146. Beza Bahasa Tinggi dan Sastera

313 53 21
                                    

Salam hormat.

Sedikit masa dahulu, heboh tentang perkara ini diwar-warkan oleh salah sebuah syarikat penerbitan di tanah air berkenaan pengunaan Bahasa Tinggi. Manakala penggunaan Bahasa Sastera ditolak.

Apa itu Bahasa Tinggi?

Bahasa Tinggi adalah gaya bahasa atau penulisan (terutama novel) yang digunakan untuk menulis karya yang digembar-gemburkan dahulu dapat menangkap pasaran dan perhatian pembaca. Maksudnya bahasa ini adalah bahasa baku yang difahami oleh semua peringkat tanpa mengira umur. Selain itu, sedikit masa dahulu satu teori berdasarkan surah diangkat sebagai bukti bahawa Al- Qur'an ditulis menggunakan kaedah di atas. Namun akhirnya salah, kerana Al Quran itu adalah sebuah kitab yang lebih dari sastera. Bermaksud qalam yang diturunkan amat indah dan seni serta mempunyai maksud yang berlapis dan tersirat kadang kala.

Contoh Bahasa Tinggi : (prosaik)

Mereka pergi ke dapur. Kemudian mereka duduk sambil berbual. Ada pula di antara mereka yang mengambil makanan. Selesai makan mereka balik.

- Bagaimana rasanya ya? (boleh jawab sendiri)

Bahasa Sastera Atau Penulisan Yang Lazim

Dalam membicarakan hal berkaitan karya berbentuk prosaik atau sebagainya, ia boleh dibahagikan pada beberapa peringkat penulisan. Ia bergantung pada sejauh mana penulisan itu matang, sekiranya baru belajar menulis atau hendak mula menulis, lazimnya gaya penulisannya agak kaku dan tidak kurang menyerlah. Namun latihan demi latihan akan menambahbaikan dalam skil penulisan. Peringkat kedua pula adalah mereka yang sudah biasa menulis dan tidak punya masalah dalam menggarap karya atau menulis dengan baik.

Contoh :

Perlahan mereka turun ke dapur, suasana agak sunyi. Sesekali bunyi cengkerik dari luar menerobos masuk tanpa dapat ditahan. Setelah siap menghidangkan minuman, banyak perkara yang diperbualkan. Waktu terus bergerak. Sekali lagi, gelap mencuri suasana, mereka pun pulang dengan hati yang tenang.

Boleh bezakan dengan contoh di atas?

Tahap ketiga, di mana penulis benar-benar menguasai dan faham cara, gaya, langgam bahasa dan cara menggarap dan menyusun atur plot, klimaks, konflik dan sebagainya. Roh penulisan mudah meresap dan membuatkan pembaca terbuai serta tertayang di layar minda. Tak kira sama ada penulisan sastera atau tidak, ia kelihatan seakan-akan.

Contoh :

Cahaya bulan perak menyerak rata. Lidah angin menjelajah segenap inci ruang dapur yang acap terabai. Kelihatan beberapa ekor cicak berlarian di atas siling. Mereka mendongak, kening terangkat. Air liur laju menuruni rengkung. Niat dipasang semakin longgar.

Jadi, teruslah berusaha menukang karya yang matang dan menarik. Paling penting sedap dibaca. Lazimnya, penulis yang mencapai tahap ketiga adalah mereka yang berguru dari penulis lain. Tak kira sama ada melalui bengkel dan sebagainya. Kedua, biasanya penulis begini jenis rendah diri, mahu ditegur editor dan tidak bersikap defensif. Kalau tidak mutu penulisannya di tahap yang sama dan tidak berganjak sampai bila-bila.

Dari kaca mata editor pula, penulis yang mudah dibentuk biasanya karya mereka akan berkaya di pasaran. Yang bajet ala-ala star atau konon karya dia paling sedap, juga termasuklah yang syok sendiri dan telinga pekak badak enggan diri diperbetulkan, jawabnya ke lautlah karya mereka. Mengedit bukan sekadar melihat ejaan dan membaca begitu saja, malah mengambil kira faktor yang mampu menarik pembaca.

Editor adalah pengantara penulis dan penerbit, pengalaman mereka biasanya dapat melihat atau menelah karya-karya yang boleh pergi jauh. Mana-mana penulis yang merasakan dirinya bagus sangat dan tak boleh ditegur oleh editor, silalah terbit karya secara DIY tanpa ada batas dan sekatan. (Ramai juga saya jumpa penulis di wattpad ini yang perasan bagus!)

Selamat menulis dan menjadi matang dalam berkarya.

Guru say berpesan dengan satu pesanan yang membakar - Asyik awak saja yang tahniah orang lain, bila pula orang lain nak tahniah pada awak?

CATATAN SANG EDITOR (PRE ORDER KE-3 DIBUKA SEMULA)Where stories live. Discover now