Bab 2

913 12 0
                                    

TIDAK cukup dengan janji temu tempoh hari, kali ini panggilan Sabrina diiringi dengan sesuatu yang sudah mampu dihidu oleh Tengku Hanif. Nama yang sering disebut-sebut Sabrina sebagai calon isteri yang menduduki carta paling teratas iaitu Kathy. Walhal sudah berkali-kali dia menolak dengan satu alasan tunggal – tiada cinta dalam hati.

"Ma..." Tengku Hanif kehabisan kudrat hendak memotong bicara panjang lebar mamanya.

"Tak apa, Hanif. Lama-lama nanti Hanif akan suka pada Kathy. Bila suka, boleh jatuh cinta. Bukan ke dulu Hanif dan Kathy tak boleh dipisahkan? Ke mana-mana berdua sahaja." Sabrina cuba memancing fikiran Tengku Hanif menjala masa lalu, yang dirasakan terlalu manis untuk dibenam jauh-jauh.

"Mama tak kesah berapa ramai anak kawan-kawan mama yang Hanif tolak. Tapi Hanif tahu kan, mama sangat sukakan Kathy." Unjuran kata-kata kali ini seolah-olah memaktubkan dengan siapakah dia akan menghabisi seluruh kehidupannya nanti.

Anak mata menyoroti siling. Kosong.

"Macam inilah mama, kalau ada jodoh nanti saya akan kahwin juga. Mama tak perlu risau. Semua tu dah diatur oleh Allah."

"Ya... Aturan Allah tetapi kita perlu berusaha juga, sayang. Hanif sudah dikira tak mahu berusaha langsung. Mama kenalkan dengan ramai anak perempuan kawan-kawan mama, tapi Hanif tolak mereka mentah-mentah. Mama sedang berusaha tetapi kamu tidak." Sabrina memuntahkan kekecewaannya di sebalik dinding komunikasi.

Sejurus, Tengku Hanif tertawa. Dalam pada sakit kepala, dia merasa geli hati sebenarnya. Bersungguh benar Sabrina memadankan dia dengan hampir kesemua anak-anak gadis kenalan wanita itu. Sehingga akhirnya terkeluar semula nama calon yang tidak pernah meminggir iaitu Kathy.

Dengusan kasar menembusi corong telefon bimbit menandakan pemunya suara tersebut mulai mendongkol marah.

"Kelakar?"

"Tak! Bukan macam tu. Mama jangan salah sangka." Lekas dia menuntas. Nafas ditarik dalam-dalam. Ekor mata melewati pintu yang mempunyai tempelan kaca pada bahagian tengah, berukir cantik di sekelilingnya dengan lekuk-lekuk flora yang menampilkan ciri tradisional kontemporari.

Kaca berkenaan membolehkan dia melihat-lihat sedikit suasana di luar ruang pejabatnya. Kelihatan Lufiya begitu sibuk menekan abjad-abjad di papan kekunci dengan mata tertumpu pada skrin komputer. Ternyata Lufiya seorang jurutaip yang handal kerana sekadar sesaat dua sahaja menumpahkan penglihatan ke bawah. Lagipula dia telah menyerahkan satu tugas kepada Lufiya dan meminta laporan penuh dihantar kepadanya selewat-lewatnya jam tiga petang.

"Dengar tak?"

Seolah-olah baru terjaga dari tidur, fikiran Tengku Hanif tidak berjaya menghadam bicara yang ditutur Sabrina kepadanya.

"Apa dia, mama?" Suaranya sarut melindungi rasa kalut.

"Esok ikut mama keluar." Tegas Sabrina memberi arahan.

"Ke mana?"

"Keluarlah."

Tengku Hanif menggaru dahi. "Ya, keluar tapi ke mana? Tentu ada tujuan."

"Makan tengah hari dengan bakal isteri Hanif."

Liur ditelan terasa kelat. Dia mampu menduga siapa gerangan 'bakal isteri' yang dimaksudkan mamanya.

Sebaik sahaja panggilan itu berakhir, tubuh terus tersandar lemah. Mata kekal membidik ke hadapan, lantas menembusi kaca itu dan menemukan susuk tubuh seorang gadis yang sudah bersiap-siap hendak kembali ke pantri.

Jemput minum, Datuk.

Nota kecil bertulis rapi dengan karbon pensel dibaca berkali-kali. Dia kehairanan.

"Datuk, petang ni ada meeting dengan Mr. Low dari Megah Properties." Sufiah membelek buku berkulit kuning terang. Di dalam buku itu tersimpan segala memo dan hal kerja majikannya. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar urusan, tidak pernah tertinggal untuk dicatatkan ke dalam buku berkenaan. Ia ibarat nyawa sendiri. Jika tidak ada di depan mata, maka kelam-kabut dunianya sepanjang hari.

"Dan esok Datuk ada lawatan ke tapak projek di Gelang Patah. Tengku Hanif dan Irfan akan turut serta." Bahagian kedua cantingan nota disuarakan. Kemudian dia membelek helaian seterusnya.

"Sufi..."

"Ya, Datuk." Sufiah memandang lelaki separuh usia itu.

"Awak ke yang buat air ni?" Awang Kader menyoal. "Nota ni sekali?" Kertas kecil itu ditunjuk pula kepada Sufiah.

Sufiah pantas menggeleng. Ada senyum halus menghinggapi pinggir bibir.

"Assistant Lufiya yang datang hantar untuk Datuk."

"Assistant Lufiya?" Nota kecil itu diletak kembali atas meja. Disisip bawah piring seramik yang menjadi alas cawan itu.

"Orang baru, Datuk." Ringkas Sufiah berkata.

Berkerut-kerut dahi Awang Kader cuba menghadam penerangan Sufiah. Sejak bila orang kanan Tengku Hanif memerlukan seorang pembantu? Hidangan kopi yang telah sejuk itu ditenung lama.

Orang baru? Hati berdetik-detak penuh curiga.

"You will meet someone, papa."

"Siapa?"

"Nurul Ain."

"Nurul Ain? Who is she?"

"Nurul Ain. Her name is Nurul Ain."

Sekilap, dia teringat sesuatu. Sesuatu yang sangat memberi impak paling besar dalam hidupnya. Perbualan antara dia dan Tengku Hanif beroleng-oleng menyusuri rongga pendengaran.

Dia... Diakah budak perempuan itu?

Awang Kader menelan liur. Dadanya berdetak kencang. Jika benar, ternyata Tengku Hanif telah mengotakan janji yang padanya sekadar cakap-cakap sahaja.

"Nurul Ain." Bibirnya bergerak-gerak menyebut nama itu dengan desiran suara yang beralun perlahan. Cukup perlahan.

"BIARLAH budak tu." Awang Kader membelek sebuah majalah Keluarga kepunyaan sang isteri. Dibaca sepintas lalu beberapa artikel yang menarik minatnya. Kemudian dia beralih ke bahagian yang memaparkan ikon-ikon usahawan wanita yang begitu utuh semangatnya untuk membina empayar atas usaha sendiri.

Lirik mata mengerling sedikit, menjejak roman wajah berkerut Sabrina.

"Bukan tak ada orang lain selain Kathy tu," ujarnya tanpa mempamer sebarang reaksi. Bahkan dia berpura-pura tekun membaca setiap baris ayat yang tercetak kemas di atas kertas berkilat tersebut sebaik sahaja menyedari renungan tajam isterinya bagai enggan mati tertuju tepat ke arahnya.

"Abang pun sama macam Hanif juga, kan?" Sabrina berpeluk tubuh. Gigi saling berketap rapat.

"Apa pula yang sama?"

Sepasang kening yang kemas memayungi mata bundar milik wanita pertengahan empat puluhan itu nyaris bercantum. "Abang jangan ingat saya tak tahu. Abang tu bukannya suka sangat dekat Kathy. Ada aje yang tak elok tentang budak tu."

Majalah tadi diletak kembali di atas meja. Dia duduk menghadap sang isteri. Wajah berarak mendung dan cemberut itu mengundang geli hati yang terkidum-kidum cuba disembunyikan.

Dia berdeham sebelum berkata. "Pernah saya kata saya tak suka?"

Sabrina tarik muka.

"Tak pernah, kan?" Sebelah kening naik sedikit tinggi. "Cuma kalau boleh, biarlah Hanif pilih sendiri siapa bakal isteri dia. Kita selaku orang tua, tak perlu nak sibuk sangat hal dia tu. Kalau betul Hanif suka pada Kathy, saya tak kesah pun." Dia menerangkan.

Roman wajah Sabrina masih keruh. Ternyata wanita itu langsung tidak bersetuju dengan pendirian suaminya. Bagi Sabrina, Kathy merupakan bakal menantu yang paling sempurna buat Tengku Hanif. Bahkan tanpa dia sedari, senarai bakal isteri anaknya telah pun terkunci dari sebarang permohonan baru sebaik sahaja nama Kathy disebut-sebut.

Hingga Akhir NafaskuWhere stories live. Discover now