TFD 1 | It's not a good day

Start from the beginning
                                    

Kanak-kanak itu menggelengkan kepalanya. Matanya mulai bersinar tatkala pandangannya menembus ke anak mata Ardella. Bibirnya yang berwarna merah delima menguntumkan senyuman manis.

"I'm okay and I'm fine." Dia tersengih. Tampang wajahnya yang dihiasi dengan senyuman lebar itu sedikit-sebanyak menenangkan Ardella biarpun dia masih tergamam apabila melihat kanak-kanak itu petah berbahasa Inggeris.

Sejurus itu, Ardella juga mengukir senyuman nipis. Lega jugalah dia bila kanak-kanak comel ini berkata begitu. Dan kecomelan itu membuatkan Ardella tidak sedar yang kedua belah tangannya sudah mencecah ke pipi kanak-kanak itu. Mencubit sedikit isi pipi yang kelihatan agak bulat dan tembam.

"Comelnya! Adik nama apa?" Ardella bertanya mesra bagaikan tidak sedar bahawa wanita berusia yang berdiri di sebelah kanak-kanak itu mulai terasa panas. Langsung tangan wanita itu mengipas-ngipas wajahnya dengan gaya angkuh lagi menyakitkan hati.

"Excuse me, kami kena pergi." Wanita berusia itu menarik bahu kanak-kanak itu untuk mengekorinya walau Ardella lihat kanak-kanak itu seperti tidak mahu berganjak dari tempat dia berdiri tadi.

Tidak sempat Ardella bertanya lebih lanjut, mereka berdua sudah menghilang dari pandangan mata. Ardella mengeluh, mulai rasa kasihan dengan kanak-kanak comel tu. Ibu dia pun satu, dahlah sombong lepas itu tak sabar-sabar nak pergi dari sini. Macam tak mahu sahaja melihat anaknya berkenalan dengan dia.

Ardella kembali menetapkan fokus pada wajah Sarina dengan matanya yang terkelip-kelip. Gadis itu seperti menahan kantuk dan beberapa saat kemudian, Sarina menguap besar. Kalah gaya Ardella menguap tadi.

"Jomlah balik, Rin. Aku tengok muka kau ni macam nak tidur balik je." Dalam Ardella berkata itu, sempat pula dia memerli Sarina. Beg sandang yang bertali panjang itu Ardella capai sebelum dia menghayun langkah meninggalkan Sarina yang terkedek-kedek mengejar di belakang bersama kantuk yang masih bersisa.



RANCANGAN televisyen yang memaparkan Wanita Hari Ini dipandang dengan wajah penuh minat. Jelas tertera di skrin televisyen bahawa topik yang akan dikupas dan dibincang dengan lebih lanjut hari ini, lebih menarik dari hari yang sebelumnya. Dengan tajuk 'Masak Sendiri, Lebih Baik daripada Makan Di Luar.'

Topik hari ini mengundang senyuman lebar milik Ardella. Bila isu itu dikupas, jelaslah Ardella bahawa tidak semestinya makan di luar lebih baik daripada masak di rumah juga turut tidak ketinggalan dengan sebaliknya.

Pada pendapat sesetengah orang, mungkin memasak sendiri di rumah lebih sihat dan kesihatan diri terjamin, berbanding makan makanan di luar. Mungkin makanan di sesetengah restoran tidak dijaga dengan baik sebab ada makanan yang dibiarkan tidak bertutup sehingga lalat dan haiwan pencemar lain mendominasi dan menyebabkan kotoran merebak. Namun, tidak semua orang bersikap begitu. Ada juga yang bersungguh-sungguh menjaga kebersihan di gerai makan atau restoran mereka.

Tamat siaran langsung daripada cerita yang penuh dengan ilmu dan pengetahuan itu, telefon pintar Ardella menjerit nyaring. Malas-malas dia bangkit dari sofa, mencapai telefon yang terletak di belakang meja oleh sofa yang didudukinya tadi.

"Waalaikumsalam ya, ada apa?" Lembut suaranya menyapa orang di hujung talian.

"Baik, saya datang sekarang." Sejurus sahaja talian terputus, Ardella melepaskan keluhan berat. Baru sahaja dia pergi bertemu dengan gadis itu semalam. Kata sepakat sudah pun dicapai tapi sekarang, Ardella rasa dunia seperti ingin berputar lagi.

Mana tidaknya, selepas berbincang dengan gadis yang dikenali sebagai Inara itu, Ardella rasa semuanya hampir selesai. Tinggal dia sahaja yang melakukan tugasnya. Tapi sekarang, ada sedikit ketidakpuasan yang bertamu di hati Inara apabila dia membayangkan suara gadis itu seperti tegang semacam semasa mereka berbual di dalam telefon.

Namun, Ardella tetap gagahkan dirinya juga untuk menaiki tangga supaya dapat bersiap cepat. Tidak mahu membazirkan masa.



SEPERTI mana orang mengatakan bahawa kesabaran itu boleh menjadi senipis kulit bawang, seperti itulah senipisnya bibir Ardella mengukir senyuman terpaksa. Sungguh! Tiada niat pun dia ingin mengeluh dan berfikir buruk. Tapi, gadis di hadapannya ini seperti mencabar sedikit 'kewarasan' akal fikirannya bilamana dia kerap kali merengus dan menidakkan patah perkataan yang keluar dari bibir Ardella.

"Sorry to say, Cik Inara. Tapi, apa yang cik katakan ni ada sedikit salah faham. Apa yang cik cakap tu bertentangan dengan syarat yang kita dah persetujui."

Inara mendengus geram. Matanya tajam membelah wajah Ardella yang masih belum menoktahkan pandangan kepadanya. Dengan tangan yang bersilang angkuh, dia kembali memyambung bicara.

"Bukan salah I, Cik Ardella. I dah kata tadi, kalau you tak mampu siapkan lukisan tu lebih dari satu hari, then it's okay! I mampu cari orang selain dari you."

"Tapi, sebelum ni..." Tidak sempat Ardella menyambung bicara, Inara memotong laju dengan intonasi suara yang sedikit tegas.

"Itu sebelum ini! Now, we are talking about today, and now. You mesti tahu satu ayat ini, customer is always right and can you just follow my order, Cik Ardella? Susah ke?" Inara menyudahkan bicaranya usai menyedut sedikit jus oren yang sudah hampir habis. Ardella yang menayang wajah ketat di hadapannya ini langsung tidak dihiraukan.

"Baiklah, saya akan pastikan benda tu siap pada masanya. Anyway, thank you and sorry for any inconvenience." Ardella menahan hati. Dia hanya mengukir senyuman manis walau hatinya sedikit tercalar dengan tingkah kurang beradab Inara. Ardella pandang lama wajah Inara yang tercalit dengan mekap setebal alam itu. Nasib baik tangannya tidak terlepas untuk menampar pelanggannya. Nasib baik kafe ini tidak berjerebu!

Untuk masa ini, Ardella malas ingin bertekak walaupun dia tahu bahawa Inara melanggar syarat-syarat yang pernah disertakan sebelum ini. Untuk Inara, dia lupakan sahaja semua itu kerana selepas ini tangannya perlu lincah memainkan peranan. Inara juga adalah salah seorang pelanggan tetapnya kerana sebelum ini gadis itu sering menempah pelbagai jenis lukisan dengannya. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu hampakan Inara.

Tenang, Ardella. Semua akan okey walaupun tinggal kurang dua puluh empat jam dari sekarang.

The Fallen Dahlia [COMPLETED]Where stories live. Discover now