-17-

440 8 2
                                    

"Apa maksud encik yang saya tak boleh masuk?" Kamal menggengam lenganku. Kalau tidak, aku yakin aku akan tolak lelaki yang hampir sebaya dengan aku ini untuk mendapatkan bidadariku.

"Itu arahan yang saya terima encik. Hanya nama di dalam senarai sahaja yang dibenarkan masuk." Lelaki lengkap bersut hitam ala 'Man in Black' itu memandangku penuh bosan.

"Siapa yang keluarkan arahan ni?" tanyaku lagi. Kamal masih kuat menarikku. Aku tidak peduli. Hanya lelaki ini dan pintu itu sahaja yang memisahkan aku dari bidadariku.

"Sekejap ya." Dia mengambil fail di atas kerusi yang didudukinya tadi. Selepas menyelak beberapa helaian, dia menutupnya semula. "Puan Siti Aishah binti Abdul Rahman."

Kalau tak kerana Kamal, aku pasti akan akan terduduk di atas lantai hospital ini. Kamal menarik aku beredar dari situ. Aku hanya menurut sahaja. Apa lagi yang boleh aku lakukan di saat ini? Bidadariku sendiri tidak mahu berjumpa denganku.

"Duduk sini. Bagi aku masa untuk berfikir." Aku duduk di atas kerusi plastik berhadapan bilik kelas dua. Kamal mundar-mandir di hadapanku. Suaranya kadang-kala perlahan dan kadang-kala kuat, mengarahkan sesuatu kepada seseorang di hujung talian.

Selepas menamatkan panggilan, Kamal mengambil tempat di sebelahku. Aku meletakkan kedua-dua sikuku ke atas paha. Dengan posisi yang separuh membongkok, aku mengerlus rambutku. Apabila fikiranku makin buntu, aku menarik akar rambutku sekuat hati. Aku menoleh ke arah Kamal. Dia hanya memandang ke hadapan tanpa sebarang emosi. Apakah teruk benar situasi aku sekarang?

"Jadi?"

"Dia benar-benar nekad untuk berpisah dengan kau. Peguam yang diupahnya sedang menguruskan semua dokumentasi yang perlu."

Aku bangun dan kalau tak kerana tanganku ditarik oleh Kamal, tentu aku sudah meluru ke bilik bidadariku.

"Kau nak buat apa?"

"Aku nak melutut dan merayu pada bidadariku supaya maafkan kebodohan aku. Aku tak boleh kehilangannya. Kau faham tak?" Nada suaruku makin meninggi seiring dengan emosiku yang berkocak.

"Duduk dulu." Kamal menarikku untuk duduk kembali. "Bukan ini caranya. Kau jangan risau. Menurut undang-undang, kau dan dia perlu melalui sesi kaunseling dulu sebelum kes itu dapat dibawa ke Mahkamah Syariah."

"Aku akan gila kalau terus begini. Aduh!" Tamparan Kamal di belakang kepalaku, membuatkan aku menggosok kepalaku sambil melihatnya dengan penuh tidak percaya. "Ke kau yang gila?"

"Memang aku yang gila. Kalau ikut hati aku ni, mahu saja aku cekik kau. Kau memang bodoh. Apa kau dah tak reti nak minta bantuan aku sebelum hal jadi begini? Sekarang pun kau masih ego. Kau fikir hanya dengan kata-kata romantis bodoh kau tu, kau boleh pikat kembali bidadari kau."

Kamal sudah berdiri. Dia bercekak pinggang sambil menjegilkan mata ke arahku. Wajahnya merah padam menahan marah. Beberapa pengunjung yang melalui laluan itu, cepat-cepat melangkah pergi. Tetapi ada juga yang sudah mengeluarkan telefon masing-masing. Aku turut bangun menarik Kamal beredar dari situ.

Sebaik sampai di taman bersebelahan bangunan hospital, aku duduk di bangku batu yang disediakan. Aku menarik tangan Kamal untuk turut serta. Entah apalah nasib aku. Sudahlah bidadariku marah denganku, sekarang sahabat baikku pula.

"Aku minta maaf." Adakah layak untuk aku tuturkan kata-kata itu selepas kekacauan yang aku lakukan ini?

"Ini bukan masa maaf-maafan. Bukannya raya. Ini masa untuk lengahkan permohonan dari bidadari kau." Kamal mengerlus rambutnya. Sesekali dia merentap rambutnya.

"Kau ada idea?" Kamal menjeling ke arahku.

"Apa? Selama ini pernah ke aku tak ada idea? Kau tu yang terburu-buru. Diam la. Aku tengah fikir ni." Aku mendiamkan diri setelah ditempelak olehnya. Takut pula aku tengok si Kamal ni.

[Tentang Cinta #2] Kau, Aku & Selamanya?Where stories live. Discover now