"Ada spesifik bunga yang Datuk suka?"

"Apa pun yang awak bawa, asalkan ia dari awak, I'm sure... Dia sangat menyukainya."

Perbualan singkat antara dia dan Tengku Hanif menjamu ingatan. Senyuman nipis yang dilampirkan lelaki itu sejurus menoktahkan kata-kata terakhirnya kuat menempel dalam fikiran. Lentur otot muka itu membuahkan tanda tanya.

"Excuse me."

Nurul Ain pantas membawa tubuh ke tepi, berganjak beberapa langkah untuk memberi laluan kepada perempuan itu memasuki ruang lif bersama dengannya. Sesekali leret mata terbenam jauh mendasari persalinan yang melekat bagai getah di tubuh tinggi lampai tersebut.

"Hantar bunga?" Perempuan itu menegur seraya meleret senyum manis.

Dia mengangguk.

"Untuk siapa?" soal perempuan itu lagi dengan ramah.

"Datuk."

Perempuan itu mengangguk. Kemudian hujung jari telunjuk yang runcing itu menekan butang tertera nombor 7.

"Ofis Datuk dekat level 7, ya?"

Selang beberapa saat, bunyi dentingan loceng disertai belahan pintu besi merenggang luas. Liar matanya mengitari persekitaran yang sudah menggeluti diri hampir sebulan.

"Jumpa lagi." Perempuan tadi sempat mengawang tangannya ke udara.

Nurul Ain mengangguk. Bibirnya juga mengukir senyum.

Setelah dikupas-kupas lapisan dalam kotak ingatan, barulah dia sedar bahawa perempuan yang manis dan baik hati tadi rupanya orang yang sama, yang telah menempelak dia dengan begitu kasar sekali. Tidak semena-mena dia tertawa. Gelengan kecil turut kelihatan. Benar, selaku manusia yang serba lemah, untuk menghakimi orang lain tentulah tidak termaktub dalam perbuatan yang baik kerana di sebalik sisi yang terserlah depan mata sebenarnya terlindung bayangan selain itu.

"BOLEH?" Terjengul kepala Sufiah di tengah-tengah pintu bercat coklat gelap.

Nurul Ain mengangguk laju.

"Okey, kak. Cantik dah ni," katanya. Kuntuman bunga-bunga yang dibawanya tadi dibelek lagi. Doanya dalam hati agar keindahan bunga hybrid tea itu mampu mengendurkan sedikit ketegangan yang sedang dialami oleh Awang Kader.

Nurul Ain menolak pasu kaca berbentuk silinder berbiku di muncung dan melekuk di bahagian tengah itu, ke tepi meja. Hampir dengan bingkai gambar yang mengabadikan gambar keluarga lelaki hartawan berkenaan bersama Tengku Hanif dan seorang wanita yang kelihatan sungguh anggun, yang pada firasatnya merupakan isteri lelaki tersebut.

Anak matanya kekal menjaring roman kaku Awang Kader. Sejujurnya, dia belum lagi berkesempatan bertemu empat mata dengan hartawan itu. Menurut kata Lufiya, Awang Kader disayangi dan disenangi oleh semua orang, tidak kira dari lapis jawatan apa sekalipun termasuklah beberapa orang tukang cuci yang diambil bekerja secara kontrak di bawah naungan syarikat pembekal tenaga kerja dalam sektor itu. Sehinggakan ada yang menangis tidak mahu berhenti kerja walau ada keterbatasan kudrat. Sampai begitu sekali sayangnya mereka kepada Awang Kader.

"Awang Kader."

Bibir Nurul Ain terkumat-kamit membutirkan nama itu satu per satu. Susunan abjad dan sebutan nama lelaki itu mirip sungguh dengan sebaris nama yang terletak kekal di belakang namanya. Namun, apa yang hendak dihairankan? Kebarangkalian nama sama itu memang wujud!

"Saya keluar dulu." Nurul Ain mencapai kertas pembalut jambangan bunga tadi, lalu dikeronyok sebelum dicampak masuk ke dalam tong sampah kecil berhampiran meja.

Sufiah mengangguk. Meja kerja majikannya dikemaskan lagi. Buku-buku berkulit tebal diambil, lantas disusun di atas rak mengikut nombor roman yang tercetak di bahagian tulang luar.

Setelah memastikan segalanya cukup teratur, barulah Sufiah meninggalkan ruang itu.

"Eh... Datuk!" Bejat langkahnya tatkala terserempak Awang Kader yang sedang berdiri dengan tubuhnya bersandar pada dinding.

"Are you okay, Datuk?" Buru-buru Sufiah bertanya menyaksikan keadaan lelaki separuh usia berkenaan. Apatah lagi tangan itu sedang mengurut dada perlahan-lahan.

"I'm okay, Sufiah. I'm okay. No need to worry."

"Are you sure?"

Sufiah tampak ragu. Dia tahu lelaki itu menghidap penyakit jantung walau tidak kronik.

Awang Kader menjaring paras setiausahanya. Kemudian dia membentur senyum dengan harapan kegusaran wanita itu berarak pergi.

Sepeninggalan Sufiah, dia mula mengorak langkah memasuki ruang pejabat. Pintu ditutup rapat. Derap kaki nyata longlai namun digagahkan jua. Lelah nafas terasa menyempit di pembentung nyawa. Meski tidak bertemu empat mata, sekadar memerhati dari kejauhan, jelas dia tidak punya kudrat hendak mengawal emosi.

Kau tak akan faham, Hanif. Aku... Tak kuat.

Rintihan itu seumpama terlukis dalam kerut yang melapisi kulit dahi.

Hingga Akhir NafaskuWhere stories live. Discover now