-10-

551 9 0
                                    

"Kenapa ni bos? Asyik mundar-mandir dari tadi? Pening saya tengok."

 Aku berhenti lalu duduk di sofa empuk berhadapan tingkap panoramik. Kelihatan KL Tower dan KLCC dengan jelas dari sini. Aku dapat melihat hampir keseluruhan kotaraya Kuala Lumpur dari pejabatku yang telah diubahsuai. Pemandangan 180 darjah dari tingkat 20 yang kadang-kadang menjadikan aku sedikit fobia.

 "Tak ada apa-apa. Saya saja nak senaman."

 "Ahhhhh." Maria menganggukkan kepala. Riak wajahnya menunjukkan yang dia sedikit pun tidak percaya dengan jawapan yang aku berikan. Dia mengambil fail-fail yang telah aku semak isi kandungannya dan meletakkan dua fail baru. "Ada apa-apa lagi bos?"

 "Tolong jadualkan semula semua temujanji saya hari ni dan ambil pesanan untuk semua panggilan. Selain dari Ronny, saya tak mahu jumpa atau bercakap dengan sesiapa pun," jawabku.

 "Termasuk saya?" Maria mengangkat sebelah keningnya.

 "Heh, kalau termasuk awak Maria, bosanlah hidup saya. Okay okay, saya tak nak jumpa atau bercakap dengan sesiapa pun kecuali Ronny, awak, Kamal dan bidadari saya," jawabku kali ini dengan lebih jelas.

 "Bagus, sebab bidadari bos berada di talian dua sekarang," kata Maria lalu beredar tanpa sedikit pun berpaling ke arahku. Mataku berkerdip melihat Maria yang sudah menghilang di sebalik pintu. Aku tidak tahu berapa lama aku bertelaku di situ. Tetapi cahaya merah yang berkelip dari arah telefon membuatkan aku pantas menuju ke mejaku.

 "Assalamualaikum sayang."

 "Waalaikumsalam, abang nak keluar lunch bersama hari ni?" Aku menjauhkan sedikit gagang dari telinga. Berkerdip mataku melihat gagang tersebut. Yang sedang bercakap dengan aku ini, betulkah bidadari aku?

 "Ya," jawabku pantas sebaik tersedar dari lamunanku.

 "Baik, saya tunggu abang di restoran biasa. Assalamualaikum."

 "Waalaikumsalam," jawabku sebelum talian ditamatkan. Itulah antara perbualan telefon paling pelik yang pernah aku alami. Aku mengaru kepala yang sebenarnya sedikit gatal. Mungkin itu petanda aku patut ke salun rambut.

 Fail yang Maria letakkan sebentar tadi, aku lihat sekali lalu. Hari ini aku langsung tidak berminat untuk melakukan sebarang pekerjaan. Nasib baiklah aku bos. Kalau aku ni pekerja, mungkin sudah diberi jelingan maut oleh bos aku. Aku memusingkan kerusi kulit empuk yang aku duduki ke kiri dan ke kanan dan sesekali aku membuat pusingan 360 darjah.

 "Bos, Ronny dah sampai." Hampir terjatuh aku dari kerusi mendengar suara Maria dari interkom.

 "Suruh dia masuk," kataku lalu cepat tanganku memperbetulkan rambutku yang mungkin sudah kusut.

 Satu ketukkan kedengaran dan dengan suara lantang aku mengizinkan orang di sebalik pintu itu masuk. Ronny masuk, menutup pintu kembali dengan cermat, lalu melangkah ke arah mejaku. Dia berhenti dan kepalanya menunduk dengan kedua-dua tangan terletak kaku di sisinya.

 "Silakan duduk," kataku dengan nada tegas. Ronny menarik kerusi perlahan sekali lalu duduk. Matanya memandang tepat ke arah permukaan mejaku. "Ronny, lelaki dan perempuan tinggal bersama tanpa sebarang ikatan yang sah, masih lagi tidak dapat diterima dari segi agama dan juga moral."

 Cepat sekali Ronny mengangkat kepalanya melihatku. Matanya terbeliak seolah-olah tidak percaya dengan apa yang aku tuturkan. Aku tahu aku sedang bermain dengan api sekarang. Walaupun Ronny dan Suhana tinggal di bangunan yang sama, tidak bermaksud mereka serumah. Aku tidak peduli sekiranya aku dimarahi oleh Ronny. Aku hanya inginkan kebenaran.

 "Kami tak tinggal bersama kalau itu yang bos maksudkan. Dan saya yakin Suhana sendiri tidak tahu kami tinggal di bangunan yang sama." Aku melepaskan nafas lega mendengar penjelasan dari Ronny. "Untuk makluman bos, Suhana tak pernah bawa sebarang lelaki pulang ke rumah. Selain dari bos, baginya sudah tidak wujud lelaki lain lagi."

[Tentang Cinta #2] Kau, Aku & Selamanya?Where stories live. Discover now