PROLOG

3.3K 75 2
                                    


"TOLONG...lepaskan aku. Tolonglah...aku takut..."

Sayup-sayup kedengaran satu suara memecah keheningan malam. Suara yang begitu sayu dan lirih milik seorang gadis berusia 18 tahun itu merayu-rayu minta dilepaskan. Wajahnya sudah basah dek juraian air mata yang mengalir. Namun, walau sekerap mana pun dia meminta pertolongan, tiada siapa yang datang membantu. Dia terkurung berseorangan di situ. Terkurung di dalam dinding batu, mangsa kenakalan rakan-rakan yang tidak mengenal erti ihsan.

"Tolonglah...sesiapa...tolong lepaskan aku..."

Berkali-kali dia merayu ayat yang sama. Daripada menjerit nyaring hinggalah menjadi serak. Dia tetap terkurung di dalam sana. Orang-orang yang mengurungnya telah lama pergi membiarkan dia sendiri.

Tap! Tap! Tap!

Dari jauh kedengaran langkah seseorang merapati dirinya. Gadis itu bingkas berdiri dari tempat dia duduk lalu merapatkan diri ke arah pintu yang terkunci rapi. Laju tangannya menghentak pintu itu berkali-kali. Hatinya pula tidak henti berdoa agar hentakan kuatnya itu mampu didengar walau sesiapa sahaja yang melewati kawasan itu.

"Tolong! Tolong!"

Dia menjerit lagi. Walaupun tekaknya terasa perit dan kering, dia tidak peduli. Apa yang dia tahu, dia perlu keluar dari tempat itu. Sudah tidak sanggup rasanya untuk terus berada di situ. Dia benar-benar tidak sanggup.

Tok! Tok! Tok!

Kedengaran bunyi ketukan di muka pintu sebanyak tiga kali. Gadis itu serta-merta berasa seperti ada yang tidak kena. Tingkah lakunya menjadi teragak-agak. Kakinya spontan melangkah beberapa buah tapak ke belakang. Sengaja menjauhi pintu yang terkunci itu walaupun dia tahu hanya pintu itu sahaja satu-satunya jalan keluar yang dia ada.

"Kau mahu keluar?"

Garau nada suara yang bertanya. Gadis itu diserang perasaan takut. Dia sendiri tidak tahu mengapa perasaan itu datang dan mencengkam jiwa. Bukankah sebentar tadi hatinya meronta-ronta ingin keluar dari situ? Mengapa sebaik sahaja terdengar ketukan sebanyak tiga kali di muka pintu, dia menjadi setakut itu?

"Sii...siapa...siapa kau?" soal gadis itu.

Tubuhnya sudah menggeletar ketakutan. Air mata yang sudah mengering sebentar tadi kembali membasahi pipi.

"Biru atau merah? Pilihlah."

Suara itu kembali bergema. Gadis yang mendengar terpinga-pinga. Biru atau merah? Pilih? Pilih untuk apa? Apa yang membawa makna biru? Dan apa pula merah? Dia tertanya-tanya sendiri.

"Biru atau merah? Pilihlah," soal suara itu lagi.

Nadanya sengaja dikeraskan seolah-olah memberi tekanan buat si gadis agar memberi jawapan segera. Biru atau merah, si pemilik suara tidak peduli. Yang diinginkannya hanyalah jawapan daripada sang gadis. Jawapan yang begitu didambakan tidak kira sama ada biru mahu pun merah.

"Bii...bii...biru..." jawab gadis itu, tergagap-gagap diselang-selikan dengan esakan tangis yang perlahan.

Bam!!!

Pintu yang terkunci rapat tiba-tiba terbuka dengan sendiri. Terbeliak biji mata gadis itu sebaik sahaja melihat gerangan pemilik suara itu. Kelihatan kelibat satu lembaga berkelubung lusuh. Mukanya membiru seakan-akan lebam. Kulitnya berbirat-birat dengan hirisan benda tajam. Darah merah pekat menyimbah bajunya yang koyak rabak. Dia menyeringai sebelum perlahan-lahan melangkah merapati si gadis.

"Jangan...jangan...tolong...jangan dekat," rayu gadis itu.

Wajahnya sudah bertukar pucat. Terasa sendinya longgar mahu menongkat tubuh.

"Kau pilih biru, kan?"

Sebaik sahaja pemilik suara itu bertanya, batang leher gadis itu bagaikan dijerut satu tenaga. Jerutannya semakin lama semakin kejap hingga menyukarkan si gadis untuk bernafas. Dia tercungap-cungap menahan lelah. Dadanya mula menyempit. Nafasnya menjadi sesak. Tidak lama kemudian, dia kehabisan nyawa. Wajahnya yang lesu turut bertukar warna menjadi biru.

Projek Seram Restroom - Jalan KematianOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz