Nurul Ain menghela nafas panjang tanpa menyedari ulahnya diperasani oleh Tengku Hanif. Kata-kata itu ditutur Tengku Hanif sewaktu mereka dalam perjalanan menuju ke sini pagi tadi.

"Are you okay? Atau awak tak ada selera nak makan dekat sini?"

Mereka berkongsi renungan. Jaring-jaring yang bertebaran di taman hati sendiri tidak sukar ditafsir. Dia tahu, hatinya mengalun ritma aneh atas dasar apa.

"Eat this." Salad buah-buahan dicedok masuk ke atas pinggan Nurul Ain. Kemudian dia menyudu sedikit kacang panggang dan diletak bersebelahan salad buah-buahan tadi.

"Sesuai untuk diet awak." Sengaja dia berseloroh bagi menyingkir rasa dangkal yang tiba-tiba hadir.

Tidak terbuka pun selera Nurul Ain melihat makanan di atas pinggannya. Dia lapar nasi, bukan hadap salad dan kacang panggang.

"Saya tunggu awak dekat meja sana."

Anak mata Nurul Ain mengekor tudingan jari telunjuk Tengku Hanif. Sejurus langkah lelaki itu turut diperhati sehingga duduknya berlabuh di sebuah kerusi yang terletak di penjuru ruang makan serba luas berkenaan.

"KENAPA papa tak tunggu kami tadi?" Sebaik sahaja kelibat Awang Kader melintasi mata, Tengku Hanif lekas mengaju pertanyaan.

Awang Kader melepas nafas. Dahinya berlapis-lapis menzahirkan minda sedang keras memikirkan sesuatu.

"Hanif..." Dia berjeda.

Tengku Hanif kekal mengamati roman lelaki separuh usia itu.

"I'm... I'm not strong enough." Awang Kader berkeluh-kesah.

Hela nafas turut terbabas keluar dari rengkungan. Sorot mata Tengku Hanif tidak lari sedikit pun daripada memerhatikan olah Awang Kader. Dia punya satu niat namun tidak pernah tertunai kerana sikap sang ayah tiri. Barangkali masih tersisip rasa gusar andai yang diharapkan itu hanya ilusi semata.

"Sampai bila, pa?" ajunya.

Awang Kader menggeleng kepala, sebelum berkata. "Papa perlu masa. Tentu Hanif tahu, kan?"

"Ya... Tapi sampai bila?" ulanginya lagi.

Jari-jari memicit pelipis dahi. Berdenyut. Seluruh jiwa seakan-akan terbeban dengan seketul batu maha besar dan mampat sehingga terasa salur nafas kian menyempit.

"Hanif tak faham." Lirih bunyi suara itu.

Tengku Hanif menarik nafas dalam-dalam. "Atau... Papa takut?"

Soalan itu benar-benar mengejutkan Awang Kader. Buntang matanya membelah renungan Tengku Hanif.

"Trust me, papa."

"Kalau bukan?"

"Papa..." Dia mengetap bibir sesaat dua. "Perempuan tu... Dia... Aishah, kesayangan papa."

Awang Kader menekup wajah.

"APA yang awak buat sekarang, tugas-tugas yang ada sekadar pemanas badan saja. Awak kena tahu lebih. Semua hal berkaitan syarikat ni, awak wajib ambil tahu."

Dengungan suara Tengku Hanif lewat makan tengah hari tadi berpusar di telinga. Bicaranya kedengaran aneh sekali. Namun perbualan mereka tidak meleret ke mana-mana. Mereka terus senyap dalam menikmati juadah masing-masing. Sekadar melantun bicara dengan diri sendiri.

Cumanya sesekali lirik mata agak nakal menelusuri raut tenang Tengku Hanif. Wajahnya bersih dengan tona warna kuning langsat. Jambang bercukur rapi lantas menyerlahkan penampilan segak lelaki berwibawa tersebut. Alis matanya lebat. Rahang yang kelihatan seumpama aset seorang peragawan itu membentuk satu tarikan kepada sesiapa yang memandang. Padanya rupa fizikal Tengku Hanif dicipta sempurna.

Lamunan sendiri terbejat tatkala keriuhan runut lagu kedengaran menjerit lantang. Sebaik skrin bercahaya keputihan itu memaparkan private number, dia berkerut hairan. Ikon hijau dileret ke kiri, lantas melekapkan gadget canggih berjenama Samsung ke telinga.

"Helo..."

Sepi. Talian di sebelah sana tidak menghadirkan sebarang bunyi.

Dia melihat skrin telefon. Mana tahu panggilan telah terputus. Tetapi jelas menunjukkan mereka masih berhubung melalui entiti komunikasi.

"Helo." Suara ditekan sedikit kuat.

Tiada sebarang sahutan. Kekal menyepi.

Dia jadi geram tiba-tiba. Tanpa menunggu lama, talian diputuskan.

Daripada duduk bertenggek hampir di jendela, dia membawa kaki keluar dari bilik dan terus menuju ke kamar peraduan Suriani. Leret mata mencuri lihat ibunya yang duduk berteleku di atas sejadah, sedang khusyuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Sesudah itu, ibunya mencapai naskhah al-Quran. Suaranya mendayu-dayu ketika membutirkan kalimah-kalimah suci berkenaan. Tiba-tiba dada didatangi perasaan sayu.

Tanpa mereka, tanpa keluarga ini... Di mana letaknya dia kini?

Nurul Ain memejam mata rapat-rapat. Status anak angkat tidak pernah terlucut dari fikiran. Bahkan dia sentiasa tercari-cari jawapan atas apa yang berlaku dalam hidupnya sebelum berada di dalam kalungan kasih sayang keluarga Abdul Halim dan Suriani.

HAMPIR bercantum kening Sabrina memerhatikan gelagat suaminya. Lelaki itu termenung panjang di balkoni bilik. Sabrina mendekati suaminya. Bahu itu disentuh lembut.

"Abang," panggilnya.

Awang Kader menoleh.

"Na." Lelaki itu sekadar berbahasa selajur kembali melepas pandang ke hadapan semula.

"Tadi abang telefon siapa?"

Pertanyaan itu dibiar terawang-awang. Awang Kader lebih mengutamakan perasaan sendiri yang ketika ini sedang melayang-layang tanpa arah.

Melihat gelagat aneh suaminya, hati Sabrina dipalu resah. Sejak akhir-akhir ini dia menyedari suaminya berkelakuan sedikit aneh. Awang Kader sering termenung panjang seolah-olah sedang memikirkan hal yang amat berat sekali. Ada ketika, terdengar juga keluh-kesah terbabas keluar. Apabila diaju pertanyaan tentang kelakuan itu, suaminya tersenyum sahaja tanpa membicarakan apa-apa.

Matanya masih meratahi paras Awang Kader. Mengamati setiap lentur garis yang terlukis jelas di wajah itu.

"Abang rindukan Kak Min?" Entah kenapa, soalan itu juga yang meluncur laju keluar dari mulutnya.

Pandangan kedua-duanya bersatu cukup lama sehingga akhirnya Awang Kader mengalihkan busur mata melepasi balkoni untuk kali yang ketiga. Senyum yang sedikit menjadi lebar tiba-tiba.

"Rindu yang memang sentiasa ada." Suaranya sarut.

Sabrina terdiam.

"Walau arwah tiada pengganti tapi awak sentiasa dalam hati. Cinta yang kekal sampai mati," seloroh Awang Kader. Dileret-leret suaranya agar mampu menghidupkan suasana ceria mereka suami isteri.

Terburai tawa Sabrina.

"Drama mana abang tengok?" Kening diangkat tinggi.

Awang Kader sekadar menyimpul senyum. Dia memacu langkah masuk ke dalam. Sudah cukup membiarkan tubuh diselaputi kedinginan malam.

Sabrina kekal berdiri di ruang balkoni. Wajahnya menjulang dada langit. Saat itu fikirannya dirangkul imbasan mengejut. Sepasang mata dalam dunia tidak nyata sedang merenung galak ke arahnya. Sepasang mata yang sering dimimpikan bertahun lamanya.

Hati jadi tidak aman tiba-tiba.

Hingga Akhir NafaskuWhere stories live. Discover now