BAB 3

43 1 0
                                    

YUSMAL, Azil, Nadir dan Nori terdongak melihat pintu masuk Bandar Silang Maya yang tertutup rapat. Seawal kira-kira pukul 7.30 pagi, mereka dibawa ke situ. Menurut Fuad lagi, jika tiada masalah yang timbul, mereka mungkin akan berjaya keluar dari bandar tersebut sebelum menjelang senja.

Nori menghampiri dan menyentuh pintu besi setinggi kira-kira tiga meter itu. Ia kelihatan masih kukuh walaupun telah ditumbuhi pohon menjalar di sekitarnya.

Pintu tersebut terletak di tengah-tengah manakala pagar besi di kiri dan kanannya dianggarkan sepanjang dua setengah kilometer. Ia menjadikan jumlah jarak dari hujung pagar kiri hingga ke hujung pagar kanan adalah lima kilometer, seperti yang dicatatkan di dalam jurnal Yusuf.

Azil tersenyum melihat Fuad yang terpegun dengan tiga robot AI yang diciptanya berdasarkan ciri-ciri Kayan daripada salinan pemacu pena milik Fuad. Kayan Raja mewakili Azil, Kayan Belang mewakili Nadir manakala Kayan Kugar mewakili Yusmal. Ketiga-tiganya akan digunakan oleh mereka untuk bertahan sekiranya Leona menyerang.

Fuad mengangguk-angguk sambil membelek tiga Kayan yang terpapar pada skrin tablet phone milik Azil.

"Saya tak tahu rupa sebenar Leona. Saya harap Yusuf takkan cipta robot AI yang lain pula untuk kelirukan kami. Saya dah tambah baik setiap Kayan yang ada di dalam pemacu pena yang Encik Fuad bagi tu. Harap-harap Kayan takkan tumbang di tangan Leona."

Fuad tersenyum. "Tak silaplah saya cari awak semua untuk laksanakan misi ni. Awak bersungguh-sungguh nak bantu saya."

Azil tersengih dan tertunduk segan.

Fuad menyerahkan tiga alat yang diberi nama Dwitiga Padang. Alat berbentuk seperti sebuah telefon pintar itu mempunyai skrin sesentuh dan butang untuk mematikan di bahagian tepinya.

"Jangan lupa. Awak semua mesti musnahkan Leona. Kalau tak, Yusuf akan kekal berkuasa dalam bandar tu."

Masing-masing mengangguk dengan pesanan Fuad yang bernada gelisah itu.

"Encik Fuad jangan risau. Kami tahu apa nak buat." Yusmal menepuk perlahan bahu Fuad.

"Cari apa Azil?" soal Nadir apabila melihat Azil yang tertoleh-toleh ke arah beberapa tempat.

"Arah kiblat."

"Silang Maya ada petunjuk kiblat. Seret butang tepi dekat skrin Dwitiga tu, yang warna hitam. Ia akan papar di mana kutub utara," ujar Fuad.

Azil menyeret butang yang dimaksudkan. Setelah melihat paparan pada skrin, dia mengangguk dan tersenyum.

"Okey. Harap-harap ada cukup air kat dalam tu untuk berwuduk. Sekurang-kurangnya, air minum ke." Nadir tersengih.

"Ada banyak paip air dibina kat dalam tu. Harapnya masih berfungsi," kata Fuad lagi sambil mengeluarkan beberapa peralatan untuk mereka bertiga.

Tiga set cermin mata dihulurkan kepada Yusmal, Azil dan Nadir. Nori membelek cermin mata di tangan Azil.

Fuad mengeluarkan pula alat berbentuk sebatang pen dengan dua hujungnya berwarna biru. Pergelangan tangan kiri Azil dicapai dan salah satu hujung alat tersebut ditekap di atas permukaan kulit Azil. Sebaris kod bar berwarna putih terlakar pada kulit pergelangan Azil.

"Kod bar ni akan bertukar kepada warna biru kalau kulit awak tersentuh garis hologram. Awak perlu pakai cermin mata yang diberi nama Panca ni untuk tengok perubahan warna tu dan juga untuk tahu garisan dinding hologram di setiap lorong. Secara fizikal, yang ada di situ cuma pokok-pokok yang ditanam dalam susunan bersilang dan beberapa bangunan. Selebihnya hanya kawasan lapang, hutan kecil dan mungkin semak samun."

MANIPULASIWhere stories live. Discover now