71 | JOM MAIN GULI

1K 51 3
                                    

JOM MAIN GULI —

Aku dan Pejal dihantar pengurus menghadiri taklimat hujung minggu di utara tanahair bulan lepas. Memandangkan hanya kami berdua yang masih bujang di pejabat, aktiviti outstation sering menjadi 'makanan bulanan' kami. Sampai bila pun tak tahulah. Aku dan Pejal taklah begitu rapat - kami cuma colleagues dan bukannya member - tapi tugasan outstation bersama menjadikan kami mula selesa berdua.

Kami berdua bertolak dari Kelana Jaya hari Jumaat pukul 9 pagi, dan sampai ke destinasi sedikit selepas 12 tengahari. Hotel kami tak besar pun, cuma lokasinya strategik kerana terletak berhampiran kedai mamak dan pasar malam. Boring malam-malam boleh merayau sekejap.

Sewaktu kami mendaftar, beberapa peserta dari negeri lain sedang menunggu giliran untuk check-in. Ramai yang datang dengan pasangan masing-masing.
Dan aku, dengan Pejal.
Pejal pun Pejallah.
Mana tahu tahun depan, aku dah kahwin, boleh bawa bini sekali.

Bilik kami di tingkat 4.
Ketika kami keluar dari lif, suasana koridor sunyi sepi. Aku tak pasti sama ada peserta lain sudah masuk ke dalam bilik dan sedang berehat, ataupun kami berdua yang datang awal.

Sesi suaikenal bersama peserta lain berjalan dengan jayanya malam itu diikuti dengan jamuan makan. Haaa... bab makan aku memang suka. Siapa tak suka makan kat hotel, kan? Pinggan Pejal, macam biasa, membukit dengan nasi dan lauk-pauk. Patutlah muka pun dah bulat macam pinggan.

Jam 10:30 malam, kami bersurai dan naik ke bilik masing-masing.

"Didi, kau okay tak tidur sorang malam ni?" tanya Pejal ketika aku menyusun pakaian di dalam almari.
"Eh. Kau nak pergi mana?"
"Aku nak tidur rumah mak aku malam ni. 45 minit driving," jawabnya.

Aku terlupa Pejal orang utara. 45 minit tu jauh juga, larat ke nak drive malam-malam?

"Aku okay jer. Kenapa lak tak okay?" tanyaku, sambil tersengih macam kerang busuk.
"Kot kau tak okay. Hotel kan...," jawabnya pendek.

Waktu tu aku memang rasa nak hempuk kepala dia dengan bantal, tapi aku buat cool jer. Weh, ini Didilah. Tak mainlah takut-takut ni.

"Besok jangan datang lambat. 8:30 pagi dah register. Kau datang lambat, attendance kosong, Encik Manan tahu naya kau," aku memberi amaran.

Dia mengangguk dan ketawa sambil mengambil begnya yang belum dibuka di atas katil. Kunci kereta di atas meja cermin dicapainya.

"Jumpa esok bos!" katanya girang.

Jadi malam itu aku tidur seorang. Apa adahal. Orang ramai, kan?

Aku memang tak boleh tidur dalam bilik yang gelap gelita, jadi lampu bilik mandi aku biarkan terbuka.
Nak kata malap sangat tak.
Nak kata terang sangat pun tak.
Samar-samar.

Pendek kata masih boleh nampaklah batang hidung orang dalam bilik. Dan malam itu, aku nampak Pejal jalan dari kerusi malas di tepi langsir ke bilik mandi. Berdesup jalannya macam lipas kudung. Lepas itu, bunyi pintu bilik mandi ditutup. Serius aku tak fikir apa-apa langsung sebab aku penat, lagipun tak mustahil Pejal tak jadi balik rumah, kan?

Aku terjaga pukul 3:15 pagi sebab nak terkencing. Mula-mula tu aku menggelupur juga sebab bilik gelap. Cepat-cepat tangan aku capai suis lampu katil. Aku termamai-mamai, tak ingat bila aku tutup lampu bilik mandi. Lepas itu baru aku teringat Pejal balik.

Tapi mana Pejal?

Pintu bilik mandi bertutup.
Takkan kat dalam lagi kot?
Pengsan ke?
Sebab dah tak tahan nak kencing, aku pun ketuk. Mula-mula perlahan, lepas tu macam nak rak.

Lepas tu aku buka terus.
Kosong. Tak ada Pejal.

Lepas kencing, aku cuba tidur balik tapi tak boleh. Serius aku rasa seram sejuk semacam. Aku buka TV nak elakkan sunyi. Nak katakan mimpi, macamana pintu bilik mandi boleh bertutup? Tak, sekarang masalahnya Pejal balik ke tak? Aku tengok katil dia masih tak terusik.

Ah sudah.
Memandangkan nak tidur pun dah tak syok, aku layan main game kat telefon... sampailah aku terlelap dalam pukul 3:45 pagi kot.

Lepas tu aku terdengar bunyi guli.
Ya kawan-kawan, bunyi guli.
Seketul jatuh berdenting-denting.
Dua ketul jatuh.
Tiga ketul jatuh.

Tapi bunyi tu bukan dari tingkat atas. Lagipun mustahil bunyi guli dari bilik atas sebab bilik hotel kami berkarpet.

Jadi, dari mana datangnya bunyi tu?
Ya kawan-kawan.
Dari bilik mandi sebelah katil aku.

Menggeletar aku dibuatnya, dahlah aircond sejuk gila.

Aku beranikan diri bangun dari katil. Kaki nak jejak karpet pun takut tau. Takut ada tangan sejuk raba dari bawah katil. Aku tak pernah setakut ini dengar bunyi guli jatuh. Pintu bilik mandi kembali rapat, entah bila jadi macam ini pun aku tak tahu. Aku tolak perlahan-lahan.

Dan aku menjerit macam orang gila.

Terduduk atas mangkuk tandas, Encik Gula-Gula. Dari hujung bunjut kaki dia keluar butir-butir guli. Atas lantai bilik mandi waktu itu ada berbelas guli rasanya. Yang buat aku meremang, Encik Gula-Gula melintuk-liuk macam tengah berzikir.

Aku cepat-cepat tutup pintu bilik mandi, handphone terus Spotify bacaan Yasin. Aku ulang sampai aku dengar azan Subuh kat TV1. Dah Subuh, takkan tak nak sembahyang kan? Aku beranikan diri tolak pintu bilik mandi, Encik Gula-Gula dah tak ada. Tapi rasa meremang masih kuat.

Dipendekkan cerita, pagi Sabtu tu aku selamba cakap pada Pejal teman aku tidur malam nanti.

"Pehal brader? Takut ke?" dia bertanya sambil ketawa.
"Ha'ah aku takut". Aku malas nak eksplen panjang.

#certotCP 2Where stories live. Discover now