Bab 9

800 90 26
                                    

DANG!

Itu bunyi gelas yang airnya sudah tinggal sebaki aku teguk dihentak kuat di atas meja kaca. Rasa terkilan dihidang dengan air kosong tadi masih belum pudar lagi.

"Apa tengok-tengok?" Kataku angkuh tatkala seorang pontianak lelaki memandang aku disebabkan hentakan yang aku buat.

Oleh kerana kelab malam ini hanya menghidangkan cecair merah atau lebih tepat darah sahaja, aku hanya dihidangkan dengan air kosong sebagai ganti.

Kelab dah bukan main gah, lampu-lampu semua merah sampai berpinar mata aku tapi aku hanya dapat air kosong je? Lainkali bagilah jus oren. Kelab malam apa macam ni hidang air kosong je pada aku?

Setelah pertemuan enam mata antara aku, Si Pontianak, dan Adriel tadi aku tanpa relanya diheret oleh dua orang sahabat itu ke markas pontianak. Aku tak tahu pula dua belangkas itu kawan baik. Sedar-sedar saja, aku sudah tercongok di atas kerusi yang berada di hujung kelab seorang diri.

Dua belangkas tadi? Mereka sudah lesap entah ke mana tinggalkan aku. Atau diaorang dah berpakat nak suruh pontianak-pontianak di sini 'kokak' aku secara berjemaah? Boleh jadi!

Mataku meliar ke seluruh kelab. Aku lihat koloni pontianak ini menari mengikut rentak muzik yang rancak seperti tiada hari esok. Mereka ni sama saja seperti manusia tetapi yang bezanya kulit mereka putih kepucatan seperti pengidap penyakit Albino.

Aku memerhati setiap pontianak perempuan mereka. Ingatkan pontianak pakai baju putih labuh yang koyak-koyak itu. Rupa-rupanya, skirt dah macam sampel kain perca. Mahu gambarkan betapa pendeknya skirt mereka. Sakit mata aku melihat badan mereka yang meliuk-lentok itu. Tak padan dengan pontianak!

"Hai, sorang je ke?" Telingaku disapa oleh satu suara asing lantas aku berpaling. Aku lihat seorang lagi pontianak lelaki yang berada di kerusi sebelah sedang tersengih-sengih ke arahku. Mataku terus berputar 180 darjah  menandakan bahawa aku bakal diserang wabak taun disebabkan keloyakan aku terhadap wajahnya.

Malas melayan, aku buat-buat tak nampak kewujudannya walhal sudah terang lagi bersuluh mata kami bertembung tadi. Aku memandang ke arah lain, menganggap dia hanyalah satu watak sampingan yang hanya muncul selama 30 saat.

"Janganlah malu-malu," pontianak itu masih berdegil walaupun aku sudah memberi dia jelingan seumpama pusingan U maut. Lagi menyampah apabila dia merapatkan kerusinya dengan kerusi aku. Eish, main duduk rapat-rapat pulak dia ni!

Aku menjual muka selamba tenuk kepadanya dengan menghirup air kosong yang tinggal sebaki tadi. Aku sedaya-upaya untuk mengelak daripada bertentang mata dengannya. 

Kali ini dia semakin berani apabila tangannya bergerak perlahan, cuba memegang tanganku. Aku yang sedar akan perilakunya segera menarik tangan aku dan terus bangun. Wah, wah... berani nampak, bang!

"Kau jangan nak buat tak senonoh dekat sini!" Aku berdiri apabila rasa berangku menguasai diri. Nasib baik baru di tahap berang, kalau mengamuk aku dah lingkukkan meja tadi.

"Ala, tak pegang pun lagi. Itu pun nak marah?" Jawabnya bersama senyuman senget. Oh, kali ini wajahnya betul-betul menyakitkan mata aku. Kalau muka tu setampan Ryo Yoshizawa tak apalah juga. Ini setaraf chewing gum yang melekat dekat tapak kasut aku saja.

Aku mengetap bibir. Ringan je tangan nak ditempek atas muka dia. Tapi memikirkan tangan berapi aku ni, aku terpaksa mengumpul kesabaran setinggi yang boleh. Kalau aku lempang, silap-silap nanti dia boleh jadi satar.

Dalam masa aku menyeru segala kuasa kesabaran, pontianak tadi tiba-tiba menjauhkan diri dariku. Perlahan-lahan, dia melarikan diri. Aku sedar sahaja, dia sudah tiada di hadapan. Eh, mana mamat ponti ni pergi?

Putera MimpiWhere stories live. Discover now