Bab 13 { I'M YOUR FIANCÉ }

Start from the beginning
                                    

Serius wajah lelaki itu.

"Semua dah cukup?" soalnya dingin. Doktor Ruby lantas mengangguk. Begitu juga dengan Ain. Setelah itu, mereka lantas mengekori Beto ke luar rumah. Namun, baru saja sampai dekat ambang pintu utama, tidak semena-mena lelaki itu menahan langkahnya; membuatkan Ain dan juga Doktor Ruby langsung berkerut dahi.

"Ada apa, Beto?" soal Doktor Ruby. Perlahan, Beto palingkan sedikit sisi wajahnya. Dahinya pula jelas kelihatan berkerut serius.

"Ada yang tak kena dekat luar ni," ujarnya penuh tegas. Beto lilaukan pandangannya ke sekeliling setelah itu. Kelihatan sekitar laman rumah sepi tanpa sebarang kelibat yang dikenali, yakni konco-konco yang sedang berada di luar sebentar tadi. Tidak jauh dari susur keluar rumah pula, van yang menjadi pengangkutan utama mereka kelihatan hidup tanpa sebarang pengendali. Lebih menghairankan, pintu masuknya semua tertutup rapat.

"Plan B. Keluar ikut pintu belakang! Cepat!" Beto lantas menempik. Terkial-kial dia menolak Doktor Ruby ke arah dapur rumah. Langsung terkocoh-kocoh wanita itu memaut tangan Ain dan menariknya ke pintu belakang rumah tersebut. Sedang mereka dalam kekalutan, tidak semena-mena...

"Argh!" Suatu bunyi tembakan dan raungan sadis kedengaran di bahagian belakang rumah usang tersebut. Terjeda langsung langkah tiga orang itu. Masing-masing terbuntang mata saat mendengarkan bunyi tersebut.

"Bu... Bunyi apa tu?" Ain mula terasa debar. Perlahan, Beto berdecit kasar. Tak punya pilihan, dia lantas mengeluarkan pistol dalam poket jaketnya tadi. Doktor Ruby langsung memandang ke arahnya.

"Kita memang tak ada pilihan lain, kan?" Wanita itu menyoal sebal. Beto mengangguk sahaja. Seusai itu, terus Doktor Ruby keluarkan sepucuk pistol AMT Automag III dari sarung yang diselitkan di pinggangnya dan menyerahkannya kepada Ain sebelum mengeluarkan sepucuk lagi pistol kepunyaannya dan mula melaraskan peluru. Terkejut Ain dibuatnya.

"Doktor, saya mana reti guna pistol ni!"

"Awak boleh buat, Ain... Awak ada tumpuan yang bagus. This is a semi-auto gun, so it's easier for you. Just make sure your stance and grip are firm before firing; one at a time. Come on, you need to pull the pin first!" Doktor Ruby tarik tangan Ain dan mengajarkannya cara menggunakan pistol tersebut. Terkial-kial Ain cuba untuk fahami. Seusai itu, terus dia mengangguk faham; pistol di tangannya digenggam erat.

"Good! Kita gerak sekarang." Beto mendahulu ke depan. Sebaik sahaja membuka pintu dapur, dia menjengukkan kepalanya terlebih dahulu. Dalam kesamaran dinihari, dapat dia lihat beberapa susuk tubuh konco-konco yang hilang tadi terbaring kaku tidak jauh darinya. Langsung tidak semena-mena, Beto mencarut kesal; kuat giginya menggertap antara satu sama lain.

"Kau orang keluar dulu! Line tengah clear... Biar aku jaga belakang," ujar Beto kepada Doktor Ruby dan Ain di belakang. Dua orang perempuan itu lantas mengangguk dan mara ke depan dengan langkah yang penuh siaga; kiri dan kanan mata mereka melilau sementara tangan pula tergenggam rapi dengan pistol. Sekilas pandang, dapat Ain lihat dengan lebih jelas keadaan mayat-mayat yang tadi saat dia dan Doktor Ruby menghampiri. Leher mereka dikelar dan darah masih kelihatan segar mencemari rongga kulit yang terbuka; sebahagiannya pula mula mengering dan mula berubah warna menjadi lebih gelap.

Jujur, Ain rasa seperti mahu termuntah saat melihatkan keadaan tersebut. Namun, dia tahankan saja; hati dan akalnya mula bertelagah pendapat. Ini bukan masanya untuk rasa simpati dan jadi lembik, Ain! Akal gadis itu lancang memarahi hatinya.

Untung saja lepas dari kawasan belakang rumah dan masuk ke kawasan kejiranan yang padat, tidak semena-mena satu tembakan misteri bergesel dengan lengan Doktor Ruby. Langsung tersentak doktor wanita itu.

My Sagittarius {SEDANG DISUNTING SEMULA}Where stories live. Discover now