Bab 12

1.8K 25 0
                                    

Jam menunjukkan pukul 4.21 petang sewaktu bas yang dinaiki Dhira tiba di Melaka Sentral. Turun sahaja dari bas, gadis itu terus membawa dirinya ke bahagian bas domestik. Laju sahaja gadis itu mengayunkan langkah menuju ke arah bas Panorama Melaka.

Pandangan dilemparkan ke arah luar tingkap sepanjang perjalanan ke rumah Puan Marlina. Ralit matanya memerhatikan suasana di negeri kelahirannya. Sesekali kenangan bersama Anas menerjah ruang minda sewaktu melewati kawasan yang pernah menjadi tempat mereka menyulam perasaan.

Enam tahun sudah berlalu sejak pemergian lelaki itu. Dia sudah pun reda dan bisa menerima suratan takdir. Namun kenangan bersama lelaki itu masih kuat dalam ingatan. Kenangan manis dan juga kenangan pahit. Kenangan-kenangan itu merupakan memori yang terindah buatnya.

Loceng bas ditekan sebaik sahaja bas yang dinaikinya sudah menghampiri Kampung Lereh. Beg galas yang berisi pakaian dicapai sebelum dia turun dari bas. Gadis itu akan bermalam di rumah Puan Marlina. Sudah dua kali Dhira bermalam di rumah wanita itu. Setiap kali dia datang melawat, pasti Puan Marlina menegahnya dari balik ke Kuala Lumpur semula. Sanggup Puan Marlina belikan tiket bas yang baru semata-mata mahu dia bermalam di rumah wanita itu.

Dhira mengorak langkah ke rumah Puan Marlina yang tidak jauh dari jalan utama. Santai sahaja langkah gadis itu. Tidak tergesa-gesa. Empat buah kereta tersadai di pekarangan rumah Puan Marlina. Dua buah daripadanya milik Encik Daud dan Mimi. Sebuah kereta Honda CR-V berwarna hitam menarik perhatian gadis itu. Kereta itu mengingatkannya pada Zafran. Jenis dan warna kereta Zafran sama dengan kereta di hadapan rumah Puan Marlina.

Namun, mana mungkin kereta itu milik Zafran. Macamlah lelaki itu seorang sahaja yang memakai kereta Honda CR-V berwarna hitam di dunia ni.

Rumah Puan Marlina kelihatan sunyi. Pintu rumah tertutup rapat. Pelik. Dhira memberi salam. Sepi. Sekali lagi dia menghulurkan salam tetapi sama seperti tadi, salamnya tidak bersambut. Mata mula meninjau-ninjau sekeliling. Perlahan-lahan Dhira melangkah ke kebun di tepi rumah Puan Marlina. Manalah tahu petang-petang ni, mereka sekeluarga ambil angin di kebun. Mustahil pula mereka tiada di rumah memandangkan kedua-dua kereta tersadai di garaj. Siap ada tambahan dua buah kereta lagi. Pasti tetamu Puan Marlina.

Senyuman terukir di bibir. Tepat tekaannya. Langkah dipercepatkan.

"Assalamualaikum," ucap Dhira sedikit kuat.

"Patutlah Dhira bagi salam, tak ada siapa sahut. Semua kat sini rupa-rupanya," omel gadis itu sambil mendekati Puan Marlina sekeluarga.

Seorang lelaki berbaju T dan berseluar pendek paras lutut menoleh ke belakang apabila terdengar suara orang memberi salam. Serentak, pandangan mereka bertaut. Dua-dua terkaku. Parang di tangan lelaki itu hampir terlepas.

"Waalaikumussalam. Sampai juga Dhira... Lama mama tunggu. Kenapa tak beritahu dah sampai? Boleh mama suruh Mimi pergi ambil Dhira."

Dhira tidak memberi sebarang respons. Matanya masih lagi terpaku pada seorang lelaki yang sedang berdiri di bawah pokok belimbing. Mulut gadis itu sedikit ternganga.

Puan Marlina mula berasa pelik. Dia menoleh ke arah anaknya. Dua-dua saling berpandangan sebelum menjongketkan bahu masing-masing. Pandangan Puan Marlina kemudian dihalakan ke arah dua figura yang sedang berpandangan sesama sendiri. Silih berganti.

"Kamu berdua dah kenal ke?" tanya Puan Marlina mula mengesyaki sesuatu.

Dhira tersentak. Kembali ke dunia nyata. Matanya dilarikan ke arah Puan Marlina. Bibirnya bergerak-gerak tetapi tiada bicara yang terluah. Gadis itu kelihatan teragak-agak.

"Errr... Dia klien Dhira," balas Dhira kemudian dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Puan Marlina.

"La... Jadi selama ni Dhira dah kenal Ali rupa-rupanya. Kecilnya dunia. Tak sangka kamu berdua dah kenal."

1 Pengakuan 9 LuahanWhere stories live. Discover now