Auntie Lin dan Dhira ikut ketawa.

"Sejak bila pula you rapat dengan Rezza?" Nada suara Dhira sedikit sinis memandangkan selama ini Ken selalu memberi alasan apabila diajak bertemu Rezza.

"Sejak dia bakal jadi suami adik I. I kenalah pastikan dia betul-betul layak untuk adik I. Betul-betul sayangkan Fei Fei. Boleh jaga Fei Fei sampai tua," jelas Ken dengan nada yang bersahaja.

Hati Dhira tersentuh mendengar bicara Ken. Jelas lelaki itu benar-benar sayangkan Fei Fei. Cemburu pula dia dengan Fei Fei.

"Jangan risau. I akan buat benda yang sama pada you." Ken lemparkan senyuman kepada Dhira.

"Jomlah. Nanti you lambat pula."

Dhira balas senyuman Ken. Sekali lagi dia tersentuh. Kali ini dia tersentuh kerana Ken benar-benar melayannya seperti seorang abang walaupun mereka tiada pertalian darah. Sungguh, gadis itu bersyukur kerana Allah temukan dia dengan keluarga Auntie Lin. Meskipun berlainan bangsa dan agama, dirinya dilayan dengan baik. Seperti ahli keluarga sendiri.

"Apa Ken cakap tadi?" soal Auntie Lin bersama dahi yang sedikit berkerut.

"Jangan kata abang tak payung? Maksudnya apa? Mummy tak faham! Peribahasa ke tu?"

Terhambur gelak Ken dan Dhira.

"Mummy tak payah fahamlah. Peribahasa moden," balas Dhira bersama sisa tawa.

Auntie Lin menggeleng.

"Hmmm, budak-budak zaman sekarang," keluh Auntie Lin.

"Macam-macam..."

Dhira mencapai sehelai tisu lalu mengelap bibirnya dengan penuh berhati-hati.

"Okeylah, mummy. Dhira pergi kerja dulu."

Mata Dhira dihalakan ke arah Ken.

"Jom."

"Take care, mummy. Tak payah kemas rumah Dhira ni. Nanti Dhira kemas." Sempat gadis itu berpesan kepada Auntie Lin sebelum melangkah keluar dari rumah. Gadis itu melangkah seiring dengan Ken menuju ke lif.

"Nanti Dhira kemas konon! Entah bilalah you nak kemas," perli Ken sambil tersenyum sinis.

Sebuah jelingan dihadiahkan kepada Ken. Geram. Senyuman masih lagi tersungging di bibir Ken. Lelaki itu menumpukan pandangannya ke arah Dhira sementara menunggu lif.

"Dhira..." panggil Ken perlahan.

Dhira kalih ke sisi.

"Selendang you tak betullah," beritahu Ken kemudian dengan selamba lelaki itu membetulkan selendang Dhira.

Dhira membiarkan sahaja tindakan Ken. Sudah terbiasa dengan sikap prihatin dan perfectionist lelaki itu. Dalam waktu yang sama, pintu lif terbuka dan ada mata yang sedang menyaksikan babak lima saat mereka.

Ken dan Dhira melangkah masuk ke dalam lif yang hampir penuh. Sedikit pun tidak perasan Zafran turut berada di dalam lif tersebut. Adegan tadi menimbulkan tanda tanya dalam hati Zafran. Dia dihambat rasa ingin tahu tentang hubungan Dhira dan lelaki itu. Adakah lelaki itu suami Dhira? Sudah berkahwinkah gadis itu? Zafran mula dihantui rasa yang kurang enak. Cemburu barangkali. Cemburu kerana Dhira bisa menerima lelaki itu tetapi tidak dirinya.

"Dhira... Klien you nak jumpa. I dah suruh dia tunggu dekat lounge," beritahu Pei Wen sewaktu Dhira yang baru keluar dari bilik air melalui tempat Pei Wen.

"Klien? Lelaki atau perempuan?" tanya Dhira sedikit pelik. Setahunya, dia tidak ada apa-apa janji temu dengan klien hari ini.

"Lelaki. Encik Zafran."

1 Pengakuan 9 LuahanWhere stories live. Discover now