"Ajda." Pendek Ajda membalas. Mengerti.

"Cik Ajda dari The Jida Dessert dah sampai." Pembantu butik itu bersuara kembali sebaik dia menjenguk kepalanya ke dalam.

Dia berpaling semula ke arah Ajda sesaat kemudian sebelum tersenyum.

"Cik boleh masuk sekarang." Gadis itu bersuara lalu melangkah meninggalkan Ajda yang masih terpinga-pinga.

Perlahan Ajda memulas tombol pintu sebelum melangkah masuk ke dalam bilik itu dengan berhati-hati.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Lelaki itu mendongak dan memandang Ajda dengan wajah yang tidak beriak. Senyum pun tidak, masam pun tidak.

"The Jida Dessert?"

"Ya. Saya Ajda. Saya nak apply slot untuk peti makanan di butik ni." Ajda tersenyum memulakan bicara.

Dingin. Masih tidak beriak.

"Duduk," pelawanya datar.

Ajda terkedu. Perlahan dia tarik kerusi di hadapannya dan duduk menghadap lelaki itu. Beg plastik yang dia bawa sedari tadi, dia letakkan di atas meja.

"Ini saya ada bawa sample pavlova untuk pihak encik rasa."

"Tak apa, itu kemudian. Sekarang ni cik ada bawa portfolio tak?" Lelaki itu merapatkan tubuhnya ke meja sebelum menyilangkan jari-jemarinya sambil memandang Ajda dengan wajah yang tidak mampu dibaca.

Kening Ajda terangkat.

"Portfolio?"

"Ya, dekat butik ini setiap vendor yang mahu menyewa tapak kami harus bawa portfolio."

Ajda garu kepala.

"Errr... Maaf bertanya. Portfolio yang macam mana encik maksudkan?"

Lelaki itu bersandar pada kerusinya semula sambil tangannya dilipat rapat ke dada sebelum dia memandang Ajda tajam, seolah-olah soalannya tidak molek diajukan.

"Portfolio tentang business online, cik. Berapa ramai follower di media sosial, berapa banyak sales tiap bulan, dan semua perkara penting yang membuatkan pihak kami berminat untuk menyewakan tapak kepada pihak cik. You have to buy us."

Gulp! Ajda menelan liur.

Tak pernah-pernah dia berhadapan dengan situasi begini, nak mohon jadi vendor pun sampai kena buat portfolio segala. Dengan butik vendor yang dia pernah berurusan tak adalah strict begini. Butik Kak Peah tu okey aje pun, bagi sampel sembang-sembang dah jadi, butik Ferralicious yang agak gah tu pun senang saja nak apply, tak banyak songeh.

Ah padan muka kau, Ajda! Siapa suruh gatal nak try butik berprestij ni. Kan terkena sendiri.

Ajda menggaru kepalanya yang jelas tidak gatal walau berbalut tudung sedari tadi.

"Maaf, encik. Saya tak tahu pula kena bawa portfolio. Kalau esok saya bagi, boleh?"

Lelaki di hadapannya itu mendengus.

"Lain kali tanya dahulu sebelum datang ke sini. Jangan main serbu saja." Lelaki itu menyindir sinis.

Ajda menggigit bibirnya kuat, menyabarkan hatinya supaya tidak melawan. Salah dia juga tak tanya dahulu, datang tanpa usul periksa. Dah dia yang beria-ia sangat nak jadi vendor dekat butik eksklusif ini, kenalah dia tabahkan hati. Biar sampai jadi perjanjian mereka itu barulah dia boleh menarik nafas lega.

"Maafkan saya, encik. Esok confirm saya bawa portfolionya."

Lelaki itu menjeling.

"Okey, kalau macam tu cik boleh keluar. Esok datang bawa portfolio." Lelaki itu bersuara sebelum menunduk kembali, menyambung kerjanya seolah-olah tidak berminat untuk melayan Ajda lagi.

PAKCIK KEREK SEMANIS PAVLOVAWhere stories live. Discover now