"Macam tu pula, ya? Encik Megat tu cuti panjang pun fikir pasal kerja juga ke?" Ajda sekadar berbasa-basi, malas sebenarnya nak cakap pasal lelaki itu tetapi hatinya rasa ingin tahu juga.

"Encik Megat tu memang macam tu, selama ni pun mana pernah dia cuti panjang-panjang macam ni. Kerja saja yang dia fikir, dua puluh empat jam. Cuma... Adalah tu masalahnya."

Ajda menelan liur, macam betul saja telahannya tadi.

"Masalah, ya?" Ajda bersuara datar, hilang fokusnya bila teringatkan kejadian yang lepas.

"Encik Megat bercuti pun bukan dia pergi mana, berkurung saja dekat rumah tu. Frust bercinta agaknya."

Srap! Darah terasa menyerbu muka Ajda.

"Eh okeylah Ajda, Pak Kahar dah lewat ni nak hantar dokumen ni dekat Encik Megat, nanti bising pula dia." Pak Kahar menyambung sebaik dia menilik jam di tangannya.

"Baik, Pak Kahar. Hati-hati memandu." Ajda tersenyum saat tubuh itu berlalu pergi darinya.

Satu keluhan berat terbit dari bibir Ajda. Risau kalau-kalau dia yang menjadi punca masalah Megat Talhah walau dia langsung tidak ada kena-mengena dengan lelaki itu. Bimbang Melissa itu salah faham sampai tahap putuskan hubungan dia orang. Hesy, nauzubillah! Jangan fikir yang bukan-bukan, Ajda. Tolonglah!

MEGAT Talhah membelek gambar Melissa yang terbaru di laman Instagram. Langsung tidak ada tanda yang gadis itu terkesan dengan perpisahan mereka. Senyuman yang terukir di bibir Melissa dari gambar selfienya, tetap indah dan berseri seperti selalu.

Dia juga kelihatan ceria bersantai bersama kawan-kawannya di sebuah restoran, menjamu selera dengan hidangan yang cukup menggiurkan dalam gambar yang berikutnya, tanda dia tetap lalu makan sedangkan sejak detik itu, Megat Talhah hendak minum air pun rasa tak ada hati.

Megat Talhah menghela nafasnya keras, terasa seolah-olah dia saja yang diselubungi kesedihan. Dua tahun mereka bersama, pastilah Megat Talhah mengharapkan perhubungan itu sampai ke jenjang pelamin. Siapa yang menyangka ikatan ini akan terputus di pertengahan jalan di saat dia sudah memasang impian untuk hidup bersama gadis itu sampai akhir hayatnya.

Hesy! Sudahlah Tal, Melissa dah move on. Patutnya kau pun sama! Dah seminggu kau dan dia putus, boleh tak kalau kau terima saja kenyataan sekarang yang kau dan dia memang tak berjodoh! Megat Talhah mengingatkan dirinya sendiri, tidak mahu perasaan kecewa bercinta ini terus membelenggu jiwanya.

Megat Talhah meraup wajahnya, mengumpul kekuatan sebelum bingkas bangun dari katilnya dan keluar dari bilik, menuruni anak tangga menuju ke bawah. Enggan berkurung lagi di dalam bilik, risau dia akan menjadi gila tak lama lagi kalau terus-terusan berkeadaan begitu.

Qisya yang sedang menonton televisyen, segera berpaling memandang Megat Talhah saat dia mendengar bunyi derap kaki seseorang. Megat Talhah duduk di atas sofa berdekatan Qisya.

"Tengok cerita apa?" soal Megat Talhah membuatkan Qisya terpempan.

"Tak ada apalah. Program lawak," jawab Qisya seketika kemudian.

Megat Talhah mengangguk tanda faham sebelum ikut menonton rancangan itu. Sesekali terdengar tawanya walau tidak begitu ketara. Dahi Qisya berkerut, setelah seminggu pak sunya macam Zombie, ada nyawa tapi tak ada jiwa, baru hari ni dia nampak pak sunya macam berjiwa kembali. Kalau tidak, seharian Megat Talhah berkurung di dalam bilik dan cuma turun untuk makan saja, itu pun kalau Qisya tanya sepatah, pak sunya akan jawab separuh patah. Macam tak ada mood langsung sebab tu Qisya tak berani nak tegur.

"Pak su dah okey ke?" soal Qisya setelah lama dia berjeda, mencari keberanian untuk menegur pak sunya.

"Hah?" Megat Talhah berpaling memandang Qisya.

"Pak su itulah, okey dah ke?" Qisya menekankan katanya sekali lagi.

"Okey. Kenapa?"

"Yalah, dah seminggu pak su tak pergi kerja. Nampak macam ada masalah tapi bila Qisya tanya langsung tak nak jawab." Qisya mencebik.

Megat Talhah mengorak senyuman walau terasa palsu.

"Pak su dah okey, janganlah risau." Bahu Qisya, Megat Talhah elus perlahan.

"Baguslah macam tu tapi kalau pak su rasa nak kongsi masalah pak su tu, bagi tahu sajalah dekat Qisya. Qisya sudi dengar."

Megat Talhah menghela nafasnya. Sudah lama dia berselindung dari Qisya, tidak mahu anak saudaranya itu fikir yang bukan-bukan tetapi dia tahu sejauh mana dia cuba sembunyikan pun pasti Qisya sudah dapat mengagak. Bukan Qisya tidak tahu selalunya bila Megat Talhah susah hati, pastinya kerana perkara berkaitan Melissa.

"Pak su dengan Melissa dah putus."

"Apa? Macam mana boleh jadi macam ni?" Qisya tersentak, wajahnya jelas terkejut mendengar berita tersebut.

Megat Talhah tersenyum kelat sebelum menggelengkan kepalanya.

"Entahlah. Mungkin Melissa dah tak sanggup nak teruskan hubungan kami."

"Maaf pak su, ini mesti sebab Qisya."

"Eh, jangan cakap macam tu. Qisya tak ada salah apa pun." Megat Talhah lekas menukas kata-kata Qisya itu. Tidak mahu Qisya menyalahkan dirinya di atas perpisahan yang terjadi.

"Kalau Qisya tak ada, mesti pak su dah bahagia, kan?" Qisya menyoal dalam sayu yang sudah terasa menggigit jiwa. Hatinya dipagut pilu melihat pak sunya menderita kerana dirinya. Sudahlah pak sunya lama membujang kerana menjaga dia, bila dah sedia nak berkahwin, orang pula tak sudi sebab ada dirinya. Sungguh Qisya rasa bersalah menyebabkan pak sunya tidak bisa bahagia.

"Ya Allah, kenapa cakap macam tu, Qisya? Sekarang pun pak su dah cukup bahagia ada Qisya di sisi pak su. Kalau orang lain tak sudi, biarkanlah saja. Pak su dah tak nak fikir apa-apa dah sekarang."

Qisya merenung wajah pak sunya yang jelas serabut. Kalau benar pak sunya boleh menerima perpisahan itu, tak adalah sampai pak sunya berkurung seminggu di dalam rumah tak pergi kerja. Mesti pak sunya kecewa betul sebab sudah dua tahun dia bercinta dengan Melissa tu. Tup-tup tiba-tiba saja mereka putus.

"Qisya jangan risau, ya? Pak su okey." Megat Talhah menyambung katanya setelah melihat Qisya masih diam tidak berkutik. Qisya sekadar mengangguk perlahan, enggan menyerabutkan lagi fikiran pak sunya yang sedia berselirat. Biarlah pak sunya tenangkan diri buat masa sekarang, kerana dia tahu pak sunya sudah menyimpan terlalu banyak beban selama ini termasuk dirinya.

Megat Talhah kembali memusatkan perhatiannya pada skrin televisyen walau hatinya masih dijentik kekecewaan yang berpanjangan. Sekurang-kurangnya dia rasa boleh bernafas sedikit duduk di situ daripada berterusan mengurung dirinya di dalam bilik kerana mengikutkan sakit dalam hati.

PAKCIK KEREK SEMANIS PAVLOVAWhere stories live. Discover now