Bab 6 (Part I)

5.7K 186 22
                                    

Bunyi dari arah bilik air mengalihkan tumpuan Leanna yang sedari tadi hanya duduk termenung di meja solek selepas selesai merias wajah. Dari biasan cermin, matanya menyorot pergerakan Daniyal yang baru keluar dari bilik pakaian. Terus masuk ke bilik air. Beberapa minit kemudian, suaminya keluar semula dari bilik air sambil tunduk memerhati lengan kemeja yang sedang cuba dibutang.

Lama memandang perlakuan si suami dari dalam cermin, bibir Leanna senget menggarit senyum lucu. Terus dia bangun dari duduk. Melangkah terus ke arah Daniyal.

"Let me help." Tangan suaminya ditarik. Dalam sekelip mata saja hujung lengan kemeja itu sudah siap dikancing.

Suaminya itu memang mempunyai masalah abadi bila berhadapan dengan objek bernama 'butang pakaian'. Untuk lelaki yang berketrampilan hebat seperti Daniyal, memang lucu bila melihat cemberut wajahnya setiap kali dia terkial-kial mahu membutangkan lengan kemejanya. Disebabkan itu juga, ada waktunya Daniyal lebih selesa memakai t-shirt dan kot kasual sahaja jika dia tidak punya urusan kerja formal.

"Thank you." Daniyal meletakkan satu kucupan di pipi isterinya. Terasa seperti satu beban terlepas dari bahu bila ada yang sudi membantu.

"I harap anak kita nanti tak ikut perangai you. Kancing butang pun bermasalah!"

Ejekan Leanna sepatutnya mengundang ketawa, tetapi lain pula yang bertandang masuk ke dalam fikiran Daniyal. Datangnya tiba-tiba bila mendengar perkataan 'anak' disebut. Terus terbayang imej Leanna berbadan dua, sekaligus terbayang anak-anak kecil memanggil Papa. Dia rindukan suasana itu. Suasana yang dahulu pernah dilihat di dalam keluarganya sendiri sebelum hidup mula memberikan ujian tanpa henti. Menghancur leburkan segala kebahagiaan juga senyum di wajah setiap seorang ahli keluarganya.

"Kenapa?"

Daniyal tunduk sedikit melihat wajah Leanna yang mendongak sedikit ke atas dengan dagu yang tertampan di dadanya. Dia menggeleng sekali.

"Nothing."

Baru hari ini dia dapat melihat semula wajah bersemangat Leanna. Sejak Jeffery meninggal dua minggu lepas, isterinya lebih gemar mendiamkan diri. Masa lebih banyak dihabiskan dengan termenung di balkoni yang menghala ke arah taman di belakang rumah mereka. Daniyal yang sudah terbiasa dengan senyum ceria dan layanan mesra si isteri sedikit sebanyak ada juga terasa kehilangan. Jelas Leanna sangat sayangkan bapanya. Sayang yang mungkin sangat jauh berbeza dengan cintanya pada Daniyal.

Jika diberi peluang untuk memilih, adakah Leanna akan setia memegang kasih si bapa yang sudah tiada, atau cinta si suami yang akan menemani di sepanjang hidupnya?

"Smile for me." Belakang telunjuk Daniyal mengelus lembut pipi Leanna. Mengharapkan penawar dari di isteri untuk meringankan gundah di hati.

Hanya dengan tiga patah kata itu saja, isterinya terus tersenyum. Senyuman yang dengan mudahnya terjangkit kepada Daniyal. Membuatkan dia juga ikut sama tersenyum. Tangan yang tadi mengelus pipi Leanna bergerak menangkup wajah itu. Ditarik dekat ke arahnya sebelum dijatuhkan satu kucupan di ulas bibir isterinya.

Lama mereka menatap jauh ke dalam mata masing-masing sebelum akhirnya Leanna kembali menjarakkan diri dan kembali duduk di meja solek.

"You nak temankan I ke pejabat lawyer daddy tak?" Leanna cuba menyembunyikan getar di dalam suaranya bila menyebut tentang arwah bapanya.

Sudah dua minggu. Tepatnya empat belas hari. Tetapi rasanya seperti baru semalam dia melihat wajah kaku Jeffery yang sudah tidak bernyawa.

"I hantarkan." Daniyal memberi persetujuan untuk menghantar. Proses membincangkan harta tinggalan Jeffery itu tidak melibatkan orang lain selain daripada Leanna, anak tunggal lelaki itu sahaja. Isterinya pasti memerlukan masa untuk mencerna maklumat yang bakal menghentam sebentar lagi. Maklumat yang sudah diketahui oleh ramai orang di sekeliling, tetapi langsung tidak disedari Leanna.

Tingkah isterinya di meja solek menjadi perhatian Daniyal untuk beberapa saat. Tanpa sedar, dia sudah menapak ke arah Leanna. Terbawa dengan perasaan yang ke belakang ini kerap meniti di fikiran setiap kali melihat turun naik dada isterinya semasa menghela nafas di dalam tidur.

"You wife I, Ann." Tangannya naik memegang kejap kedua belah bahu isterinya. Mata mereka bertemu di dalam biasan cermin. Dia tunduk sedikit. Menekan lembut sisi kepala Leanna dengan dagunya.

"Kenapa ni?" Leanna tertawa lucu. Wajah berkerut seraya menoleh sedikit untuk melihat wajah Daniyal. Tangan kanannya naik ke bahu. Menyentuh lembut jemari Daniyal yang melekap kemas di situ. Tidak pernah Daniyal bersikap begini. Beria menunjukkan sayang. Langsung berbeza dengan suami yang dikenalinya selama ini.

"Siapa I dalam hidup you, Ann?" Daniyal menyambung kemudiannya. Dia tunduk sedikit. Merapatkan rahang kirinya ke dahi Leanna.

"Suami I." Mata Leanna terpejam rapat. Menikmati hangat wajah si suami yang terasa di dahi.

"Suami yang I sayang sepenuh hati dan yang akan I cinta sampai mati."Kali pertama bertemu dahulu lagi,cintanya sudah jatuh pada Daniyal. Walaupun pada mulanya lelaki itu menolak, tapi akhirnya cinta Leanna menang. Hari di mana Daniyal melamarnya akan kekal selama-lamanya menjadi memori terindah di dalam hidupnya.

"Make a promise." Daniyal berbisik rapat di telinga Leanna. "Promise you won't leave me."

"I janji." Mudah saja Leanna memberi kata. Tanpa jeda untuk berfikir. Langsung tidak cuba menaksir. Kerana padanya, janji itu langsung tidak membebankan. Semudah mana dia jatuh cinta pada Daniyal, semudah itu juga dia menyemai rasa percaya. Percayakan satu sama lain. Bukan kah itu tunjang yang paling utama dalam sesebuah perkahwinan? Asalkan Daniyal berterusan meletak percaya pada cintanya, selama itu juga Leanna akan yakin pada hubungan mereka.

"Ingat janji you." Bukan kata penghargaan yang Daniyal berikan, tapi penegasan supaya Leanna tidak sesekali lupa pada janji tersebut. Satu lagi kucupan singgah di dahi si isteri. Lebih lama dari sayangnya yang tadi.

Telefon Leanna yang terdampar di atas katil tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej masuk. Pegangan Daniyal terlepas bila Leanna bangun untuk mengambil telefon. Dia beranjak sedikit ke belakang. Mengambil giliran melihat biasan diri di cermin. Dikemaskan sedikit rambut dan kedudukan pakaiannya sebelum berlalu keluar.

Dahi Leanna berkerut sedikit bila melihat ada mesej dari nombor yang tidak dikenali. Siapa? Tapi tangan tetap laju menekan ikon berbentuk kotak dialog itu.

+ Kalau bukan sebab Jeffery, Daniyal tak mungkin setuju untuk kahwin dengan you. Daddy dearest dah mati, you masih nak berlakon innocent?

Kaku seketika tubuh Leanna. Bola matanya bergerak laju membaca mesej tersebut berulang kali.

"Ann?"

Leanna tersentak. Daniyal yang memanggil sudah sedia menanti di pintu. Mata Leanna bersilih ganti melihat suaminya dan telefon di tangan.

"Co ... Coming." Tidak dapat ditahan gugup dalam suaranya ketika menyahut. Telefon digenggam kemas. Jantungnya berdegup keras. Kuat detaknya sehingga telinga Leanna tidak mampu mendengar bunyi lain lagi. Dunia tiba-tiba menjadi wayang bisu.

Apa yang cuba pengirim mesej itu sampaikan? 

Tercipta Satu Ikatan (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now