Bab 8

5.4K 209 13
                                    

Bangun dari tidur pagi itu, tekak yang meloya memaksa Leanna untuk bangun sepantas kilat mencari tandas. Tertunduk dia di sinki. Mengeluarkan apa saja yang terisi di dalam perut. Walaupun cuma cecair, tetap perutnya masih tidak mahu berhenti bergelodak. Paksa dan paksa, sehingga nafasnya terpaksa dihela secara pendek. Termengah-mengah mencari udara.

Setelah pasti tidak ada lagi rasa loya bersisa, dia mengesat mulut dengan tuala kecil yang tergantung di dinding. Kemudian duduk sebentar di atas penutup tandas. Pagi baru menjengah, tapi Leanna rasakan seperti dia sudah berjam-jam melakukan kerja keras. Lembab wajahnya dibasahi peluh. Entah bagaimana dia mahu mempertahankan kerjayanya yang baru beberapa minggu bermula dengan keadaannya yang begini.

Sekilas Leanna melihat biasan wajah sendiri di cermin. Matanya sembab. Pedih kesan dari tangisannya sebelum tidur semalam, juga tangisan di tengah malam ketika dia terjaga kerana kesejukan. Sebak bila teringat tiada lagi Daniyal untuk menghangatkan tidur malamnya.

Tempoh masa yang diberi lelaki itu sudah lama tamat. Malah sudah berlarutan sehingga sebulan. Tetapi masih tiada lagi tanda Leanna akan pulang dengan rela hati. Telefon yang sesekali berdering menunjukkan nama si suami cuma dipandang sepi. Setiap kali deringan itu terhenti, Leanna pasti akan kembali menangis di dalam hati. Meratapi cinta yang masih ada, tetapi tidak mungkin akan berjaya bangun semula selepas dihentam realiti kejam perkahwinannya.

"Cuba isi perut dengan biskut kering. Mungkin boleh hilang rasa loya tu."

Terpinga Leanna bila melihat wajah Nida terjengul di pintu bilik air. Wanita yang sudah diberhentikan dari kerja pembantu rumah di Vila Ilani itu sedang memandangnya dengan wajah risau bercampur sesal. Risaukan Leanna yang degil tidak mahu kembali menghubungi Daniyal. Kecewa kerana Leanna masih merahsikan kandungannya dari si suami.

"Kak Nida..."

Keluhan Leanna menarik kembali Nida yang baru hendak melangkah pergi. Wanita itu masuk mampir ke arah Leanna. Ditarik wanita itu untuk bangun mengikutnya ke dapur.

"Akak akan tetap datang setiap hari untuk sediakan sarapan Ann." Tegas nada suara Nida menegakkan pendiriannya selepas menolak Leanna duduk di kerusi. Walaupun berkali ditegah untuk datang menjaga keperluan Leanna, Nida tetap menulikan telinga. Tidak sanggup membiarkan anak bekas majikannya itu terkapai tanpa sesiapa di sisi.

"Ann dah makin kurus sekarang. Muka pucat. Akak susah hati tengok Ann macam ni." Tangannya diletakkan ke atas tangan Leanna. Diusap lembut tangan anak bekas majikannya itu. Menyalurkan rasa sayang yang sudah lama ada untuk wanita itu.

"Balik lah pada Tuan Daniyal. Dia sayangkan Ann. Akak boleh nampak dari cara dia pandang Ann." Luluh rasa hatinya melihat kehidupan Leanna berubah sedrastik itu. Mungkin bukan harta dan kesenangan dunia yang terusik, tapi perasaan wanita itu jelas kelihatan sudah berubah sepenuhnya dari yang sebelum ini.

Leanna tersenyum tipis. Kepalanya bergerak menggeleng perlahan.

"Tak." Seketika dia diam. Tunduk melihat hujung kaki yang menguis lantai.

"Bukan Ann yang sebenarnya dia mahu. Tapi harta Daddy." Leanna membuang pandang. Memandang segenap ruang flat yang mungkin saiznya sama dengan bilik tidurnya di Vila Ilani dulu, tetapi selesa untuk didiami itu.

Teringat semasa dia mula berpindah masuk ke situ. Semuanya dilakukan dalam masa sehari sahaja selepas Daniyal bertegas untuk berulang datang memujuknya di Vila Ilani walaupun sudah dilarang.

Dia masih punya harga diri. Berterusan ada di situ setiap kali Daniyal datang seolah-olah menunjukkan dia tidak punya tempat dan haluan lain untuk dituju. Puas rasa hati bila dia sudah membuktikan sesuatu kepada lelaki itu. Dia tahu cara dia menangani masalah kelihatan sangat kebudak-budakan. Tapi hati dan akal tidak pernah seiring. Logik tidak mampu menyahkan rasa takut dan sakit yang bertingkah menerpa di dada.

Tercipta Satu Ikatan (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now