138. Kuasa Bayangan / Imiginasi

274 42 18
                                    

Salam hormat kepada sekalian pengkarya wp serta pencandu tulisan di sini. Topik kali ini adalah bagaimana untuk memanipulasi kuasa bayangan atau imiginasi agar tulisan lebih hidup dan kelihatan benar di mata dan perasaan pembaca.

Terlebih dahulu, suka saya menasihatkan rakan penulis sekalian agar rajin membaca, membuat kerja rumah, melihat rencana tv, dokumentari, menonton filem, mendengar pengalaman orang lain dan cuba menghadamkannya sebaik mungkin.

Cuma barangkali akan timbul situasi bagaimana mahu mencerna semua dalam satu masa? Adakah semua maklumat yang diperolehi itu sesuai dimasukkan atau tidak? Jika tidak sesuai atau kurang pandai memasukkan, tulisan anda akan kelihatan seperti ada tempelen atau maklumat yang dimasukkan kelihatan tidak semulajadi atau terlebih teruk, ia kelihatan seperti sengaja diada-adakan agar cerita kelihatan betul-betul terjadi atau wujudnya situasi tersebut.

Jadi bagaimana mahu mencerna dan mencerakinkan ia agar tidak kelihatan palsu dan diada-adakan?

Pertama - mengenali genre apa yang mahu ditulis, maklumat tambahan yang ada atau diperolehi hendaklah sesuai dengan penceritaan atau babak yang sedang berlaku.

Kedua - info yang dimasukkan atau diselitkan hendaklah bersahaja.

Ketiga - ini petua saya, berangan dengan sungguh-sungguh bahawa ia sedang berlaku, di dalam benak kita.

Kebiasaan ini dilakukan oleh penulis-penulis yang senior untuk menghidupkan jalan cerita. Anganan itu harus wujud dalam otak ketika menumpahkan idea ke dalam bentuk tulisan. Perlu ingat bahawa pembaca masa kini bukan tidak sedar atau tak tahu apa yang kita titipkan. Segala maklumat di hujung jari, terlalu pantas untuk pembaca mengetahui maklumat yang kita masukkan.

Cuba lihat contoh di bawah sekadar renungan dan difikirkan.

Contoh 1 - maklumat yang dimasukkan kelihatan palsu atau tempelan.

Aku naik bas nombor 20. Tiket ke Gombak adalah RM 2.50 seperti Angah pesan.

bandingkan dengan contoh di bawah ini.

Contoh 2

Mataku tertancap pada angka 20 yang terlekat di kepala bas yang sedang memanaskan enjin. Orang ramai mula beratur dan naik. Ketika melabuhkan punggung di keusi bas, RM 2.50 disuakan kepada pengutip tiket yang kelihatan garang.

Jadi, garapan ayat hendaklah hidup dan kelihatan bersahaja.

Sehinggalah kita mendapat respons dari pembaca mengatakan bahawa tulisan kita seperti betul-betul wujud atau ada. Jika ini berlaku, maka tahulah bahawa kita sudah berjaya memasukkan maklumat itu secara santai dan kelihatan hidup serta wujud pula dalam benak mereka yang membaca karya kita.

Apapun, selamat menulis dan moga terus maju jaya.

CATATAN SANG EDITOR (PRE ORDER KE-3 DIBUKA SEMULA)Where stories live. Discover now