Bab 7

1.7K 21 1
                                    

Keluar sahaja dari perut komuter, Dhira terus mengorak langkah laju menuju ke ofisnya. Gadis itu kelihatan kelam-kabut. Mana taknya... Dia sudah terlewat hampir satu jam. Salah sendiri. Konon tak boleh solat, dia lajaklah tidur. Sekali terlajak sampai jam lapan setengah.

Tiba sahaja di ofis, gadis itu terus menuju ke tempatnya. Beg galas dicampakkan ke atas meja sebelum dia menghempaskan punggungnya ke kerusi. Dadanya naik turun dek keletihan. Laju sangat berjalan. Nafas gadis itu tidak teratur.

"You ni baru lepas berlari ke?" tanya Mandy.

"Itulah... siapa suruh lambat?"

"Terlambat bangunlah. Joyce dah masuk ke?"

Gelengan Mandy melegakan Dhira. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan-lahan. Peluh di dahi dilap dengan tisu muka.

"Dhira... Encik Zafran, line two!" jerit Pei Wen dari tempatnya yang tidak jauh dari Dhira.

Zafran? Buat apa dia call aku pagi-pagi ni? Gadis itu cemas tiba-tiba. Lambat-lambat dia menjawab panggilan daripada lelaki itu.

"Morning, Encik Zafran," ucap Dhira lembut.

"Morning. I call your phone tapi you tak jawab," beritahu Zafran dengan nada mendatar.

Dhira ketap bibir perlahan.

"Oh... Sorry. I tak perasan kut." Mana nak perasan kalau dia tengah kalut tadi.

"Ada apa Encik Zafran call I?"

"I dah tunjuk design you pada abang ipar I and dia ada bagi komen sikit. You boleh jumpa I tak hari ni? Flight I pukul lima petang."

Dhira berfikir seketika. Mengatur jadualnya hari ini.

"Lagipun I nak bagi you kunci rumah abang ipar I before I ke Langkawi. You free tak?" Zafran menyoal lagi.

"Pukul berapa tu, Encik Zafran?"

"Terpulang pada you. I ada kat ofis aje hari ni. Tak keluar pergi mana-mana," balas Zafran. Masih dengan nada yang sama.

"Oh, kalau you tak nak terserempak dengan Haris, you boleh datang before lunch. Sebab Haris masuk ofis after lunch."

Dhira sedikit tersentak apabila Zafran tiba-tiba sebut nama abangnya. Dia tak ada cakap apa-apa pun pasal Haris. Namun mujur juga Zafran memberitahunya. Sekurang-kurangnya, dia tak akan terserempak dengan Haris. Gadis itu tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku jika dia bertemu dengan Haris di ofis lelaki itu. Adakah Haris akan memarahinya seperti dahulu atau sebaliknya? Adakah abangnya akan gembira dengan pertemuan itu?

Dhira menghelakan nafas berat.

"Okey, Encik Zafran. Nanti I singgah ofis you."

Tubuh disandarkan sebaik sahaja menamatkan perbualan dengan Zafran. Matanya terus dihalakan ke arah jam di pergelangan tangan.

"Mandy... I nak keluar kejap. Jumpa klien," beritahu Dhira. Beg galas yang masih berada di atas meja dicapai.

Mandy menoleh ke arah Dhira.

"Kesiannya. Tak sampai lima minit masuk ofis, dah nak keluar," komen Mandy, ingin mengusik Dhira.

"Itulah... Selamat ofis klien I tu dekat tau."

Mandy hanya tertawa kecil.

Tanpa membuang masa, Dhira mengatur langkah menuju ke stesen komuter semula. Kali ini langkahnya lebih santai. Tidak tergesa-gesa. Telefon pintar dikeluarkan dari beg galas. Ingin memeriksa telefon pintarnya. Tiga Missed Call daripada Zafran. Timbul rasa kesal dalam hati Dhira.

1 Pengakuan 9 LuahanWhere stories live. Discover now