BAB 8

11 1 0
                                    

KELIBAT Leona sudah lenyap.

Nadir melakukan akses ke dalam aturcara Dwitiga Padang untuk melihat kerosakan Kayan Belang. Sehinggalah dia menemui punca yang menyebabkan tangan kiri Kayan Belang tidak dapat digerakkan. Nadir mengerut dahi apabila terbaca beberapa arahan yang pelik pada skrin atur cara Dwitiga itu.

Sebaik terbaca perkataan 'lamela' pada salah satu baris arahan, Nadir diam memikirkan bagaimana arahan tersebut boleh berada di situ. Walaupun tidak pasti, dia mengandaikan satu kesimpulan. Serangan hendap.

Leona melepaskan virus Lamela tanpa diketahui oleh pihak lawannya. Ia agak logik kerana mereka sendiri tidak tahu bagaimana bentuk senjata bernama Lamela yang digunakan oleh Leona itu. Senjata itu dilepaskan dalam bentuk arahan yang merosakkan Kayan daripada dalam.

Nadir tersenyum sumbing. Mujurlah dia terfikir untuk memeriksa atur cara Kayan. Cara itu banyak digunakan dalam beberapa permainan video yang memerlukan strategi pemainnya. Tidak hairanlah Leona turut memiliki cara sebegitu.

Lebih mengagumkan, robot AI Leona yang asalnya berfungsi memudahkan urusan manusia dalam pelbagai perkara, kini memiliki senjata bernama Lamela dan boleh berlawan seperti di dalam sebuah permainan video. Yusuf tahu kelemahan pihak lawannya.

Nadir memadam beberapa arahan tersebut dan mengaktifkan semula pergerakan tangan kiri Kayan Belang. Dia tersenyum simpul sebaik Kayan berjaya dibaiki.

Nadir memandang sekitar. Tidak sedar dia sudah berada begitu hampir dengan koordinat tujuh. Kayan Belang direhatkan seketika.

"Yus, aku dah tahu macam mana virus Lamela tu berfungsi." Nadir mengerut dahi. "Yus?"

"Teruskan. Aku dengar." Suara Yusmal tercungap-cungap seperti sedang berlari.

"Kau... kenapa?"

Yusmal tidak menjawab pertanyaannya. Nadir hendak bersuara lagi, namun terhenti apabila perempuan misteri yang berada di atas tembok besi tadi, sudah berdiri di atas tanah tidak jauh daripadanya.

Nadir kerut dahi. Diam memikirkan kemunculan perempuan misteri itu. Jika itu adalah hasil penggandaan tubuh oleh Leona, bermakna Leona bukan saja mampu menggandakan tubuhnya, ia juga mampu menukar penampilan diri dari segi pakaian dan sebagainya. Mungkin juga binatang berupa musang itu adalah salah satu senjata Leona.

"Huh... patutlah pun. Ingat Kayan saja boleh bertukar pakaian?" Nadir tergelak sendiri.

"Kenapa aku tak terfikir?" Dia menggeleng-geleng mengenangkan otak sendiri yang lembap.

Nadir memandang perempuan yang disangka robot AI seperti Leona itu dari atas ke bawah. Binatang berupa musang tadi tidak ada pula di sisi perempuan tersebut. Baru hendak mengaktifkan semula Kayan Belang, Nadir terfikir sesuatu.

Perlahan-lahan tangan kanannya menanggalkan Panca dan dia terkejut apabila melihat susuk tubuh perempuan itu masih berada di situ. Nadir menggosok matanya berkali-kali untuk memastikan dia tidak salah melihat.

Nadir terdiam, tidak pasti lagi dengan apa yang sedang dia saksikan ketika ini. Dari atas ke bawah penampilan perempuan itu diperhatikan. Berbaju sedikit lusuh, berlengan panjang yang longgar dengan seluar panjang berwarna hitam juga sudah lusuh. Sepasang kakinya memakai kasut sukan dengan sedikit kesan seperti tanah lumpur. Rambutnya yang panjang mencecah ke bahu didandan rapi.

Adakah itu manusia sebenar?

Perempuan itu hanya diam merenung Nadir dari sebalik topeng muka yang diperbuat daripada kayu. Nadir terundur sedikit apabila binatang yang merupakan seekor musang muncul dari arah belakang perempuan itu. Baunya seperti haruman daun pandan. Mungkin ia adalah seekor musang pandan.

MANIPULASIWhere stories live. Discover now