Bab 3

6.5K 199 8
                                    

Daniyal berdiri tegak di hujung kaki katil Jeffery. Memerhati segenap ceruk wajah tua itu. Wajah yang tanpa dipinta, memanggil semua memori silam datang menderu. Melimpah ruah memenuhi akal fikiran.

Perasaannya semasa kali pertama bertentang mata dengan Jeffery dua tahun lalu, masih tertinggal lagi kesan kebasnya di dada. Tangan Daniyal naik menyapu dada. Rasa itu juga yang sekarang singgah bila dia melihat wajah isterinya sekarang.

Leanna Jeffery.

Wanita yang namanya membawa bersama tali keturunan Jeffery. Langsung tidak disangka, wanita itu yang ahkirnya dipilih menjadi suri, sekali gus menjadi bakal ibu untuk anak-anaknya nanti.

"Fight Jeffery." Kata semangat yang ditaburkan Daniyal kali ini kedengaran ikhlas lahir dari hati.

"Ada lagi yang belum selesai di antara kita. Jangan tinggalkan Ann terkapai begini." Hutang yang masih belum selesai di antara mereka mungkin tidak memerlukan Jeffery untuk berpijak di bumi nyata, tapi kesan yang bakal menembak Leanna jatuh nanti, memerlukan Jeffery sebagai bapa untuk menjadi dinding anaknya bersandar.

Bunyi pintu bilik dibuka dari luar mematikan perbualan satu hala Daniyal. Dia kembali meneutralkan wajah memandang Leanna yang baru masuk.

"Done. Jom balik." Leanna sudah siap bersedia untuk pulang. Daniyal yang kebetulannya datang untuk menziarah Jeffery dari awal lagi sudah memberitahu hari ini dia akan singgah mengambil Leanna di hospital. Jadi tidak perlu untuk isterinya memandunya sendiri. Amir yang menghantar perginya dan Daniyal akan datang menjemput.

"Ann balik dulu daddy. Esok Ann datang lagi."

Tingkah Leanna mencium pipi bapanya yang sudah berhari tidak membuka mata itu menjadi perhatian Daniyal. Bangga dan kasihan bersilih ganti datang. Bangga kerana dia punya isteri yang kasih sayangnya tidak bertepi. Tetapi kasihan, kerana Leanna membesar tanpa mengetahui sikap sebenar bapanya.

"Hari ni boleh tak kita makan chinese food ?" Manja Leanna bertanya semasa mereka sama-sama berjalan menuju ke lif.

Daniyal menggumam perlahan sambil mengangguk kecil. Tidak kisah dengan pilihan makan malam mereka.

Masuk ke dalam lif, sudah sedia ada tiga penumpang wanita di dalamnya. Mungkin baru turun dari tingkat atas menziarahi kenalan mereka. Tiga pasang mata itu meliar memerhati Daniyal dari atas ke bawah sepanjang lif bergerak turun ke aras bawah.

Sedar suaminya sedang menjadi bahan uji kaji, Leanna segera memeluk lengan Daniyal. Cukup dengan perlakuan begitu, dia yakin sesiapa yang melihat akan tahu lelaki itu sudah berpunya.

"Kenapa you handsome sangat?"

Hampir saja ketawa Daniyal pecah keluar mendengarkan soalan tidak bermotif Leanna sebaik saja mereka keluar dari lif. Tapi berjaya ditahan menjadi batuk kecil yang berakhir dengan dehaman singkat.

"You nak I buat plastic surgery ?" Sinis dia mematah tanya. Leanna dan fikirannya, tidak pernah gagal membuatkan Daniyal diburu rasa ingin tahu. Seumur hidupnya ini, tidak pernah dia dipuji begitu oleh mana-mana wanita. Punya aura tersendiri, itu adalah pujian yang paling sopan pernah diberikan kepadanya. Lain dari itu, semuanya cuma menggambarkan tentang luaran dan sikapnya yang tidak mudah mesra. Baik dari cara matanya memandang juga caranya menyambut huluran perkenalan. Hanya di mata Leanna saja segala-galanya tampak sempurna.

"I'm not joking!" Ringan tangan Leanna menampar lengan Daniyal yang dirasakan sedang mempersenda perasaannya. Kebanyakan masa, Daniyal tidak banyak bersuara.Tapi kali ini ringan pula mulut memerli!

Lelaki seperti Daniyal pasti tidak akan faham apa yang sedang bergolak di dalam hatinya. Masakan Leanna tidak risau bila suaminya dijeling wanita lain. Tambahan lagi, suaminya tidak pernah beria menunjukkan rasa hati pada orang lain. Membuatkan rasa tidak selamat Leanna sering mencanak naik bila hak miliknya menarik minat wanita-wanita cantik di luar sana.

Tercipta Satu Ikatan (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now