Bab 3

802 13 0
                                    

NURUL AIN terundur beberapa langkah ke belakang.

"Mata letak mana?!" Tiba-tiba perempuan itu menjerkah garang. Mukanya berkerut-kerut seumpama sedang menahan sakit yang teramat sangat. Selang beberapa saat kemudian, muncul pula seorang wanita yang anggun berbaju kurung pesak gantung yang teradun warna lembut dan berbunga meleret penuh namun tidak nampak berserabut. Cantik sahaja dipandang mata.

"Lain kali, mata tu jangan tinggal dekat kepala lutut." Jerkahan kali kedua tidak segarang tadi. Suaranya mendatar sebagai tanda amarah sang dewi belum pun surut.

"Sudahlah tu, Kathy. Tak sengaja tu." Sabrina cuba memujuk.

"Tengoklah ni, Auntie Na. Sakit lengan I kena langgar. Dia ingat I ni kayu balak agaknya." Kathy membega-begakan muka. Kemudian menyalurkan satu rintihan agar terpancing rasa simpati wanita itu. Namun ternyata, sifat budiman lelaki pujaannya diwarisi daripada induk yang cukup santun menjaga bicara.

"Maaf." Nurul Ain tertunduk-tunduk.

Sabrina lekas menyentuh bahu gadis itu. Dia tersenyum kemudiannya. "Tak apa, bukan sengaja."

Selanjutnya, sorot mata beralih kepada Kathy pula. "Kalau teruk sakit lengan tu, auntie bawa Kathy jumpa doktor. Ya?"

Apalah daya hendak memuntahkan amarah yang telah pun terjirus sejuk. Lalu Kathy mengangguk tanda bersetuju namun sempat juga mengerling Nurul Ain. Tetapi tidaklah pula seperti hendak ajak bergomol kasar.

"Auntie..."

Langkah mereka serta-merta berayun perlahan.

Jari-jari runcing Kathy bersulam sesama sendiri. Hendak diluah terasa panas muka. Jika dipendam lama-lama, tidak pula tertahan menampung beban. Sekalipun berkali-kali disua ke anak telinga bahawa dialah pilihan tunggal Sabrina sebagai bakal menantu, cakap-cakap sedemikian tentulah membuatkan diri berasa tidak aman kerana jelas Tengku Hanif seakan-akan menolak dirinya selaku bakal isteri.

"Betul ke auntie nak I jadi isteri Hanif?" Ragu-ragu dia menyuarakan persoalan. Sabrina tertawa kecil. Lengan Kathy dielus lembut. Pandangan anak mata sempat meneliti paras si cantik yang diberi nama cukup indah - Siti Khadijah.

Zahirnya, Kathy menyarung bayang-bayang fesyen orang barat. Pakaian itu jika tidak singkat di kaki, pasti hilang kain pada lengan seperti ketika ini. Busana yang dikenakan cukup mempamer setiap lekuk tubuh Kathy, lantas membuka peluang kepada mata-mata nakal yang melihat untuk mendapatkan dosa tanpa mereka sedar.

Namun jauh di sudut hati dia percaya, zahir Kathy boleh dibentuk. Fizikal yang terpampang sekarang mampu menyarungi peribadi seorang gadis timur yang penuh dengan kesantunan. Dan dia yakin, Tengku Hanif ialah Si Adam yang ditakdirkan untuk membentuk peribadi Kathy.

"Ya... Tak ada orang lain selain Kathy." Dia meyakinkan.

Menara Group merupakan sebuah syarikat anak tempatan yang begitu berjaya dalam arena hartanah. Firma hartanah ini adalah legasi keluarga Tan Sri Awang Khir yang mana kemudiannya diwarisi oleh anak lelakinya, Datuk Awang Kader. Kecekapan Datuk Awang Kader menguruskan Menara Group telah mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu di dalam negara ini, yang juga mula menerokai pasaran luar negara termasuk Singapura dan Thailand.

Legasi keluarga itu kini bakal diwarisi oleh satu-satunya anak lelaki Datuk Awang Kader dan isteri iaitu Tengku Hanif. Beliau seorang yang sangat komited di dalam kerjaya sehingga mendapat kepercayaan bapa tirinya untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Menara Group – Majalah Arena.

"Nif!"

Terpaan mengejut itu menggegarkan separuh ketenteraman yang sedang dinikmati di ruang berkeluasan 18 kaki persegi. Lekas pancaindera meragut batang tubuh Suhaimi yang bergegas menghampirinya. Sejurus dia mengamati muka berkerut itu dengan pandangan hairan.

Hingga Akhir NafaskuWhere stories live. Discover now