BAB 5

11 1 0
                                    

NORI mengerling Fuad dan dua anggota polis itu. Telefon pintar terus dibelek bagi mengelak rasa curiga mereka. Pintu hadapan Bandar Silang Maya sudah tertutup rapat sejak awal pagi tadi. Fuad dan dua anggota polis yang dikenali sebagai Konstabel Budi dan Koperal Nordin masih menanti di situ.

Nori mengetap bibir. Situasi ini sedikit rumit. Dia perlu melakukan sesuatu di situ. Nori menilik jam di pergelangan kiri yang sudah menghampiri pukul 9.00 pagi. Mahu atau tidak, dia mendekati mereka semula.

Fuad tersenyum apabila Nori sudah berada berhampiran mereka. Perbualannya dengan Budi dan Nordin terhenti seketika.

"Saya harap mereka dapat melepasi halangan-halangan kat dalam tu."

"Kami ni orang biasa aje, Encik Fuad. Yang paling bijak antara kami adalah Azil. Dia selalu ada akal untuk selesaikan bila ada masalah."

Fuad mengangguk.

"Kalau ada minat dalam benda yang kita buat, tak kira sesusah mana, pasti akan berjaya. Betul tak, Encik Fuad?" Nori tersengih.

Fuad mengangguk-angguk lagi.

"Saya pun tak terfikir nak cipta Kayan untuk buat penggandaan tubuh sama macam Leona. Selama ni saya cuma fikir macam mana nak godam dan padam kata laluan kat menara-menara tu saja. Syukurlah Yusmal setuju dengan tawaran kami."

Nori mengangguk, diam memikirkan bagaimana hendak melaksanakan rancangan rahsianya bersama Azil tanpa disedari oleh Fuad, Budi dan Nordin.

"Err... Encik Fuad, saya nak minta diri dulu. Ada hal sikit."

"Eh, tak apa. Silakan. Saya dan dua anggota ni akan tunggu kawan-kawan awak kat sini. Awak jangan risau. Kalau ada apa-apa masalah, kami akan pastikan mereka selamat keluar. Kami bersedia pada bila-bila masa saja."

Nori tersenyum dan mengangguk sebelum berlalu ke kereta semula. Sebaik memasuki Myvi miliknya yang diparkir bersebelahan Bezza milik Yusmal, aplikasi yang diberi nama Lang Merah segera dibuka. Terpapar pada skrin komputer ribanya pemandangan Bandar Silang Maya dari atas.

Nori menekan klik pada butang yang terpapar. Selepas beberapa pautan dibuka, skrin komputer riba akhirnya menayangkan keadaan seperti sebuah kawasan riadah dari pandangan sisi seseorang.

Nori tersenyum. Lega kerana Azil berjaya menerbangkan Lang Merah tanpa pengetahuan sesiapa, termasuk Yusmal dan Nadir. Pandangan seseorang itu adalah pandangan Kayan Salju yang sudah berada di dalam bandar berkenaan.

Harap aku tak terlambat, bisik hati kecilnya. Walaupun tanpa Panca dan Dwitiga, dia berharap kehadiran Kayan Salju sedikit sebanyak dapat membantu tiga sahabatnya itu dari luar Bandar Silang Maya. Nori memandang Fuad sekilas, sebelum menghidupkan enjin dan memandu meninggalkan tempat itu.

"Raja, Salju masuk." Nori cuba menghubungi Azil.

Suaranya yang diterjemah kepada bahasa Belantik Lima, dihantar kepada Azil. Namun, tidak ada sebarang balasan daripada Azil. Nori kerut dahi, bimbang jika ada apa-apa yang terjadi ke atas anak muda itu. Mungkin silap mereka merancang tanpa pengetahuan Yusmal dan Nadir.

"Raja, Salju masuk." Sekali lagi dia cuba berhubung dengan Azil, berharap mesejnya akan dibalas kali ini.

Nori mula gelisah. MyVi yang sudah dipandu semakin jauh, diberhentikan di bahu jalan. Nori membelek skrin komputer riba. Pandangan Kayan Salju masih sangat jelas walaupun agak jauh dari Lang Merah yang sedang berlegar-legar di Bandar Silang Maya. Brek tangan ditarik. Tempat duduk pemandu ditolak sedikit ke belakang. Nori menanggalkan kasut dan duduk bersila. Komputer riba diangkat dan diletakkan di atas riba.

MANIPULASIWhere stories live. Discover now