Bab 1 (Part I)

10.4K 169 20
                                                  

Jeffery berjalan mundar mandir di dalam bilik kerjanya. Wajahnya terlihat kecut. Terlalu risau. Resah. Seperti ada sesuatu sudah terlalu lama dipendam di dalam kepala. Diulang-ulang, tetapi masih tidak ketemu titik noktahnya.

Sekali lagi dia menoleh ke arah meja. Tepat jatuh pandangannya pada fail yang terbuka di situ. Di dalamnya tersimpan maklumat tentang seorang lelaki. Lebih tepatnya, satu-satunya menantu yang dia punya.

Daniyal Zayan.

Hah! Jeffery tersenyum hambar. Hidup-hidup dia tertipu!

Sangkanya dulu dia mampu mengawal jiwa anak muda yang mahu berjaya seperti Daniyal. Diikat kemas menggunakan anak perempuannya, Leanna sebagai tali kendali. Mana tahu, rupa-rupanya lelaki itu datang bersama wajah bertopeng.

Hebat! Hebat kerana lelaki muda itu mampu mengaburi mata Jeffery.

Awal sebelum menolak Leanna kepada Daniyal sebagai calon isteri, dia cukup yakin lelaki itu lambat laun akan jatuh menjadi hambanya. Masuk menjadi sebahagian dari keluarganya dan kemudian, jika Leanna melahirkan anak untuk lelaki itu, pasti ikatannya akan terus tersimpul mati.

Daniyal pasti tidak boleh lari lagi. Menantunya itu akan terpaksa ikut sama masuk ke dalam lingkaran kawalannya.

Tapi ....

Jeffery menghenyak punggung ke kerusi. Memejamkan mata sambil menghela nafas dalam. Matanya turun lagi mencari fail tadi. Contengannya di lembaran yang sedang terbuka dipandang lama.

Emerald City.

Projek besar yang berjaya ditangkap olehnya 20 tahun dahulu. Masih terbayang lagi gahnya rasa semasa dia melihat bandar itu dari kejauhan. Walaupun salah satu dari rancangannya ketika itu tanpa sengaja mengakibatkan satu kecelakaan, tidak ada walau setitik pun rasa bersalah singgah.

Itu semua adalah kemalangan.

Sikap degil mereka sendiri yang membawa pengakhiran begitu. Jelas terlihat ketika itu, takdir sedang memihak kepada Jeffery. Zaman itu adalah zaman kegemilangannya. Dengan satu projek besar begitu, semakin ramai yang mengenalinya. Semakin ramai juga kenalan bisnes yang mula mengipas untuk sama-sama berkongsi kesenangan. Seperti pacat dihidangkan darah, mereka datang melekat. Tidak akan dilepaskan selagi perut mereka tidak kenyang.

Dalam dunia ini, siapa yang tidak cintakan wang? Dengan wang, dia boleh menjadi raja manusia. Kumpul dahulu kekayaan setinggi gunung, kemudian baru lah diatur hidupnya supaya kesenangan itu akan berpanjangan dan berterusan.

Tapi dia tersilap langkah.

Mungkin faktor umur yang semakin tua membuatkan akalnya ikut kelabu. Satu kesilapan membawa kepada kesilapan yang lain. Sehingga akhirnya dia terpaksa mengaku kalah. Maruahnya jatuh terduduk di hadapan Daniyal.

"Aku tak salah." Jeffery mendengus. Nada bangga. Apa yang dia lakukan tidak pernah salah. Semua itu adalah usahanya untuk meneruskan hidup.

"Orang yang berusaha, tak akan pernah salah." Kenyataan akhirnya malam itu hanya sempat didengari oleh bilik sepi itu.

Tiada saksi.

Juga tiada juri.

Yang ada cuma Jeffery.

Menafikan hal yang tidak mahu diakui, salahnya datang dari sendiri.

.....................................


Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Tercipta Satu Ikatan (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now