"Kenapa?" Dia berdiri.

Nafas Suhaimi tercungap-cungap. Lelaki itu berusaha menghirup udara yang terasa menyempit di ruang dada.

"Kenapa dengan kau ni?" Tengku Hanif merapati sahabatnya.

Suhaimi memegang dada. Roman wajah berkerut seumpama sedang menahan kesakitan yang tiada tertanggung. Sehingga tubuhnya terbongkok-bongkok.

"Hei, kenapa ni?" Tubuh kurus Suhaimi dipapah menuju ke kerusi yang terletak di tengah pejabat.

"Dada aku ni..." Sarut-sarut suara Suhaimi menembusi corong pendengaran.

"Kau sakit?" Tengku Hanif terus membidik soalan. Tangan ikut sama merasa detak dada Suhaimi. Degupnya aman. Air muka sahabat baiknya diraih kembali sementelah buraian tawa gamat memenuhi telinga.

"Dah pernah makan pakai paip?" Suaranya mendatar. Suhaimi dikerling sekali imbas sahaja.

Suhaimi mencicip saki-baki gelak tawanya. Kemudian melabuh punggung tanpa dipelawa. "Alah, nak bergurau pun tak boleh."

"Bukan dengan cara ni nak bergurau, Mi. Aku ingat kau betul-betul sakit jantung tadi." Tengku Hanif kembali membelek helaian majalah yang mencetak kemas tentang kejayaan legasi Awang Khir dalam bentuk rangkai ayat, disulami beberapa foto lama dan baru keluarga mereka serta bangunan tujuh tingkat yang menjadi kebanggaan seluruh legasi Awang Khir. Awang Khir, lelaki itulah tunjang kukuh dalam membentuk satu legasi yang kini kian rancak menempa nama di dalam dan di luar negara.

"Tu... Lufiya yang buat aku jadi macam ni." Tiba-tiba keluhan itu muncul bersama riak muka bersadur kelelahan. Suhaimi tunduk menekur lantai.

Tengku Hanif tersenyum lebar. Sudah sedia diketahui bahawasanya hati sahabatnya itu terikat pada Lufiya. Terikat yang sudah tidak boleh diputuskan lagi. Bertahun Suhaimi memendam perasaan. Katanya cinta pandang pertama. Sekali menampar pandangan, kekal terpahat sehingga ke saat ini. Begitu dahsyat sekali urusan hati yang berkalung di pundak Suhaimi.

"Kau betul-betul berkenan, kenapa tak cuba ambil hati dia? Ataupun pergi saja usulkan pada keluarga Lufiya."

Sorot mata Suhaimi lekas menerkam raut bersahaja Tengku Hanif.

"Aku ni bukan muka tembok sangat. Lagipun seganlah aku. Dibuatnya kena tolak, macam mana?" Keluhannya berpanjangan.

"Aku ni pun cuma mampu nak cakap hai aje, bagi salam. Nak lebih-lebih jual minyak, macam kena tampar aje nanti."

"Kau tak cuba, mana nak tahu? Entah-entah betul dapat hati Lufiya tu."

Tangan memanggung kepala. Suhaimi tersengih-sengih. "Aku ni pemalu."

Nyaris pecah berderai tawa Tengku Hanif. Dalam pada itu, dia sedar Suhaimi sedang berusaha menawan hati Lufiya tetapi dengan caranya yang tersendiri. Lagipula, Suhaimi bukanlah sejenis bangsa lelaki yang gemar menjual manisnya bicara. Manisnya Suhaimi pada sikap prihatin dan senyuman yang tertempa berbeza dari kelaziman tatkala kedua-dua mereka saling bertembung mata.

"Alahai cinta..." Suhaimi tersenyum lagi. Walhal yang beroleng-oleng dalam fikiran sekadar bayangan wajah Lufiya tetapi lagaknya seperti tuan badan terpacak di depan mata.

Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif melihat olah sahabatnya.

Love at the first sight? Hati sendiri tiba-tiba sahaja melontar pertanyaan.

Dia tunduk.

Sekelip mata, muncul paras seorang perempuan yang bertudung litup menyembunyikan kecantikannya dari pandangan sesiapa pun. Sekadar terlihat sepasang mata yang terlindung di sebalik niqab yang dipakai.

Hingga Akhir NafaskuWhere stories live. Discover now