilometer, tubuhnya terasa aktif semula. Sudah beberapa bulan dia tidak bersenam atau sekurang-kurangnya berjalan jauh.

Nadir melangkah memasuki ruang titik koordinat 11. Dia melihat sekitar kawasan yang agak luas itu. Terdapat tiga lorong dengan pintu gerbangnya masih terbuka luas. Nadir mengenakan Panca semula.

Menurut Yusmal, titik ini ditandakan dengan simbol bintang oleh Yusuf pada peta Silang Maya di dalam jurnalnya dan mungkin di sini terletak salah satu menara. Namun, apa yang berada di depan mata Nadir sekarang hanyalah dinding besi yang bertentangan dengan tiga lorong tersebut.

Nadir mendekati dinding besi. Mungkin perkataan menara hanyalah simbolik kepada lokasi dan bukan berbentuk seperti menara yang sebenar. Mungkin menara yang dimaksudkan hanya sebuah dinding besi dan dia hanya perlu menyelesaikan kata laluannya di situ saja.

Kurang sejengkal jarak tangan kanannya dengan dinding, kod bar pada lengan kirinya bertukar daripada warna putih kepada biru dan garisan hologram kelihatan pada dinding. Serentak dengan itu, dinding besi yang ditumbuhi pohon menjalar, bergerak sehingga terbuka seperti pintu gelangsar.

Nadir berundur sedikit kerana terkejut. "Okey. Pandai. Sekarang, aku kena masuk."

Teragak-agak, namun dia tetap menapak melepasi dinding besi. Tidak sampai lima langkah memasuki ruang di sebalik dinding itu, ia tertutup semula. Nadir yang sedikit tersentak, cuba untuk bertenang.

Dia berpaling semula dan melihat pohon yang berbentuk seperti bonsai. Namun, ia bukan pohon yang biasa dijadikan seni bonsai, sebaliknya dahannya seperti pohon jejawi yang menjalar pada sesuatu, mungkin pagar atau pohon lain yang tidak dapat dipastikan jenis pokoknya. Rimbun dan agak menyeramkan.

"Yus, aku dah masuk titik 11."

Panggilan Nadir tidak bersahut. Dia kerut dahi, menekan alat pendengaran ke dalam lubang telinga.

"Yus?" Nadir ketap bibir.

Adakah dia turut terputus hubungan dengan Yusmal, sama seperti Azil?

Dalam hati mula terfikir kebenaran tekaan Yusmal bahawa mereka sudah diperangkap oleh Yusuf. Entah di mana dia berada. Jika dinding besi itu tidak dapat dibuka, mati reputlah dia di situ.

Nadir menghampiri pohon jejawi yang menjalar begitu rapat antara satu sama lain sehingga menutupi keadaan di sebelah sana. Mungkin juga ia tidak ditanam, sebaliknya pohon jejawi tumbuh melalui benih yang dibawa oleh binatang seperti burung. Dia membelek dahan jejawi. Tidak, ini bukan seni bonsai.

Nadir berundur sedikit dan melihat pohon yang tumbuh rapat-rapat itu sepanjang entah berapa jauh.

"Ini pagar sesat." Nadir terpandang satu ruang kosong di antara pohon-pohon tersebut di mana terdapat dahan dan ranting yang membentuk lubang seperti pintu gerbang.

"Maze." Dan dia mesti masuk.

Nadir melihat sekali lagi pohon jejawi yang rimbun itu. Ia kelihatan agak menakutkan kerana pohon jejawi terkenal dengan pokok yang menjadi tempat kegemaran makhluk halus bertenggek. Dia menelan liur. Habis tawakal, dia terpaksa masuk. Mujur sahaja sekarang waktu tengah hari. Rasa seram itu tidak begitu terasa.

Nadir bergerak melepasi gerbang. Lorong di hadapannya diiringi susunan dahan jejawi yang berbentuk lurus ke hadapan. Dahannya di sebelah kiri bersambungan dengan dahan di sebelah kanan lorong, turut berjuntai dan kelihatan menyeramkan. Dia membuang bayangan yang bukan-bukan.

Nadir melihat sekitar ruang seperti sebuah terowong itu. Alangkah bagus jika dia memiliki peta pagar sesat ini. Namun, ia tidaklah begitu sukar kerana permainan pagar sesat adalah perkara yang paling dia mahir selama ini. Nadir tersenyum sendiri.

Lopak pertama membawa Nadir membelok ke kiri, kanan, kiri dan kemudian lorong yang lurus. Dia berjalan tenang seperti biasa. Keadaan di situ agak bersih dan kemas seolah-olah sentiasa terjaga. Pelik kerana menurut Fuad, Bandar Silang Maya tiada penghuni, malah sudah agak lama disita. Dia malas memikirkan hal itu.

Langkah Nadir berhenti di satu simpang. Dia memandang ke kiri yang entah akan membawanya ke mana. Nadir mara sedikit ke hadapan dan dari jauh dia nampak satu plat kayu berukir tulisan jawi. Nadir meneliti ejaannya.

"Syahadah." Keningnya berkerut sedikit, memikirkan makna perkataan tersebut.

Sekali lagi Nadir menoleh ke kiri. Tidak pasti sama ada perlu belok ke lorong di sebelah kiri atau terus ke simpang di mana terdapat plat kayu itu. Akhirnya dia mara ke hadapan. Tiba berhampiran tempat di mana plat kayu tersebut digantung, Nadir berhenti melangkah. Dia meneliti plat kayu itu agak lama, namun masih tidak dapat mentafsirkan maksudnya.

Lopak itu membawa dia membelok ke kiri. Lorong di situ agak panjang. Nadir memandang kiri dan kanan. Walaupun waktu sudah tengah hari, suasana di situ kelihatan suram disebabkan litupan dahan jejawi di atas kepala. Nadir menggosok belakang leher yang terasa meremang tiba-tiba. Dia melajukan langkah sehingga tiba di simpang seterusnya.

Kali ini terdapat tiga lorong yang perlu dipilih. Nadir menoleh ke kiri kemudian mara sedikit ke hadapan. Dia menoleh ke kiri sekilas dan terus menapak ke hadapan sebelum berhenti. Nadir berundur sedikit untuk melihat lorong di sebelah yang kedua tadi. Dahinya berkerut kerana sekali lagi dia ternampak satu plat kayu bertulisan jawi. Dia menoleh sekilas ke kiri dan kanan sebelum memilih lorong tersebut.

"Solat." Ukiran pada plat kayu itu dibaca.

Nadir memeluk tubuh. Syahadah dan solat. Adakah itu antara klu untuk menyelesaikan kata laluan di menara ini, jika benar pagar ini adalah menara yang dimaksudkan?

Nadir menghela nafas panjang dan memilih lorong itu untuk terus mara. 

MANIPULASIWhere stories live. Discover now