Bab 8

424 8 0
                                    

Langkah Lufiya terhenti seketika tatkala terlihat jasad Irfan datang menghampirinya. Lelaki itu tersenyum halus. Sapaan lembut dibalas mesra oleh lelaki yang berstatus anak saudara kepada Awang Kader.

"Dah nak keluar lunch?" Irfan tertoleh-toleh seumpama sedang tercari-cari sesuatu ketika meluah pertanyaan kepada Lufiya.

"Yep!" Lufiya menjawab dalam senyuman panjang. "Encik Irfan cari apa? Tengku dah lama keluar."

Lekas kepala menggeleng laju. Bukan itu niatnya ke sini.

"Lufiya..." Wajah wanita kelahiran Kelantan itu direnung lama-lama sehingga memutikkan perasaan hairan di pihak Lufiya.

"You ada assistant?"

"Nurul Ain?" Termuntah nama itu dari mulut Lufiya.

"Yes... Nurul Ain."

Jeda sejenak. Irfan seolah-olah memikirkan sesuatu.

"Lately ni you banyak kerja?"

Lufiya termangu.

Sejurus Irfan ketawa kecil. "Jangan salah faham. I cuma pelik bila tiba-tiba you ada assistant. I think you tak perlu pun pembantu, kan? Sebab I tahu, you seorang pekerja yang sangat bagus." Demi mengelak sebarang kecelaruan komunikasi, Irfan segera memuntahkan patah-patah bicara yang mengangkat Lufiya selaku pekerja yang sudah agak lama berkhidmat di syarikat ini. Bahkan apa yang terlontar keluar bukan sekadar cakap-cakap semata kerana Lufiya sememangnya seorang pekerja yang cemerlang.

Tiba-tiba Lufiya ketawa. Kemudian dia berkata, "Tengku assign Nurul Ain pada saya untuk sementara saja, Encik Irfan. Dia kena belajar sikit-sikit sebelum Tengku bagi real job pada dia."

"What do you mean by real job?" Jari telunjuk dan jari hantu tegak mencucuk langit sebelum kedua-dua jarinya membengkok separuh dan bergerak dalam kiraan dua kali, seiring sebutan 'real job' yang dilantun suaranya.

Lufiya tidak tahu bagaimana caranya hendak menjelaskan situasi kerja Nurul Ain. Baru beberapa hari lepas Tengku Hanif menerangkan kepadanya tentang rancangan lelaki itu untuk meletakkan Nurul Ain di satu posisi kerja yang sesuai dengan bidang pengajiannya. Malah dia berbesar hati untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman sendiri sepanjang berkhidmat di syarikat ini kepada Nurul Ain sebagaimana saranan Tengku Hanif.

Lufiya menoleh ke belakang pada ketika corong pendengarannya menangkap bisikan yang sayup-sayup menembusi corong telinga. Tiga orang sahabatnya sedang memandang ke arah mereka sambil tersenyum-senyum.

"Nurul Ain keluar dengan you sekali? I tak nampak dia pun."

Lufiya menggeleng tanda menidakkan. "Awal-awal lagi dia dah keluar. Tengku minta dia uruskan sesuatu."

"Sesuatu?" Berkerut dahi Irfan. Dia mahu lebih pencerahan namun apa yang dikehendaki tidak mampu diperoleh daripada Lufiya kerana wanita itu tidak tahu urusan apakah yang diberikan Tengku Hanif kepada Nurul Ain.

Irfan mengangguk sahaja ketika Lufiya meminta diri. Ekor mata menyoroti lenggang wanita itu. Sejurus itu, dia terkenang-kenang pertemuan pertamanya dengan Nurul Ain di pantri. Disusuli pertemuan kedua ketika menghadiri mesyuarat minggu lalu.

"Nurul Ain." Nama itu dibutirkan secara nyata.

"SEJAK akhir-akhir ni, Datuk macam stres sikit. Jadi saya nak minta jasa baik awak tolong belikan bunga dan letak atas meja Datuk. Every morning, boleh?"

Kepala menunduk merenungi jambangan bunga hybrid tea.

"Datuk ada alahan pada bunga tertentu?"

"Tak. Dia tak ada alahan apa-apa."

Hingga Akhir NafaskuWhere stories live. Discover now