BAB 4

17 1 0
                                    

YUSMAL melangkah keluar dan menuruni tangga. Dia berhenti seketika di hadapan rumah tersebut. Panca ditanggalkan dan disangkut di leher. Rimas kerana tidak biasa bercermin mata dan ia mengehadkan penglihatan.

Yusmal memerhatikan binaan beberapa rumah kayu yang terdapat di situ. Tidak pasti atas tujuan apa ia dibina. Malah di sekitar kawasan itu terdapat pohon buah-buahan, tidak ubah seperti sebuah ladang.

"Apa diam aje ni? Kau dah jumpa mana-mana menara ke?" Suara Nadir kedengaran lagi.

Yusmal meninggalkan beranda, menapak keluar dari situ. "Belum. Kau sampai mana dah?"

"Hmm, rasanya dah dekat dengan simpang yang kedua. Jenuhlah kalau kena jalan macam ni. Bukannya dekat. Bukan meter, tapi kilometer. Kenapa kita tak bawa masuk motosikal aje tadi?"

Yusmal tersenyum. "Cepat sikit, Nadir. Lagi cepat kita jumpa setiap menara, lagi cepat kerja kita habis. Seeloknya sebelum Leona muncul."

"Bagus juga kalau dia muncul. Teringin juga aku nak rasa macam mana berlawan dengan musuh macam dalam permainan video tu secara realiti macam ni. Bukan senang nak dapat peluang ni."

Yusmal menggeleng-geleng dan tersenyum lagi. "Sembang tu jangan kemas sangat. Sekali kena perambat nanti, kau mungkin serik nak main permainan macam tu lagi."

Nadir ketawa mendatar. "Kasilah semangat. Kau macam nak suruh aku kalah pula."

Yusmal kembali ke lorong untuk meneruskan perjalanan. "Azil?"

Dia kerut dahi apabila panggilannya tidak bersahut, menyebabkan Yusmal terhenti melangkah. "Azil? Azil..."

"Ada. Jangan risau. Saya masih hidup."

Nadir ketawa berdekah-dekah mendengar sahutan Azil. "Apa bendalah kau ni."

Kedengaran Azil ketawa perlahan. "Maaflah. Terleka sikit tadi."

"Leka apa? Kau dah jumpa Leona ke? Dia lawa sangat sampai kau terpikat?"

"Belumlah. Itu yang pelik. Kata Dwitiga Rimba tu hebat sangat. Kita dah masuk begini jauh pun dia belum sedar lagi?"

"Kau harap apa? Leona serang kau?"

"Dah, dah..." Yusmal memintas perbualan mereka. Kawasan hadapan rumah-rumah kayu tadi sudah jauh ditinggalkan.

"Cari semua menara tu cepat. Siapa dah jumpa, bagi tahu segera, macam mana rupanya. Sekurang-kurangnya kita tahu, tinggal berapa lagi menara yang kita belum jumpa. Faham?"

"Baik, kapten!"

Yusmal tersenyum dan menggeleng apabila Nadir dan Azil bersuara serentak.


AZIL melepaskan nafas besar. Berhenti seketika untuk menghilangkan penat dan memandang pintu gerbang tidak jauh dari tempat dia sedang berdiri. Keadaan di sepanjang kiri dan kanan lorong yang dilepasinya tadi tidak ada yang istimewa atau pelik.

Sekarang, dia sudah tiba berhampiran simpang berkoordinat 9. Bermakna, di antara tujuh lorong yang ada, dia perlu memilih lorong manakah yang perlu dia lalui selepas ini. Selepas melepasi lorong ini, pintu di belakang akan tertutup secara automatik. Dia tidak dapat berpatah balik.

Azil mengeluarkan telefon pintar, membuka aplikasi Lang Merah. Dron nano yang sedang terbang di atas sana, digerakkan mara sedikit ke setiap lorong. Ketika Lang Merah tiba di koordinat 15, terdapat sebuah kawasan yang sangat luas. Ia terletak di bahagian paling tepi Bandar Silang Maya.

Azil kerut dahi meneliti bentuk rupa bumi di situ. Lang Merah diturunkan menghampiri sebuah kawasan lapang kemudian diterbangkan ke tepi pagar bandar itu dan kembali semula ke kawasan lapang tadi. Bentuk dan susunan bangunannya seperti sebuah kawasan sekolah. Setelah betul-betul diamati, Azil yakin ia adalah bangunan yang terdiri daripada ruang-ruang kecil seperti bilik darjah.

Pelik. Kenapa dibina sekolah sedangkan tujuan asal bandar itu adalah sebagai tempat pelancongan?

Lang Merah digerakkan mengitari kawasan di situ. Kelihatan agak unik kerana walaupun didirikan sehingga empat tingkat, bangunan di situ dibina daripada kayu, bukan batu dan simen. Lang Merah diterbangkan ke arah sebuah bangunan tunggal seperti dewan, memasukinya melalui celahan kecil bumbung. Dewan itu kelihatan kosong.

Selepas beberapa saat berlegar-legar di situ, melalui lensa Lang Merah, Azil dapat melihat sebuah papan berbentuk seperti bingkai gambar dengan ukiran tulisan jawi di bahagian tengahnya. Berkerut dahinya cuba membaca tulisan itu.

Tuah sakti hamba negeri,

Esa hilang dua terbilang,

Patah tumbuh hilang berganti,

Tak akan Melayu hilang di bumi.

Pantun yang dikatakan dilafazkan oleh Laksamana Hang Tuah itu merupakan pantun yang terkenal di Riau, terukir indah pada dinding kayu dan dihiasi dengan ukiran bunga dan daun di sekelilingnya.

Azil diam memikirkan pantun tersebut. Terdetik dalam hati, adakah itu salah satu menara yang perlu dicari? Dia meneliti tulisan jawi itu lagi. Nama Tuah tersemat di situ. Adakah itu menara Tuah?

Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum. Azil teruja kerana berjaya menemui menara yang pertama. Dia mengawal diri agar tidak memberitahu perkara itu kepada Yusmal dan Nadir memandangkan carian itu dilakukan tanpa pengetahuan mereka. Jika mereka mendapat tahu tentang itu, tidak mustahil Yusuf juga akan mengetahui tentang rancangan rahsianya.

Azil menutup mulut dengan tangan kanan, menahan diri daripada bersorak. Dia menghela nafas panjang untuk bertenang. Cuba untuk tidak memecahkan rahsia sendiri.

Walau sedikit terbatuk-batuk, Azil tetap tersenyum. Dia meneruskan perjalanan, memilih lorong di hadapannya menuju ke koordinat 15 seperti yang tertera di atas peta. Dia perlu cepat sampai di menara yang pertama itu dan cepat-cepat mahu membantu Yusmal dan Nadir.

"Azil, kalau dah penat, rehat dulu." Suara Yusmal menegur.

Azil mengetap bibir menahan rasa teruja. "Saya okey, Abang Yus."

"Jangan paksa diri. Jangan pergi dekat tempat banyak habuk."

"Lain macam abang dengar batuk kau, Zil. Rehatlah dulu." Nadir pula memberi nasihat.

Azil menarik nafas untuk bertenang dan menahan diri daripada terbatuk lagi. Kalaulah Yusmal dan Nadir turut memiliki aplikasi Lang Merah, tentu dia dapat berkomunikasi dengan mereka menggunakan Belantik Lima, bahasa pengaturcaraan hasil ciptaannya.

Ya, dia sangat obses dengan perkara sebegitu sehingga mahu memiliki aplikasi malah bahasa pengaturcaraan sendiri. Dron nano Lang Merah boleh dikatakan pencapaian terbaiknya setakat ini.

"Saya okey. Abang-abang jangan risau."

"Ah, suara kau. Macam seronok aje. Kau tengah mandi spa ke apa?"

Azil mengawal tawanya. "Tak adalah. Saya... teruja tengok bandar ni. Teknologi yang tak tercapai dek akal."

"Tak payah terujalah. China dah buat dulu daripada kita. Orang dah berapa kali naik ke bulan, kita baru nak terhegeh-hegeh kaji bumi sfera atau rata. Setakat bandar macam ni, apalah sangat."

"Huh, kata-kata tu macam menghina aje, bang. Sekurang-kurangnya kita ada juga pencapaian, ada juga kemajuan, ada juga kemahuan nak jadi sama maju macam negara-negara maju yang lain. Hari tu abang kata ni umpama my beloved baby."

"Hmm... bukan my beloved baby abang. Pedulilah."

Sedar tak sedar, kakinya sudah menapak jauh sehingga ke titik tengah di antara dua koordinat iaitu 3 dan 15. Azil berhenti seketika, melihat sekitar kemudian mendongak memandang langit. Cahaya matahari mula terasa membahang. Dia memandang ke kiri dan kanan lorong. Terdapat kawasan hutan di kedua-duanya.

Baru hendak membuka langkah semula, pandangannya menangkap pergerakan di dalam hutan di sebelah kiri. Walaupun ia mungkin sebuah hutan yang tidak begitu tebal, namun segala kemungkinan perlu difikirkan. Bagaimana jika muncul seekor harimau di situ lalu mengejarnya? Atau beruang yang besar dan tinggi tiba-tiba keluar dari hutan itu dan menerkam ke arahnya?

Azil segera membuang telahan yang bukan-bukan itu. Ia sebuah projek yang direka. Sudah tentu, hutan di kedua-dua kawasan itu adalah hutan yang sengaja diwujudkan juga. Azil meneruskan langkah menuju ke kawasan bangunan sekolah yang disangka menara Tuah tadi. 

MANIPULASIWhere stories live. Discover now