BAB 2

1.8K 34 0
                                    


HEMBUSAN bayu berdesir menampar pokok ru yang melatari Kem Serikandi. Kem latihan yang terletak betul-betul berhadapan Laut Cina Selatan itu sesekali didatangi ribut kecil apabila angin yang menderu seakan-akan hilang rentaknya. Dedaunan yang berlaga sesama sendiri menimbulkan ritma dalam bahasa alam yang tersendiri.

Lima orang serikandi mengorak langkah menuju ke dewan makan yang sudah pun dipenuhi serikandi-serikandi lainnya. Sesekali mereka berbisik-bisik kecil sebelum mengekek ketawa. Mungkin terselit jenaka di sebalik perbualan mereka.

"Kau rasa, apa yang dah jadi pada Hana?" soal Izzati.

Gelak ketawa empat orang remaja awal 18 tahun itu terhenti sebaik sahaja soalan Izzati menerpa telinga. Bulat mata masing-masing memandang ke arah Izzati yang jelas serba salah.

Aku salah cakap ke? Kenapa lain macam sangat dia orang tengok aku? Izzati tertanya-tanya sendiri.

"Kenapa kau tanya?" soal Shiifa.

Terkelip-kelip sepasang mata sepetnya memandang ke arah Izzati yang sudah terkulat-kulat keseorangan.

"Err... just curious."

Kening Emellza terangkat sebaik sahaja mendengar jawapan balas Izzati. Serta-merta dia teringatkan Farhana yang menjadi mangsa buli mereka akibat dek keceloparan mulutnya sendiri. Tanpa sedar, tersungging senyuman sinis di balik bibirnya. Padan muka! Nak main gila lagi dengan aku, desis hati Emellza.

"Ada dua keadaan. Masih menangis melalak dalam tandas tu seorang-seorang atau dah pengsan kena kacau dengan puaka kat dalam tandas tu," ujar Emellza, tersengih lebar.

"She‟s deserved it," ujar Nabilla, perlahan.

"Yup! She‟s deserved it. Kalau tak kerana mulut puaka dia, tak adalah kita kena denda malam-malam buta. Dengan telekung pulak tu!" rungut Shiifa pula.

Riak meluat ditayangkan selamba.

"Guys, tak payahlah cakap pasal Hana kat sini. Nanti kalau dengar dek orang lain, tak fasal-pasal kita kena denda lagi," ujar Hazikha, perlahan.

Sesekali terlihat dia meliarkan pandangan memerhati sekeliling. Takut-takut ada yang mencuri dengar perbualan mereka berlima.

"Siapalah yang berani nak report pasal kita ni, Bekha? Hana dah pun terkurung kat dalam tandas lama tu. Still remember what we did to her yesterday?" sampuk Nabilla.

Mukanya kelihatan bersahaja sambil mengatur langkah merapati kaunter makanan yang mempamerkan pelbagai jenis juadah pada pagi itu. Semuanya nampak menyelerakan di mata Nabilla. Berkali-kali dia menelan air liur yang entah bila bertakung di laluan tekak.

"Watch your word, Bie!"

Keras amaran yang keluar dari mulut Hazikha. Tangannya kejap menggenggam pergelangan tangan Nabilla yang jelas tersentak dengan kelakuannya. Terkebil-kebil gadis itu memerhatikan wajah Hazikha yang sudah memerah menahan geram yang entah bila menguasai diri.

"What's wrong with my word, Bekha? I' just saying... kau, aku, kita semua tahu apa yang dah kita buat, kan?" ujar Nabilla, berbisik perlahan di telinga Hazikha.

Walaupun nadanya cukup perlahan, namun tona suaranya jelas kedengaran keras dan sengaja ditekankan. Pantas dia merentap pergelangan tangannya yang dipegang Hazikha. Dia sempat menjeling wajah Hazikha yang cemberut sebelum menonong mengatur langkah mendapatkan pinggan yang terletak tidak jauh dari situ.

"Calm down yourself, Bekha. Aku tak rasa apa yang Bie cakap tu salah. Apa yang aku rasa, kau macam sengaja nak membesar-besarkan benda yang simple," ujar Emellza.

Projek Seram Restroom - Jalan KematianWhere stories live. Discover now