BAB 3

1.6K 78 2
                                    


SEPI benar dunianya semenjak ketiadaan suami di sisi. Biarpun tiada lagi air mata yang jatuh, hati terus-terus menyeru nama lelaki itu. Mata sentiasa terpandang-pandang seolah-olah masih mencari susuk yang paling dicintai.

Balu muda itu berdiri di sebalik jendela, merenung ke luar sana. Baru beberapa hari, dia masih dalam kesedihan. Enggan ke mana-mana dalam keadaan diri masih berduka nestapa. Dalam menungannya sekoyong-koyong susuk sang suami hadir lagi.

Perkenalan pertama dengan lelaki itu ketika masih bersekolah. Lelaki kenamaan itu kerap hadir memberi bantuan kepada pelajar miskin di sekolahnya. Sekaligus dia mengenali Tan Sri Mukhtar sebagai hartawan dan bapa saudara kepada Lucas.

Seterusnya dia diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian oleh satu badan amal yang dikelolakan oleh lelaki kenamaan itu. Dan mereka bertentang mata semula di Universiti Malaya ketika dia sedang dibaluti kesedihan akibat pemergian ibu kandungnya. Lelaki kenamaan itu datang bertemu dengannya secara personal, memberikan bantuan. Ketika itulah bermula kisah cinta luar biasa itu.

"Saya tahu saya dah tua. Saya tak layak memiliki perasaan begini pada Emelda. Tapi... saya ikhlas. Izinkan saya berada di sisi Emelda untuk seketika. Selama Tuhan masih memberikan saya nyawa."

Emelda terpaku mendengar lamaran itu. Terkejut. Matanya terkebil-kebil merenung raut duda tua itu.

"Saya akan berikan apa yang Emelda perlukan sepanjang hidup ni. Saya tak mahu tengok Emelda hidup dalam kesedihan," ujar Tan Sri Mukhtar lagi. Dia bukan lelaki bernafsu buaya. Tetapi dia tidak sampai hati melihat kehidupan gadis ini terus ditimpa malang. Kini Emelda telah hilang tempat bergantung dalam keadaan baru saja memulakan pengajian di universiti.

"Beri saya masa, tan sri."

"Saya tak paksa. Saya terima jawapan Emelda dengan lapang dada. Ambillah masa, fikirkan."

Hanya sebulan masa dia ambil untuk memberikan jawapan. Selesai empat puluh hari pemergian emaknya ke alam abadi, dia dinikahi oleh Tan Sri Mukhtar. Sejujurnya, dia mengahwini lelaki itu kerana ingin mencari dahan untuk berpaut. Tetapi... lelaki tua itu lain dari yang lain. Tidak pernah menyakiti hatinya.

"Abang dah tua. Tak mampu nak berikan Mel zuriat. Usahkan nak beri zuriat, nak sentuh Mel pun abang tak mampu. Dah mati pucuk. Tak apa ke?"

Emelda teringat bicara seloroh suaminya yang satu itu. Tercabar melihat isterinya bukan main bergaya. Seksi ketika bersama dengannya. Jiwa terasa muda tapi fizikal tetap tua. Sayang sekali.

"Mel tak pernah komplen pun. Abang aja yang asyik mengadu abang tu mati pucuk," jawab Emelda selamba. Lelaki tua itu ketawa lembut. Ada isteri cantik hanya boleh dipandang. Kasihan dia.

"Lama kelamaan abang kena lepaskan Mel. Abang tak mampu beri nafkah batin."

"Abang ni tak penat ke bercakap aja? Tidurlah. Suka merepek yang bukan-bukan. Abang tak mahu tidur, biar Mel yang tidur atas lengan abang ni."

Tan Sri Mukhtar tersenyum sambil mengusap rambut isterinya. Kata orang gadis muda memang manja. Lekas cair jika diberikan kasih sayang. Begitulah Emelda.

"Abang nak Mel bahagia dengan abang. Tapi abang banyak kekurangan."

"Mel tak cakap pun. Abang yang cakap macam tu. Abang rasa Mel tak bahagia ke selama ni?" ujar Emelda tatkala jemarinya bermain dengan baju tee yang membaluti tubuh suaminya.

"Mel muda lagi. Perlukan nafkah batin sedangkan abang..." bicara lelaki itu termati tatkala jemari lembut itu melekap di bibirnya.

"Abang dah beri segala-galanya pada Mel. Mel tetap bahagia. Mel hanya perlukan abang dalam hidup Mel. Mel tak mahu abang tinggalkan Mel. Mel sayang abang sangat-sangat," jawab Emelda lantas memejamkan mata. Takut membayangkan masa depan sekiranya lelaki ini diambil darinya. Selama ini hanya lelaki ini yang membuatkan dia merasa bahagia di celahan hinaan orang lain. Dia tidak peduli. Hidup kembali terisi. Bibir kembali terhias dengan senyuman.

UNBREAKABLE NAYLAWhere stories live. Discover now