139. Kebal Mana Hati Seorang Penulis?

262 39 5
                                    

Salam hormat.

Tajuk di atas saya tujukan khas kepada sekalian yang membaca siri artikel ini. Moga bermanfaat dan dapat ambil iktibar.

Baik, sejujurnya ramai para penulis baru hatinya macam semut tapi lagaknya bagai bota raksaksa. Karya dan tulisannya menakutkan, jika seram berdiri bulu roma. Itu sudah bagus, ada bakat dan boleh pergi jauh jika benar-benar serius dan tekal menulis.

Tapi apakah persediaan untuk menjadi seorang penulis? Semua tahu perkara ini dengan membaca 8tulisan atau dari pengalaman penulis yang lebih senior. Kalau zaman saya, hanya berpandukan pada guru, bacaan dan pengalaman sendiri yang amat mahal. Sesungguhnya ia bermula dengan kosong, tiada apa hinggalah berjaya menerbitkan karya, barulah memperoleh sedikit pengalaman yamg tak seberapa.

Justeru, sebagai pucuk muda, ingin saya pesankan apabila berurusan dengan editor jangan sesekali tunjuk pandai, kuasa meluluskan manuskrip anda di tangan mereka. Jadi, mereka itu sombongkah? Bukan sombong, mereka sudah jemu jelak dan biasa berurusan dengan puluhan malah ratusan penulis yang ingin mencuba nasib untuk mencari tapak dalam bidang ini tapi berlagak.

Dalam hal yang demikian, saranan saya kepada penulis ... dengarlah apa yang editor penerbit mahu perkatakan atau jika tidak manuskrip anda akan berakhir setakat di laptop editor sahaja. Saya lihat ada juga yang baru sangat berurusan dengan penerbit, mungkin dalam satu atau penebit tapi sembangnya tinggi melangit, sudah mahu mengajar editor atau sombong serta ego bertingkat-tingkat. Itu belum saya katakan ada penulis yang merasakan dirinya paling betul walhal satu karya pun belum terbit, hanya terpapar di dada fb atau ruang percuma untuk menulis, itupun sembang bagaikan bangunan mahu runtuh.

Nah, begitukah gaya seorang penulis yang mahu berjaya? Adakah cara begitu kalian mahu jadi penulis yang dikenali? Kalau satu pun belum terbit sudah begitu, apatah lagi jika sudah ada beberapa karya? Ya, benar artikel saya kali ini agak keras walau bahasa saya santai, namun suka menegur kalian budak hingusan agar jangan terlebih perasan diri itu bagus.

Apa kalian fikir sudah ada ribuan follower di wattpad atau like di fb akan menjamin karya anda laku keras di pasaran? Apakah pernah terfikir kalau karya pertama aku tidak mencapai sasaran penerbit, penerbit akan memberikan peluang kali kedua untuk anda berkarya? Setakat kemampuan kalian ini, memang tak ke mana pun, mahu masuk pertandingan? Kalau menang pun sudah kira mujur. Kenapa enggan jadi ular menyusir akar tidakkan hilang bisa? Hebat tara mana pun di wattpad dan fb bukanlah satu gerenti bahawa kalian mampu menulis karya seterusnya, atau barangkali kalian rasa pengikut di sini mahu beli karya anda setelah menyukainya di sini? Amat tipis harapan, jika berlaku, Alhamdulillah.

Tapi bakat sahaja tidak memadai jika tidak disertakan dengan perasaan ke lantai, kalau mahu tinggi melangit pasti jatuh terduduk. Pernah saya berurusan dengan penulis di sini, belum apa-apa, sudah memberikan pelbagai syarat - apa kalian fikir duit menerbitkan karya kalian itu dipinjam dari syarikat bapa kalian? Begitu? Kalau tidak mahu terikat, boleh sahaja DIY, lebih mudah (bunyinya) dan tiada perlu berurusan dengan editor.

Keduanya, jika lepas fasa diterbitkan adakah kalian sudah bersedia menghadapi pembaca di luar sana? Kalau di wattpad ini menyokong anda bagai nak rak hingga meroyan meminta dikemaskinikan bab seterusnya ... maaf, di dunia nyata tidak begitu. Mereka bayar dan mahukan pulangan dari bayaran yang dikeluarkan. Sini boleh saja mereka mengkondem dan anda membela kerana rasa terhina atau marah. Tapi di luar sana mereka adalah raja, kerana mereka mengeluarkan duit dan mereka takkan belas kasihan mahu menjaga hati kalian sekiranya mereka tidak berkenan. Mereka punya hak kerana mereka membayar.

Lantaran itu, mahu jadi cacing kepanasan apabila pembaca menghemtam keras karya kalian? Kalau di wattpad pun kalian tak kental hati apatah dalam dunia realiti. Secara peribadi, saya pernah terbaca penulis membela diri kononnya dia yang menulis maka dia lebih tahu. Siapa anda mahu kata begitu? Siapa diri kalian tanpa pembaca? Pada rak buku banyak sekali karya diterbitkan, boleh jadi kaeya kedua kalian akan disenaraihitamkan dari hatinya.

Kemudian ada yang marah-marah karyanya dikatakan setakat kelas kedua atau plotnya membosankan, lalu terbit pelbagai status membela diri dan cuba untuk mengatakan bahawa karya anda terbaik. Itu belum lagi penulis yang perasan star atau lejen hingga editor tak boleh menyentuh karya kedua atau seterusnya. Nah, lihat begini, pembaca boleh saja menyampaikan secara mulut tentang perangai kaliam yang tidak pro, tambahan kini boleh print screen dan tersebar dengan mudah.

Lalu mahu buat apa? Diamkan sahaja jika dikondem oleh pembaca? Begini, komen mereka adakala matang, adakala langsung tidak matang dan sadis, belum lagi yang berkomentar secara pm dengan anda. Mahu pembaca kalau boleh tegur secara peribadi? Salah, pembaca masa kini punya akaun sosial masing-masing, mereka akan tulis sahaja apa yang tersangkut di dada dengan tujuan menyebarkan sama ada menyedarkan atau menjatuhkan penulis atau barangkali mereka benar-benar jujur mahu penulis memperbaiki karya mereka. Jawapan saya - telanlah semua walau sepahit mana sekalipun, tal perlu jadi budak-budak baru nak tumbuh gigi cakap bersepah.

Kalau mahu tahu kelemahan, sebab itu kena edit karya sendiri dengan kejam tanpa belas kasihan. Kenapa? Supaya bila terbit nanti tidaklah begitu teruk komennya. Langit tak selalu cerah, lantai tak semua landai. Mahu membenci pembaca, saya jawab begini siapa suruh jadi tulis? Kenapa gatal sangat mahu bergelar penulis?

Rumusannya, perkuatkan hati kalian, kukuhkah semangat kalian, pekakkan telinga kalian ... paling utama, tutup mulut kalian. Kalian bukan sesiapa pun, hanya ibarat sebutir pasir di jutaan pasir pantai yang luas. Kalau karya kalian berjaya, mahu menyombong pula? Ah, dayung di tangan, perahu sudah di air, maka pandai-pandailah membawa diri esok di luar nanti.

Biasa kena komen secara depan-depan? Belum? Kalau belum, tak perlulah nak menyombong dengan editor. Kerja kita hanya menulis, jangan banyak soal kalau tak pandai dan tiada pengalaman. Sedarlah diri kalian itu siapa. Karya kalian pernah didiskusikan oleh penulis lain yang lebih hebat? Jika tak pernah, duduk diam-diam menulis dan berusaha sedaya upaya menelurkan karya yang bukan sahaja hebat dan tapi sedap dibaca malah menjadi maharkarya!

Walau sepahit mana ubat, telanlah walau hingga menangis. Pahit kan ubat? Jika artikel ini dibaca dengan hati tertutup, kalian hanya beroleh sakit hati dan marah yang menyala-nyala. Jika dibaca dengan hati terbuka walau serasa ditikam tombak beribu, maka andalah seorang matang dan berani menyahut cabaran untuk menjadi penulis yang berjaya serta tidak lupa asal-usul diri dan rumput yang dipijak.

Sekian, jika ada yang terguris dan tercedera hati dengan tulisan saya ini, maaf saja deh! Selamat berkarya dan membina besi khursani dalam hati.

CATATAN SANG EDITOR (PRE ORDER KE-3 DIBUKA SEMULA)Where stories live. Discover now