"Kau dekat mana sekarang ni?" soalnya dingin. Puan Azirah liarkan pandangannya ke segenap panorama pagi kota yang kelihatan lemas dan sesak di permulaan hari; yakni menahan sabar. Panas pula hatinya apabila gerangan di hujung talian asyik berdalih-dalih.

"I dah sampai dah ni; dah nampak dah pun anak tiri you punya kepala! You tenang jelah... I tahulah apa yang I perlu buat," ujar gerangan di hujung talian. Nadanya kedengaran sebal. Puan Azirah di hujung talian, lantas menundukkan kepalanya seraya memicit pusing pelipisnya. Baru saja hendak membuka mulut dan bersuara lagi, tidak semena-mena gerangan di hujung talian mencantas kasar, "Sudahlah... I letak dulu. You ni buat serabut kepala I je, tahu tak?"

"Dini!"

Bam!

Puan Azirah hempas telefonnya ke meja apabila talian termati begitu sahaja. Turun naik bahunya mengatur nafas. Amarahnya terasa bahang di lubuk hati. Si Qashriq dan si Danisha yang baru tiba, hanya memerhati keadaan Puan Azirah dari bingkai pintu gelangsar sambil berpeluk tubuh. Mereka berpandangan sesama sendiri.

"Mama yakin ke kita boleh dapatkan aset arwah Atuk Hisyam daripada budak tu? Kita ni dah tak ada kena-mengena dengan keluarga Papa Farzlan," soal Danisha tiba-tiba. Qashriq di sisi mengangguk setuju. Tidak semena-mena, Puan Azirah menjeling tajam.

"By hook or by crook aku akan dapatkan kekayaan aku balik! Aset tu semua sepatutnya jadi milik kita, bukan budak tak guna tu!" ujar Puan Azirah, tegas. Qashriq dan Danisha hanya mampu mengeluh lemah. Nampaknya mama mereka sudah jadi buta hatinya...

"Terpulang kepada mama... Kalau ada apa-apa yang jadi, Qashriq tak mahu bertanggungjawab; jangan lupa Ain masih ada Red Genes! Mereka dah lama jaga dia," ujar Qashriq, memberikan amaran. Danisha di sisi mengangguk sebelum menyambung, "Danisha dengan abang dah tenang dengan kehidupan kami sekarang. Lagipula kita bukannya hidup susah! Kalau mama tetap berkeras juga... Dosa mama hanya akan membawa kepada kifarah. Renung-renungkanlah... Kami minta diri dulu."

Qashriq dan Danisha berlalu pergi seusai mereka bersalaman dengan Puan Azirah. Wanita tua itu sekadar membungkam kata dengan muka meluatnya. Kepergian anak-anaknya hanya dihantar dengan lirikan bebola mata. Sebaik sahaja bunyi pintu utama yang tertutup kedengaran, dia terus campakkan telefonnya ke dinding dan melepaskan jeritan berang. Berkecai telefon mahal itu di lantai.

"Red Genes..." Puan Azirah berdesis sendiri. Di mata coklat tuanya, jelas kelihatan dendam yang membara di jiwanya. Sedikit demi sedikit, buku limanya digenggam erat. Tidak semena-mena, Puan Azirah lepas tawa jelek; penuh dengan agenda hitam.

"Kalau macam tu aku akan buatkan kau lupa!"

*****

Kapsul telur yang berwarna jingga di tangan, Ain pandang tekun. Dia berkira-kira sendiri saat mengingatkan pesan Ben si setiausaha saat dia membuat pengesahan nama di mejanya.

"Cik Ain boleh buka kapsul ni saat interview nanti."

Ain lantas menyandarkan tubuhnya di kerusi menunggu. Seraya itu, dia berpeluk tubuh sambil mengusap-usap dagunya. Kiri dan kanan dipandang sejenak. Kelihatan beberapa orang calon yang duduk dengannya turut mendapat kapsul yang sama namun warna yang berbeza. Hmm...

"Hi, there!" tegur seseorang tiba-tiba. Lantas Ain tolehkan kepalanya ke sisi bertentangan sebelum mengukirkan segaris senyuman tipis di bibir. Dia menyapa mesra gerangan seorang wanita muda yang kelihatan segak dengan seluar slek dan kemeja lengan panjang. Gayanya sophisticated dengan sedikit perhiasan dan solekan yang sederhana. Rambutnya yang ikal mayang beralun lembut hingga ke belikatnya.

My Sagittarius {SEDANG DISUNTING SEMULA}Where stories live. Discover now