Bab 3

2.4K 31 1
                                    

Suasana di luar kediaman Encik Idris kelihatan meriah dengan beberapa buah kanopi berwarna putih yang dihias cantik dengan kain satin berwarna kuning dan kelabu. Lagu-lagu rancak yang berkumandang, suara para tetamu yang asyik bersembang dan hidangan makanan yang menyelerakan menambahkan lagi kemeriahan.

Di bawah sepohon pokok mangga yang tidak jauh dari kediaman Encik Idris, Dhira memerhatikan rumah itu bersama satu tanda tanya. Majlis perkahwinan siapakah itu? Abang long atau Faizal? Mata Dhira meliar memandang sekeliling.

Banner yang tergantung di satu sudut memberikan jawapan kepada tanda tanyanya. Majlis perkahwinan Faizal. Tak sangka hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk adik bongsunya. Senyuman terukir di bibir tatkala melihat gambar adik iparnya. Manis!

Dhira kemudian mula menumpukan pandangannya ke laman rumah. Mencari Puan Suraya. Sudah lama dia tidak menatap wajah ibunya. Rindu! Teramat rindu. Cermin mata hitam yang dipakainya, dibetulkan sedikit. Tanpa sedar, air mata mula bertakung tatkala wajah Puan Suraya menyapa pandangan.

Ya Allah, rindunya dia dengan ibu. Sungguh! Mahu sahaja dia berlari ke arah Puan Suraya dan menarik wanita itu ke dalam dakapannya. Namun, dia masih sedar siapa dirinya. Dia tidak mahu merosakkan majlis yang sedang berlangsung.

Lagipun memang Dhira tidak berniat untuk bersemuka dengan ibunya. Dia hanya ingin menatap dari jauh. Cukuplah sekadar melihat wajah ibunya yang tersenyum gembira dan mendengar gelak tawa ibunya dengan para tetamu.

"Kenapa auntie menangis?" tegur satu suara anak kecil.

Dhira terkesima. Terus kepalanya ditoleh ke sisi. Seorang budak lelaki memandangnya dengan mata yang membulat.

"Mana ada auntie nangis," balas Dhira perlahan sambil menundukkan tubuhnya.

"Tipu! Tu, ada air mata," bidas budak lelaki itu sambil menuding jari ke pipi Dhira.

Tangan Dhira terus melekap ke pipi. Bibirnya mengukir senyuman nipis. Sungguh, dia tidak sedar dia menitiskan air mata. Budak lelaki itu yang perasan. Anak siapalah tu?

"Auntie ni kawan pak su ke?"

"Pak su?"

Budak lelaki itu mengangguk. Kemudian dia menudingkan jari telunjuknya ke arah banner yang Dhira lihat sebentar tadi.

"Itulah pak su dengan mak su."

"Itu pak su dengan mak su adik?" soal Dhira ingin kepastian.

"Hesy, kenapa panggil adik? Saya dah besar. Panggil saya Abang Awie."

Dhira tergelak kecil mendengar celoteh budak kecil yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Awie.

"Okeylah Abang Awie... Auntie nak tanya, tu pak su dengan mak su Abang Awie ke?"

"Yalah... Auntie nak jumpa pak su dengan mak su tak? Abang Awie boleh bawa auntie."

Segera Dhira menggeleng.

"Abang Awie ni anak Haris, ya?"

Awie mengangguk.

Dhira menahan rasa. Rasa sebak dan gembira bercampur baur. Budak kecil itu merupakan anak buahnya. Anak abangnya.

"Boleh auntie peluk?" Suara Dhira terketar-ketar.

Sekali lagi Awie mengangguk.

Terus Dhira menarik Awie ke dalam pelukannya. Erat. Bagai melepaskan kerinduan kepada keluarganya. Seketika kemudian, Dhira melepaskan pelukan. Matanya terhala ke wajah Awie. Senyuman manis terukir di bibir. Comel anak abang long. Pandai bercakap pula tu, ucap Dhira dalam hati.

1 Pengakuan 9 LuahanWhere stories live. Discover now