45 | LINA BERGEMERLAPAN

1.3K 71 8
                                    

Dia hampir berjaya melelapkan mata setelah hampir sejam terkebil-kebil di dalam bilik tidur yang gelap gelita ketika pintu diketuk bertalu-talu.

"Abah! Lina tak boleh tidur! Abah!"
Dia bergegas bangun, kain pelikatnya yang hampir terlucut segera diikat.
"Apa lagi ni Lina? Abah kerja esok. Tadi kan Abah dah check bawah katil Lina. Mana ada apa-apa"
"Ada spider"

Dia merengus. Spider pulak dah. Sejak isterinya meninggal kerana kanser payudara bulan November lepas, bukan sahaja Lina jadi tak terurus, hidupnya juga jadi tunggang langgang.

"Lina, dengar ni. Abah teman Lina dalam bilik sekejap. Kita cari spider. Kalau tak ada, Abah nak Lina tidur. Abah esok kena bangun awal. Lina pun ada school kan?"

Dia memimpin tangan anaknya ke bilik di hujung koridor apartmen tiga bilik itu. Bahang menerpa ke mukanya sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Dia menghampiri tingkap dan menolak luas kedua-dua cermin kaca sambil melihat keseluruhan kawasan kondo Serin Residensi bermandikan cahaya bulan penuh malam ini.

"Abah! Jangan bukak tingkap please!"
Ada ketakutan di dalam nada suara Lina yang masih berdiri di muka pintu biliknya.

Dia mengeluh dan menghempaskan punggung di atas katil anaknya. Sambil menghela nafas panjang, dia menghulurkan tangan kiri, mengajak Lina naik ke atas katil.

"Bilik Lina panas. Nampak ni bantal pun basah kena peluh. Sebab tu Abah bukak bagi udara sejuk masuk. Macamana nak tidur kalau panas?"
"Tapi Lina takut..."
"Takut apa?!"

Tersentak anaknya ditengking secara tak sengaja. Dia menepuk dahi dan menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Betullah mereka anak beranak dah gila sejak kematian isterinya. Anaknya jadi paranoid tiap malam. Abahnya jadi pemarah dan cepat hilang pertimbangan.

"Lina takut apa? Bagitahu Abah, sayang"
Di dalam sedu sedan, dia menjawab:
"Spider"
"Mana spider? Tunjuk Abah. Abah bunuh"
"Kat tingkap. Spider besar. Dia selalu jenguk dari luar nak masuk. Mata dia merah. Lina takut, Abah!"

Dia memeluk Lina. Dadanya yang tak berbaju basah dengan air mata dan hingus anaknya.

"Go to sleep ya Lina. Abah nak tidur ni. Kalau takut baca apa?"
"Baca ayat Qursi"
"Ha macam itulah anak Abah. Jangan takut. Dah besar tak boleh takut. Bilik Abah belah sana jer. Lina panggil Abah boleh dengar"

Lina mengesat air matanya, mengangguk, dan merebahkan kepalanya ke atas bantal.
Dia hampir bangun ketika Lina memanggilnya.

"Abah! Spider tu ada kat belakang Abah tadi. Besar. Melekat kat atas"

Tindakan refleks membuatnya menoleh ke belakang dalam 0.01 saat. Berderau juga darahnya.

"Mana?"
Lina diam, memandang ke tingkap yang ternganga dengan kain langsir yang bergerak-gerak malas ditiup angin malam.
"Dia dah keluar"
"Okay cukup. Abah nak tidur"

Dia bingkas bangun dan menutup pintu perlahan-lahan, melihat wajah anaknya yang masih terkebil-kebil memandang tingkap.
Pintu ditutup rapat dan dia melangkah ke biliknya sambil menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.
Dan ketika itulah dia merasakan rambutnya terlekat sarang labah-labah, seolah-olah dia baru keluar dari stor.

"ABAH!!!"
Dia bergegas ke bilik Lina.
Namun katil anaknya kosong.
Kain langsir masih bergerak-gerak malas ditiup angin malam.
Dan dia ternampak kelibat anaknya dikendong lembaga sebesar manusia yang melekat di dinding kondo, cuba meloncat dari blok A ke blok B.
Lina bergemerlapan di bawah cahaya bulan penuh malam itu, seolah-olah diselaputi benang sutera.

#certotCP 2Where stories live. Discover now