Obor yang dibawa oleh mereka menyala menerangi setiap lorong yang dilalui.Pada waktu siang hari,Pekan Annara merupakan sebuah pekan yang sibuk dan meriah dengan kegiatan perniagaan dan jual beli.

Ia bukan sahaja kerana pekan tersebut terletak sangat hampir dengan gerbang istana tetapi juga kerana di sebelah barat terdapat satu pelabuhan yang menjadi tempat berlabuhnya kapal-kapal dagang dari jajahan yang lain dan ia sekaligus menjadikan Pekan Annara sebagai ibu negara bagi Kerajaan Darmenta.

Disebabkan hal tersebut,Pekan Annara dan kawasan sekitarnya menjadi tempat tumpuan para peniaga dan juga pedagang bukan sahaja daripada kawasan permukiman yang berhampiran tetapi juga daripada kawasan lain yang menjadi jajahan dan terletak dibawah pentadbiran istana.

Kegiatan perniagaan dan jual beli bukan sahaja melibatkan urusan dagang untuk barang keperluan seharian malahan juga untuk barang-barang lain seperti kapas,sutera,garam dan rempah-ratus malahan juga barang hiasan yang berharga tinggi seperti batu-batu permata dan mutiara yang kebanyakannya dibawa dari Kepulauan Marrata di sebelah Selatan.

Binaan-binaan yang lebih teratur dan kemas serta tahap keselamatan yang tinggi menjadi ciri utama Pekan Annara sehingga ia menjadi tumpuan untuk para peniaga dan rakyat jelata dari kawasan berhampiran.

Maka setiap kali tanggal 15 tiba ,ia akan dijadikan tanggal rasmi untuk satu pesta besar-besaran yang dinamakan Pesta Lima Belas dan pada tanggal tersebut seluruh masyarakat dari kawasan sekitar akan berbondong-bondong ke Pekan Annara sama ada bagi membawa barang jualan masing-masing ataupun cuba untuk mendapatkan barang yang mereka kehendaki dengan harga yang lebih murah.

Pada ketika itu,Pekan Annara lebih bersemarak daripada biasa dan ada pula rumah-rumah kedai serta rumah tumpangan yang dibuka sehingga keesokan harinya.Malam itu tanggal 14 dan keesokan harinya Pekan Annara akan dibanjiri dengan para peniaga yang cuba melariskan barang jualan masing-masing tetapi juga kepada para penduduk yang cuba untuk mendapatkan keperluan mereka dan disebabkan itulah rondaan malam tersebut lebih kerap daripada kebiasaannya.

Namun,tiba-tiba sahaja langkah kaki lelaki yang menjadi ketua kepada Riet yang menjalankan rondaan di sekitar Lorong Iliad itu berhenti dan orang-orang bawahannya juga memakukan langkah.Di atas sebuah rumah beratap genting yang masih kelihatan terang dengan beberapa orang tetamu masih kedengaran tertawa-tawa itu,satu susuk tubuh berdiri dalam kesamaran malam.Berpakaian serba hitam dan diperlukan mata yang terpincing tajam jika ingin melihatnya.

Tidak mampu dijangkau oleh sinaran kekuningan obor yang dibawa mereka,susuk tubuh tersebut kelihatan mencampakkan sesuatu ke udara.Tinggi.Lalu dengan kecekapan yang mengagumkan,susuk tubuh tersebut meraih anak panah dari bekas yang tersandang pada sisi kanan pinggangnya.Membidik lurus lalu melepaskan anak panah dari busur di tangannya.

Dan ketika panahan tersebut mengenai sesuatu yang dilambungkannya itu,beratus-ratus helai kertas berhamburan di udara .Jatuh bagaikan daun kering yang dipuput angin dan kejadian tersebut sempat membuatkan sisa para tetamu yang masih berbual di ruangan beranda rumah tumpangan itu menjadi gempar seketika.

Tanpa berlengah,salah seorang daripada anggota peronda Riet itu segera berlari ke hadapan dan mengutip sehelai daripada kertas tersebut.Dibawanya ke hadapan sang ketua dalam langkahan yang sedikit berlari anak lalu dihulurkan ke arah lelaki itu.Mendekatkan sedikit ke arah obor bagi membolehkan mereka membaca perkataan yang tertera pada helaian kertas tersebut.

Deret demi deret aksara yang bertulis dengan tulisan tangan yang kemas dan teratur menggunakan dakwat merah dan ia benar-benar membuatkan mata lelaki tersebut hendak terjojol keluar.

Tidak ada yang lebih teruk daripada seekor harimau yang membunuh anaknya sendiri ! Dan paling hina daripadanya ialah keluarga diraja yang membunuh demi membolehkan mereka terus berada di atas puncak kuasa !

Gawat .

Menyedari betapa besar kesan yang ditimbulkan oleh tulisan tersebut dalam mempengaruhi sentiment rakyat,lelaki tersebut tergesa-gesa mengeluarkan wisel yang tergantung dicelah tautan baju luarnya dan meniup wisel tersebut sekuat-kuatnya bagi menarik perhatian para peronda lain yang sedang berada berhampiran dengan kawasan tersebut.

Dan barangkali menyedari bahawa kehadirannya telah berjaya dikesan ,susuk tubuh berpakaian hitam itu menoleh pantas ke arah kumpulan Riet yang kini kecoh berteriak-teriak dan meniupkan wisel itu dan diselang-seli dengan teriakan mereka agar dia tidak melarikan diri.

Tetapi,dia bukannya terlalu dungu untuk terus menunggu di situ sehingga mereka berjaya menangkapnya.Tertangkap bermakna hukuman berat sudah menunggunya kerana dianggap menghina keluarga bangsawan dan institusi diraja.

Hukuman paling ringan dikenakan tiga puluh sebatan dan melihat kepada isi kandungan surat yang disebarkannya itu-pasti hukuman yang dikenakan kepadanya tidak main-main kerana isu tersebut sangat sensitif dan ditakuti oleh para bangsawan.

Maka,jangan hairan jika pelaku kesalahan tersebut akan berakhir dengan nasib mengerikan dengan ahli keluarga mereka juga turut menerima tempiasnya.Jika bukan dikenakan hukuman penjara,hukuman buang negeri masih terbilang sebagai sebuah hukuman yang paling ringan dan sangat mujur dan kerana itu nasib para pesalah yang menyinggung hal-ehwal istana dan para bangsawan selalu menakutkan.

Dikatakan mati membunuh diri kerana tidak tahan dengan hukuman lalu diletakkan di atas tandu yang digunakan untuk mengangkut rumput makanan kuda dan dibiarkan terbujur sehingga ada yang mengutipnya untuk disemadikan mengikut resam dan adat setempat .Hanya sahaja mayat tersebut akan terbujur hampir membusuk kerana tidak ada saudara mara yang berani menuntut mayat pesalah tersebut .

Menuntutnya bermakna menyerahkan leher sendiri lalu berakibat fatal.Maka,demi memikirkan kesan sedemikian menjadikan kesalahan menghina bangsawan dan keluarga diraja menjadi satu kesalahan yang sangat berat dan paling kurang dilakukan.

Dan kini,tahu-tahu sahaja ada seseorang yang memulakan peperangan senyap itu dengan istana dan para bangsawan ! Tidak boleh jadi.Sungguh.Ia merupakan satu kejadian langka dan ia perlu diselesaikan apatah lagi hari keesokannya penduduk akan berduyun-duyun memenuhi Pekan Annara .

*               *              *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now