17 | TIPS MASUK U

3.4K 138 19
                                    

TRIVIA
Tips Masuk U pernah ditweet secara LIVE pada 12 malam, 12 Ogos 2015. Kisah ini ditulis dan dirombak semula untuk Wattpad pada 21 Jun 2017. Format tweet LIVE Tips Masuk U menyukarkan penulisan semula ke format mesra-pembaca, dan ini merupakan salah satu sebab mengapa kisah ini belum pernah diterbitkan dan tidak dimasukkan ke dalam antologi creepyposta yang pertama. Namun begitu, Tips Masuk U telah menjadi viral sekitar 2015 dan 2016 dan menjadi kisah urban legend pilihan pelajar-pelajar IPT di media sosial — walaupun nama Jeffrey Zain tidak disebut sebagai penulis asal kisah ini.

----------

Petang itu Maslan leka memerhatikan rakan-rakan barunya bermain futsal ketika seorang senior datang menepuk bahunya dari belakang.
"Eh Abang Mus"
"Kenapa kamu tak join main?"
"Kaki saya melecet berkawad pagi tadi, bang"
"Hahaha lembik sangat kamu ni"
Maslan tersengih macam kerang busuk.
"Minggu orientasi memang macam tu. Kalau tak melecet, tak terseliuh, memang tak sah. Sabar jer Lan"
"Baiklah bang"
"So far kamu kat sini macamana?"
"Okay jer bang. Baru lagi. Tengah nak menyesuaikan diri"
"Hurm. Abang nak bagi kamu tips ni. Nak dengar tak?"
"Tips apa bang?"
"Tips Masuk U. Kamu lemah semangat tak?"
Maslan menggaru rambutnya yang berminyak sambil menyeringai.
"Belum dengar, mana saya tahu bang"
"Hahaha Maslan, Maslan. Kamu ni lurus bendul. Boleh pergi jauh ni"
Maslan kembali tersengih.
"Okay dengar baik-baik ya. Abang malas nak ulang"

TIPS PERTAMA
Ringan-ringankan mulut bersembang dan bercampur dengan pak guard dan makcik cleaner. Mereka tahu serba-serbi 'rahsia' kolej dan kampus. Pak guard boleh bukak cerita tentang suara orang menangis, mengilai dan menjerit pukul 3 pagi. Dia tahu bilik-bilik mana ada kes bunuh diri.
Makcik cleaner pulak tahu kat koridor mana ada budak kena histeria dan lompat dari tingkat tiga, jatuh bawah kepala bersepai macam tembikai. Lepas tu dia tahu kat ampaian mana budak-budak biasa nampak langsuir bergayut bila sidai baju pukul 3 pagi. Lokasi-lokasi tong sampah kena selongkar sebab ada pad berdarah pun dia boleh tunjukkan.

TIPS KEDUA
Bila dapat bilik, elakkan daripada pilih katil dekat dengan tingkap. Bila tutup, rasa lemas. Bila bukak, rasa seram. Tingkap menghadap koridor bahaya sebab malam-malam dengar bunyi selipar kena seret. Bila berselubung dalam selimut sambil menggigil, sayup-sayup dengar suara 'Karipap! Karipap!'
Penjualnya bukan orang biasa. Nama dia Makcik Karipap. Biasanya dia datang lepas pukul 3 pagi waktu kolej dah sunyi dan gelap. Yang belum tidur, sibuk basuh baju kat toilet hujung. Ada jugak yang sibuk study pakai earphones, tak perasan Makcik Karipap tengah menjenguk kat luar tingkap. Siapa sebenarnya Makcik Karipap? Tak siapa pun tahu. Yang pernah nampak Makcik Karipap kata dia bongkok macam nenek kebayan, pakai selendang. Muka tak nampaklah tapi. Kat lengan tersangkut bakul rotan ada dua ketul batu nisan.
Kalau dia tegur kamu kat luar tingkap 'Dik, nak karipap?' kamu jawab jer 'Tak nak'. Selagi tak dijawab, Makcik Karipap akan tunggu. Bukan apa, takut kalau dia dah naik hantu, dia masuk ikut celah tingkap dan tunggu kat hujung katil. Ramai dah terkena.

TIPS KETIGA
Kalau dapat katil double decker, pastikan tahu bila member yang tidur atas atau bawah masuk tidur. Tahu tak kenapa? Dulu ada dua tiga kes roommate tidur awal, dengar katil kena panjat dalam gelap, lepas tu dia dapat mesej WhatsApp dari member sebilik: 'Bro, aku study McD dengan geng malam ni. Esok ada kuiz. Ko jangan kunci pintu'.
Dia pun menggelupur keluar bilik tak sempat nak pasang lampu. Kisah benar. Beringat sebelum kena. Katil double decker memang selalu ada kisah angker.

TIPS KEEMPAT
Kalau member sebilik semua dah balik kampung dan kolej kamu ada dua tiga kerat jer yang tak balik, janganlah ambil risiko. Dulu ada kes budak tak nak balik kampung sebab malas naik bas berjam-jam. Lagipun dia kata ada member bilik atas yang tak balik. Malam itu, dia terjaga bila dengar budak bilik atas seret kerusi pukul 3 pagi. Bengang, dia pun pergi tengok, tapi level tu gelap. Rupanya dia jer yang tak balik. Takut punya pasal, dia tidur kat pondok pak guard sampai Subuh. Ingat tu, jangan tak balik kampung.

TIPS KELIMA
Kalau rasa nak kencing atau berak, buanglah sebelum tidur. Buat apa nak seksa diri kalau rasa nak terkucil pukul 3 pagi? Toilet nun kat hujung koridor. Bila sampai sana, tolak pintu, tutup, lepaskan hajat. Tapi bukanlah toilet kolej namanya kalau tak ada kisah seram.
Pernah dengar tak cerita student pergi kencing pukul 3 pagi dan hilang. Ha'ah. Ghaib. Lesap. Macam kena telan bumi. Sebulan cari tak jumpa. Lepas tu, satu malam, ada student tengah berus gigi dalam toilet. Bila dia tadah air dalam gelas nak kumur, segumpal rambut keluar dari hujung paip. Bila disiasat, rupanya budak yang dah hilang sebulan tu ada dalam tangki air toilet. Mayat dah kembung. Perut pun dah pecah. Sepanjang sebulan, bebudak kat level tu dah mandi air mayat... dan hirup kuah megi air mayat. Tak siapa tahu macamana student tu boleh masuk dalam tangki sebab penutupnya terkatup rapat. Tak ada kesan kena usik. Misteri sampai sekarang. Jadi, hati-hatilah bila pergi toilet ya. Takut tak balik-balik dah lepas tu.

TIPS KEENAM
Elakkan membasuh baju selepas pukul 12 malam. Pernah dengar kisah budak nampak 'benda tu' tergantung kat ampaian? Lepas habis perah baju, dia pun pergi sidai kat ampaian tingkat 4 sebab level tu banyak bilik kosong, jadi ampaian pun tak ada orang pakai. Waktu dia nak sidai baju, dia nampak di hujung ampaian ada bantal bolster tergantung. Dia buat dek jer mula-mula tu sampailah dia perasan bantal tu berhayun-hayun. Bila ditenung betul-betul, rupanya pocong tergantung. Ingat tu! Basuhlah baju waktu siang.

TIPS KETUJUH
Sesetengah bilik ada 'sejarah' tersendiri. Kadangkala sejarah hitam bilik sengaja didiamkan pihak kolej. Pernah dengar tak kisah student dapat bilik tempat bunuh diri?
Malam tu dia tidur seorang sebab member balik kampung. Nak jadikan cerita, pukul 3 pagi bekalan letrik terputus. Kipas terpadam. Lampu koridor pun tak ada. Gelap gelita. Tapi dia dengar bunyi kreok kreok kreok dalam gelap.
Bunyi bilah kipas siling berpusing.
Tapi letrik tak ada.
Dia ambil fon tepi bantal. Suluh pakai skrin.
Tahu apa yang dia nampak?
Badan tergantung dari kipas dengan tali pinggang.
Berpusing...
Berpusing...
Mata terbeliak, lidah terjelir.
Bunuh diri dek patah hati.
Tindakan bodoh.
Dan yang paling bodoh, tak ada siapa akan beritahu kita pasal bilik tempat bunuh diri. Setiap bilik di kolej perlu diisi. Kalau ada yang tahu bilik tu pernah ada orang bunuh diri, ada ke orang nak duduk situ? Common sense. Cara nak atasi bilik pernah jadi lokasi bunuh diri? Jangan tinggal solat. Banyakkan baca ayat-ayat suci. Pasang CD Hafiz Hamidun pun ok rasanya.

TIPS KELAPAN - terakhir
Kalau selimut asyik terjatuh atas lantai pukul 3 pagi, jangan dikutip.
Biarkan.
Sebab apa?
Tak pernah dengar cerita?
Ada student ni perasan selimut asyik terjatuh atas lantai.
Mula-mula jam 1 pagi.
Lepas tu 1:45.
Lepas tu 3:15.
Dia tidur seorang malam tu. Katil sebelah kosong sebab member balik kampung. Bila selimut 'hilang' sekali lagi jam 3:30 pagi, dia tengok kat hujung kaki.
Selimut tak ada atas lantai. Dia hairan. Bilik tidur samar-samar sebab ada cahaya dari luar. Dia cuba intai bawah katil. Pun tak ada. Mana selimut dia? Sambil baring atas lengan kanan, dia pandang katil sebelah.
Selimutnya ada kat sebelah. Tapi ada 'benda' berselubung bawah selimut tengah beratib macam berzikir.
Mencicit dia lari bilik member.
Ingat: Selimut jatuh tengah malam? Biarkan!

Bila Abang Mus sampai ke tips kelapannya, langit mula merah dan laungan azan mula kedengaran.
"Okay lah Lan, gi balik. Dah Maghrib"
Muka Maslan berubah. Sengihannya dah tak ada.
"Kenapa macam ayam berak kapur tu Lan?"
"Errr... saya cuak lah bang..."
"Cheh! Releks brader!"
"Abang Mus cakap senanglah. Saya lemah semangat"
"Nak takut apa? Tips Masuk U tu urban legend jer lah. Gabra kamu tu simpan sikit"
"Tapi bang, malam tadi kipas saya berbunyi macam tu waktu letrik tak ada kejap. Selimut saya pun jatuh entah berapa kali"
Senyap.
"Abang dengar tak saya cakap ni? Bilik saya tu okay tak sebenarnya?"
Mus terkebil-kebil memandang muka Maslan. Giliran muka Mus pula berubah.

#certotCP 2Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora