Kalaulah dia jawab panggilan telefon Zafran, sudah tentu dia akan terus ke ofis lelaki itu. Tidak perlu tergesa-gesa masuk ofis. Sekurang-kurangnya, dia ada alasan kerana masuk lewat. Kenapalah dia tak dengar lelaki itu menghubunginya tadi?

Dhira menjejakkan kaki ke firma guaman Zafran. Kali ini kehadirannya disambut oleh seorang gadis muda yang duduk di meja penyambut tetamu. Senyuman diberikan kepada gadis itu.

"Saya nak jumpa Encik Zafran," beritahu Dhira dengan nada yang lembut.

"Boleh saya tahu nama cik?" balas gadis muda itu seraya membalas senyuman Dhira.

"Dhira, interior designer."

Gadis muda itu mengangguk.

"Encik Zafran ada teleconference meeting sekarang ni. Tapi, dia suruh cik tunggu dia kat dalam."

"Oh... Dah lama?"

"Baru jugalah. Mari, Cik Dhira... Saya tunjukkan bilik Encik Zafran."

"Tak apalah. Saya tunggu kat sini aje."

Segera gadis muda itu menggeleng.

"Encik Zafran suruh cik tunggu kat dalam. Nanti dia marah saya pula."

Kenapa nak aku tunggu kat dalam pula? Timbul rasa tidak puas hati. Namun begitu, kakinya tetap melangkah mengekori gadis muda tadi. Mata Dhira meliar memandang sekeliling. Langkahnya terhenti apabila matanya terpandangkan nama yang tertera di pintu bilik kaca.

Muhammad Haris bin Idris. Legal Associates.

Dhira tersenyum dalam hati. Bak kata orang dulu-dulu, tak nampak tuan, nampak bumbung rumah pun jadilah. Dalam kes Dhira pula, nampak bilik pun jadilah. Bilik yang gelap tidak berlampu, menandakan ketiadaan tuannya. Terselit rasa bangga dalam diri Dhira dengan pencapaian abang longnya. Masih segar dalam ingatan Dhira keluhan demi keluhan yang diluahkan Haris kepadanya tentang masalah pelajaran lelaki itu. Tak sangka abang long yang banyak kali ulang peperiksaan sudah berjaya tamatkan pembelajarannya. Tahniah, abang long.

Dhira kembali melangkah ke bilik Zafran. Tiba di bilik lelaki itu, Dhira mengucapkan terima kasih kepada gadis muda yang membawanya ke situ. Sempat mereka berbalas senyuman. Pintu bilik Zafran diketuk perlahan.

Zafran yang sedang tekun menghadap skrin komputer, menoleh ke arah Dhira lalu mengarahkan Dhira masuk melalui isyarat tangan. Sebaik sahaja Dhira melangkah masuk ke dalam, dia terdengar suara orang sedang berbincang sementelah Zafran memasang pembesar suara. Gadis itu mula kekok. Terasa dirinya telah mengganggu Zafran yang sedang bermesyuarat melalui talian telefon. Dia masih lagi berdiri walaupun Zafran sudah mempelawanya duduk.

"I tunggu you kat luar," ucap Dhira tanpa suara sewaktu sepasang mata Zafran bertemu dengannya. Hanya bibir dan tangan yang bergerak.

Kepala Zafran digelengkan. Sekali lagi dia menyuruh Dhira duduk di depannya. Namun Dhira masih tidak berganjak. Masih tegak berdiri. Gadis itu kelihatan teragak-agak. Kekok pula nak duduk depan Zafran. Menghadap lelaki itu.

Zafran bangkit dari duduknya apabila Dhira masih lagi berdiri. Kerusi di hadapannya ditarik lalu dia mengarahkan Dhira untuk duduk. Riak wajah Zafran yang kelihatan serius membuatkan Dhira mengalah. Gadis itu melabuhkan punggungnya.

"Zafran, are you listening?"

"Yes, Mr. Nakatani," balas Zafran, kembali ke kerusinya.

"Our secretary enquired, whether to delete or to retain the highlighted area in Article 68 Clause 3."

Zafran membetulkan duduk sebelum membelek kertas di atas mejanya.

"Since this line is in the current JVA (Joint Venture Agreement) and not amended by the supplemental JVA, we opine to retain this line. The clause is still in force, Mr. Nakatani."

1 Pengakuan 9 LuahanWhere stories live. Discover now