Bab 15 { GIMME A BREAK! }

4.7K 207 3
                                    

Kosong. Itu apa yang Ain rasakan sejak seminggu yang lalu tatkala dia sudah dibenarkan keluar dari hospital. Dan segalanya terasa bagaikan berlalu dengan pantas tanpa dia sendiri sempat hadam; bermacam hal yang sudah dilakukan oleh Puan Syafirah dan keluarga demi memulihkan semula semangatnya yang merundum jatuh, tetapi tetap saja Ain berpura-pura tersenyum demi menjaga perasaan mereka...

Walaupun benaknya sendiri ada sedikit kegalauan.

Manakan tidak? Dari taman awam hingga ke segala jenis bentuk hiburan terkenal bagi kaum wanita seperti membeli-belah, spa dan wayang, sudah mereka terjah. Bahkan, Syakirah juga turut mendapatkan kek Tiramisu untuknya semata-mata mahu menyenangkan hatinya! Jadi, mana mungkin Ain tega untuk menghampakan hati gadis itu dan juga keluarganya yang sudah banyak membantu!

Sementelah, bapa kandungnya sendiri tidak mengambil peduli. Apa khabarnya pun, Ain tidak tahu. Serasanya seperti sudah lama mereka terputus hubungan. Samar-samar sahaja ingatan Ain tentang lelaki itu. Itupun, sekadar zaman tadika yang boleh dikatakan penuh seri. Entah bagaimana dia boleh berpisah dengan bapanya itu pun, Ain musykil. Mahu saja dia mengingat, tetapi dia sedar kalau dia tidak berdaya.

Lagi pula, pernah Doktor Sarah menitipkan pesan kepadanya sewaktu dia masih berada di hospital. Jadi, Ain mengikut saja memandangkan arahan doktor wanita itu tersangatlah tegas. Terngiang-ngiang suaranya di peluput telinga.

"Awak sudah hilang hampir lapan tahun masa dari zaman kanak-kanak hingga ke pertengahan remaja awak, Ain. Jadi, saya harap awak tak berikan tekanan kepada diri awak untuk mengingat! Sebab saya yakin ia bukanlah sesuatu yang indah berdasarkan kajian yang saya dah buat berkenaan kes awak ni. Saya nak awak bertenang dan just go with the flow!"

Sekarang pula, entah apa lagi rancangan Puan Syafirah dan keluarganya untuk dia. Pernah suatu hari itu Ain mencucuk Aisy, namun lelaki itu langsung tidak tergugat. Malah, dia cuma tayang senyum penuh makna.

"Apa yang kami nak buat itu rahsia, tapi kau akan sukakannya, Ain."

Mengingatkan kembali senyuman kambing yang tersimpul di bibir lelaki itu, membuatkan Ain langsung rasa seriau; meremang bulu romanya.

"Haih, janganlah dia orang ni buat prank yang bukan-bukan! Boleh terkena heart attack aku dibuatnya!"

Lantas, Ain menggelengkan kepalanya biar fikirannya jadi lebih tenang. Setelah itu, dia memberikan semula tumpuan ke arah cermin meja rias yang terpampang di depan matanya. Tudung sarung kain kapas yang lembut disarungkan ke kepalanya. Lalu, Ain bangun dari kerusi. Elok saja dia berdiri, tidak semena-mena suatu bunyi ketukan pintu menyapa hujung telinganya. Sayup-sayup suara Puan Syafirah kedengaran.

"Ain, kamu dah siap? Kita ada tetamu ni nak jumpa kamu."

Langsung berkerut dahi Ain tatkala mendengarkan kata Puan Syafirah itu; dia jadi berteka-teki sendiri. Memangnya siapa? Perlahan-lahan, dia berjalan menghampiri pintu kamar sebelum memulas tombol pintu. Ain sendengkan sisi tubuhnya pada daun pintu sebelum menyoal Puan Syafirah.

"Siapa, Mama Firah? Kenapa tiba-tiba?"

"Kita ada kawan-kawan sekerja kamu datang melawat. Mereka dah tak sabar nak jumpa dengan kamu, tahu?" Puan Syafirah tayang sengih lebar. Terkebil-kebil Ain jadinya saat mendengarkan jawapannya itu.

My Sagittarius {SEDANG DISUNTING SEMULA}Where stories live. Discover now