Bab 15

691 11 4
                                    

SABRINA menarik sehelai dress mini berwarna merah hati, lantas dipertontonkan kepada Kathy.

"Sesuai untuk Kathy. Cantik!" Sabrina memadankan dress itu pada tubuh Kathy.

Kathy menatap lama-lama pantulan dirinya di atas permukaan berkilat yang berketinggian kira-kira lapan kaki.

"Pandai auntie pilih. Memang cantik." Dia memuji sekadar ingin mengambil hati. Walhal fesyen sedemikian ketara lapuk buat dirinya.

"Ini... Biar auntie yang bayar. Istimewa buat bakal menantu auntie." Sabrina tersenyum lebar.

"Sure, auntie. I suka sangat!" Kathy ikut sama tertawa halus. Dia berlegar-legar di setiap ceruk butik berkenaan. Membelek beberapa helai busana yang lebih tertutup, labuh dan kelihatan sangat janggal jika tersarung di tubuh sendiri.

Entah kenapa, bayang gadis itu kembali menduduki fikiran. Dia cuba membandingkan apa yang dia punya dan apa yang tidak ada pada gadis bernama Nurul Ain.

Ya... Jelas dan cukup bersuluh.

Kathy mengatur gerak kaki mendekati cermin itu lagi. Kembali menyaksikan keterbukaan pada tubuh miliknya. Persalinan yang dinilaikan mencecah ratusan ringgit, direka penuh gaya dan seni hebat, ternyata masih kekurangan sesuatu.

Aurat.

Hal itu yang tidak pernah dititikberatkan.

"Come."

Gema suara Sabrina mengejutkan Kathy. Terkocoh-kocoh dia memaut lengan wanita itu dengan manja sekali.

"KENAPA Kathy senyap dari tadi? Are you okay?" Sabrina menyoal hairan. Kebiasaan Kathy akan berceloteh apa pun ketika mereka keluar bersama. Gelak tawa gadis manis itu juga sentiasa mengisi pengembaraan mereka di pusat membeli-belah, ternyata hambar kini. Gadis itu lebih cenderung untuk melayani perasaan sendiri.

"I'm okay, auntie." Lentur bibir tidak punya seri.

"I don't think so." Jari telunjuk Sabrina bergerak ke kiri dan ke kanan.

Senyum halus Kathy muncul lagi. Fettuccine bersalut sos carbonara disumbat ke dalam mulut.

"Betul... I okey aje."

"Are you sure? Atau anak bujang auntie ada cakap apa-apa pada Kathy?" Sabrina curiga. Kening sudah jatuh ke bawah dan nyaris bercantum.

Kathy menggeleng. Sukar untuknya mematikan tayangan yang kian giat merusuh fikiran. Berulang-ulang kali memaparkan jasad sendiri duduk bersama Tengku Hanif.

"Kathy, I hargai perasaan you tapi you kena faham satu perkara. Perkara yang I rasa dah lama you sedar tapi you sengaja buat tak endah."

"Apa maksud you? I tak faham."

"Kathy..."

Matanya lama menerkam paras lelaki yang sangat didamba cintanya.

"I tak pernah cintakan you. Sayang I pada you... Macam I sayang adik I sendiri. Macam saudara kandung. Tak lebih dari tu."

Ketika itu, air liur ditelan terasa sungguh kelat. Seumpama cecair itu mempunyai duri-duri halus, lantas menyakiti anak tekak.

"Kathy sayang..."

Pandangan mata menjulang paras Sabrina. Wanita itu sedang mengulum senyum nipis. Menampakkan kemesraan yang bukan satu tempelan pura-pura semata. Dengung bicara lembut Tengku Hanif sedikit demi sedikit hilang dari pendengaran.

Sebagaimana penerimaan Sabrina, dia mahu Tengku Hanif juga berperasaan begitu. Bukan sahaja menerima, bahkan mahu lelaki itu berkongsi rasa cinta yang kini hanya dirasai olehnya seorang. Namun hakikat bahawa secebis pun kewujudan diri tiada menghuni relung jiwa lelaki itu, membuatkan dia tersedar daripada mimpi.

Terasa diri terhenyak kasar meskipun cara lelaki itu menolak jelas budiman. Tiada tutur kata kasar sehingga mencarik-carik hatinya. Tidak juga menendang dia bagai sebiji bola.

Ah, itu yang menambah getar dalam dada. Bukan semakin meminggir, malah ia kian giat menghempas dasar jiwa.

Tengku Hanif tidak pernah salah mentafsir. Sengaja ditulikan telinga, dibutakan mata. Dia langsung enggan ambil pusing kenyataan tentang status hati Tengku Hanif, bahkan dia lebih ligat mengejar. Kerana dia ingin membuktikan bahawa status 'adik' mampu bertukar seluruhnya menjadi 'permaisuri'.

"KAU kena kejar 'permaisuri'. Lepas tu, checkmate!" Buah chess dipusing-pusingkan, selajur objek kaca yang mempunyai kedudukan paling tinggi dalam kasta permainan tersebut dijentik jatuh.

"I won't." Badri menggeleng.

Bulat mata lelaki berjambang halus yang sejak tadi mengulum senyum kecil.

"Kenapa?"

"Aku tak nak."

"Yalah... Tapi kenapa?"

Dagu dipanggung menghadap Kaisah. Helaan nafas jelas memberati dada.

"Itu urusan mereka. Urusan yang... Pada aku dah basi, Kai." Badri angkat punggung. Dia mula mengorak langkah meninggalkan Kaisah. Kaki dipacu memasuki rumah pusaka milik keluarga yang menjadi warisannya kini. Sejurus itu, anak tangga didaki sehingga menemui sebuah bilik di bahagian kiri. Pandangan menebak daun pintu tersebut dan untuk beberapa saat, dia dirangkul pelbagai perasaan yang datang entah dari mana.

PINTU bilik solat ditolak perlahan. Di situ dia lihat susuk tua Tun Akhbar sedang berteleku di atas tikar sembahyang. Lama tercatuk. Dia tahu, lelaki tua itu sudah selesai menyempurnakan solat maghrib ekoran terdengar sayup-sayup bacaan surah Yasin. Dia tahu kepada siapa bacaan itu disedekahkan.

"Apa yang kau mahu?" Tiba-tiba lelaki tua itu menyergah dalam suaranya yang ditahan-tahan. Tubuhnya kekal terpunduk begitu.

Badri tidak jadi menutup pintu. Dia berdiri dengan tubuh condong pada rabung pintu. Nafas dihela lambat-lambat.

"Apa dosa mereka?"

"Siapa?"

Badri terdiam sejenak. Belakang tubuh tua itu diamati lama.

"Keluarga Awang..."

"Diam!"

Badri terkesima. Ketika itu, Tun Akhbar sudah membenamkan renungan maha tajam ke arah Badri. Jika renungan itu boleh membunuh, pasti sudah bercerai nyawa dari batang tubuh Badri.

"Bukan salah mereka..."

"Salah lelaki bodoh tu kerana mencintai perempuan tu!"

Tun Akhbar bangkit dalam kepayahan.

"Kerana lelaki tu, anak aku mati. Anak perempuan aku... Mati. Mak kau! Mak kau mati kerana dia! Kau sedar tak?!"

Badri mengikat lidah. Dia ternampak kekusutan merajai paras Tun Akhbar. Ada sesuatu yang melapisi riak muka berkedut lelaki itu tetapi dia tidak mampu menebak puncanya. Entah, dia tidak tahu.

ENTAH dari mana datangnya kekuatan untuk meluahkan rasa hati yang selama ini menduduki dada. Bukan niatnya hendak melukakan hati Kathy tetapi dia terpaksa. Jika dibiarkan lama-lama, pasti Kathy lebih kecewa.

Dia duduk bersandar dengan anak mata menujah ke arah meja yang di atasnya terletak sehelai salinan dokumen sah milik puteri tunggal Awang Kader. Lama dia memerhatikan susunan abjad-abjad yang membentuk satu nama. Kemudian fikirannya pula memantulkan paras seseorang. Sejurus itu bibirnya mengulum senyum. Lenturan senyumannya itu membahasakan sesuatu yang begitu ghairah memenuhi lapangan jiwanya.

"Saya baru sebulan kerja sini. Jadi tak berapa mahir tentang nama bunga."

Ketika itu, dia sudah terpegun. Dadanya berdetak kencang bagai hendak pecah. Cuma dia kurang arif apakah gerangan perasaan yang begitu aneh meneroka dalam dirinya sehingga setiap urat saraf juga dijelajah.

Dia pejam mata.

"Kau akan menemuiku nanti."

Dengungan suara itu kembali menjejak deria pendengaran. Sakit dadanya ekoran sering menduga-duga.

Malam tadi dia bermimpi lagi.

Mimpi bertemu seorang perempuan di tempat indah tidak bermata.

आप प्रकाशित भागों के अंत तक पहुँच चुके हैं।

⏰ पिछला अद्यतन: Dec 31, 2019 ⏰

नए भागों की सूचना पाने के लिए इस कहानी को अपनी लाइब्रेरी में जोड़ें!

Hingga Akhir Nafaskuजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें