BAB 1

2.3K 46 2
                                    


"SAKIT Bekha...sakit. Tolong jangan buat saya macam ni," rintih Farhana, perlahan.

Air matanya mengalir deras membasahi pipi. Rasa sakit di seluruh tubuh semakin tidak tertanggung.

"Tahu pulak kau rasa sakit! Hati aku yang sakit ni kau tak peduli pulak!" jerkah Hazikha, nyaring.

Tubuh Farhana kembali dilanyak Hazikha dan empat orang sahabatnya. Mereka langsung tidak menghiraukan jerit pekik Farhana yang kesakitan. Pipi gadis berusia 18 tahun itu ditampar bertalu-talu. Perutnya pula disepak berkali-kali. Sudahnya, Farhana sekadar membiarkan. Hendak melawan, kudratnya sudah semakin lemah. Hanya mulutnya sahaja yang terbuka mengucap perkataan sakit.

"Hana...Hana minta maaf," ucap Farhana, sepenuh daya.

"Maaf? Senang aje kau cakap maaf, kan? Kau sama maaf kau tu boleh pergi mati!" bentak Nabilla, garang.

Dia mencebik. Meluat.

"Kalau maaf tu berguna, tak perlulah ada polis kat dalam dunia ni, Hana," sampuk Izzati, perlahan.

Dia memerhati wajah Farhana yang berkerut menahan perasaan.

"Dan kalau maaf tu berguna, lepas ni kita orang minta maaf kat kau ya," tambah Nabilla.

Dia duduk mencangkung berhampiran wajah Farhana sebelum ditonyohkan lututnya pada wajah serikandi itu.

"Kau sakit, Hana?" soal Hazikha.

Terpamer senyuman sinis di sebalik bibir mungilnya. Dia memandang tajam ke arah Farhana yang sedang merintih halus.

"Sakit," jawab Farhana, lirih.

"Hati aku ni lagi sakit dengan perangai kau. Mulut puaka kau tu memang patut kena ajar, baru reti bezakan hal orang atau hal sendiri!" bentak Hazikha, garang.

Dia menampar wajah Farhana yang sudah basah dek air mata.

"Bekha, nak bagi dia rasa insaf tak?" soal Emellza, tiba-tiba bersuara. Meleret senyuman penuh makna pada bibirnya.

Serta-merta perlakuan empat orang sahabat itu terhenti sebaik sahaja mendengar kata-kata Emellza. Membuntang mata mereka melihat senyuman yang terukir di balik bibir sahabatnya itu. Emell pasti ada rancangan yang bukan-bukan ni, desis hati mereka berempat. Mereka sudah kenal benar perangai Emellza yang kerap mengenakan orang walau sesiapa sahaja yang tidak berkenan di hatinya.

"Maksud kau apa?" soal Hazikha apabila Emellza hanya sekadar tersenyum penuh makna.

Dalam hati mereka sudah terdetik pelbagai rancangan yang pastinya mengujakan mereka.

"Maksud aku, kita bagi dia insaflah. Kita kasi tutup mulut puaka dia...forever," jawab Emellza, masih meleretkan senyuman. Senyuman sinis yang punya makna tersendiri.

Spontan Emellza mengatur langkah mengelilingi Farhana yang terbaring kesakitan. Dia memerhati seketika tubuh Farhana yang lembik lalu merentap kasar rambut gadis itu.

"Kau nak buat apa pulak tu, Mell?" soal Nabilla, laju.

Matanya memandang tajam perbuatan Emellza.

"Apa kata kita heret minah ni ke tandas lama dan kita kurung dia kat sana," ujar Emellza bersahaja.

Bibirnya kembali mengukir senyuman sinis penuh makna. Dendam yang meluap-luap dalam dada semakin membekukan akal fikiran untuk menimbang baik buruk satu-satu tindakan.

"Tandas lama? Forbidden area?" soal Izzati pula, minta penjelasan.

"Exactly, biar dia rasa extreme kat dalam sana. Biar dia rasa serik nak buka mulut puaka dia dan menjaja cerita," jawab Emellza.

Projek Seram Restroom - Jalan KematianWhere stories live. Discover now