Part 10

6.8K 237 0
                                    

"CIK atau puan?" soal Hajar menyibuk mahu tahu status pembantu pengurus mereka yang baru. Manis bergula orangnya. Kalau lelaki tengok boleh kena kencing manis.

"Panggil je Zeen. Simple," balas Aazeen tersenyum menutup segalanya. Mata dikerling pada bilik yang tertutup. Nasib baik bilik itu bukan bilik kaca. Dan nasib juga bilik itu kalis bunyi. Jika tidak pasti jatuh air mukanya.

"Zeen," ajuk Jijah. Terasa ada saingan melihat manisnya gadis itu. Kurang senang rasa hati. Bukan lagi dia paling menawan di antara mereka bertiga. Kini berempat, dia jatuh di tangga kedua. Diperhatikan rupa paras gadis itu tidak lepas hingga Aazeen beriak kurang senang.

Aazeen bukan kategori yang dipanggil cantik. Namun manis wajah itu ketara. Sesiapa yang melihat pasti suka. Mudah untuk buat orang dekat. Ada tarikan di situ. Langsung tiada riak sombong di wajah itu.

"Dah jumpa bos kan tadi?" sampuk Zimah pula.

"Dah," balas Zeen pendek.

"Bos tu garang. Dia benci perempuan tau. Sebab tu single but not available sampai hari ni. Jangan buat silap depan dia. Kalau bertempik... guruh pun kalah," ucap Jijah konon mahu menakutkan.

Aazeen tersenyum pahit. Tidak perlu pun diberitahu. Dia sudah pun terkena. Benci perempuan? Satu-satunya perempuan yang dibenci pastinya dia. Yang lain hanya terkena tempias. Rasa bersalah menjentik hati.

Sungguh jauh perbezaan lelaki itu hari ini. Bagaikan lelaki asing. Langsung tidak sama dengan lelaki yang dikenalinya suatu ketika dulu. Lelaki yang dulunya ramah memikat hatinya kini penuh dengan marah dan dendam. Diakah yang mengubah lelaki itu?

Terlalu sakitkah perpisahan mereka hingga lelaki itu berubah laku? Kalau hanya dirinya yang dibenci, dia mampu menerimanya. Namun apa perlu orang lain yang terkena tempiasnya? Apa perlu berubah begitu drastik? Dia tak sepatutnya menjadi begitu penting dalam hidup Ishaq.

Dia mengharapkan lelaki itu hidup bahagia. Mengharapkan luka yang ditaburnya punya penawar. Tempat yang ditinggal kosong punya pengganti. Terlalu lama perpisahan ini. Dia menyangka Ishaq sudah melupakannya. Sudah berumah tangga. Punya isteri yang cantik di sisi. Punya anak-anak yang comel. Biar hanya dia yang terperangkap di dalam memori dan rasa bersalah yang tak pernah hilang.

Siapa sangka sebaliknya yang terjadi. Tidak dapat dibayangkan betapa hati itu bernanah kerna dendam. Maafkan Zeen, abang. Hati merintih lagi.

"Bos kita betul-betul garang. Dah ramai assistant manager lari sebab dia. Kitorang harap Zeen tak cepat lari," tukas Hajar penuh mengharap. Sekurang-kurangnya bila ada pembantu pengurus tidaklah mereka terus kena menghadap Ishaq. Boleh gunakan Aazeen sebagai penghadang. Biar hanya Aazeen yang kena tempiasnya.

"Jangan risau. I takkan lari. Garang macam mana pun... I nak kerja lama kat sini," ucapnya lembut.

"Jaga-jaga. Dia garang macam naga. Tak senang nak tepis api marah dia tu," cucuk Jijah cuba menakutkan. Mana tahu cepat lari.

Pembantu pengurus yang sebelum ini tak ada yang cantik atau manis. Biasa-biasa sahaja. Dia langsung tak rasa tergugat. Aazeen berbeza. Manisnya buat lebah mahu dekat. Sekali bos yang garang pon boleh cair dibuatnya. Manalah tahu. Bos mereka pun lelaki juga.

"Kalau dia api... I boleh aje jadi airnya," balas Aazeen selamba dapat mengenal musuh yang hadir. Sekilas ikan di air dia boleh baca Jijah tak senang dengan kehadirannya.

Suka atau tidak, dia tidak peduli. Dia di sini untuk bekerja. Dan itu yang akan dilakukannya. Mahu ketawa dengan bicara sendiri. Jadi air untuk Ishaq? Tak mungkin terjadi. Dia hanya mampu jadi tempat melepas marah lelaki itu. Dia mahu lelaki itu menghilangkan dendam di hati. Jika dengan melampiaskan marah dan dendam itu padanya baru hati lelaki itu tenang, dia lebih dari sanggup menerima. Mungkin dengan itu Ishaq mampu memaafkannya dan mereka mampu melupakan kisah yang lalu.

MATANYA tidak lepas memerhatikan wajah manis yang begitu tenang berbicara dengan staf-staf bawahan. Langsung tiada kesan mendung yang bersisa. Begitu mudah reaksi si gadis berubah. Semudah mengkhianati cinta mereka.

Dari wajah turun pula pada susuk tubuh yang menonjol. Sejak bila gadis itu makin seksi? Dahulu penampilan si gadis cukup berbeza. Lebih selesa dengan jeans lusuh atau seluar track. T-shirt lengan panjang yang dan tudung bawal yang disebai di bahu. Tidak pernah mengikut fesyen semasa.

Dia langsung tidak kisah dengan penampilan begitu. Tetap manis di mata. Jauh berbeza dengan penampilan hari ini. Menyakitkan mata. Bagaikan cuba menggoda lelaki lagak perempuan murah. Memang pun murah. Perempuan yang menggadai cinta demi duit.

Makin dipandang makin hatinya bernanah. Wajah itu tampak tenang. Tampak bahagia. Bagai tidak punya sebarang masalah. Senang benar hidup gadis itu. Tentunya sudah lupa kisah mereka. Almaklumlah menyambut tangan lelaki kaya. Hidup tidak perlu risau apa-apa.

Sudah punya anakkah? Figura masih seperti dara. Lebih 5 tahun berlalu. Takkanlah belum berkahwin dengan lelaki kaya itu? Atau terlalu pandai menjaga tubuh. Senang untuk menggoda lelaki. Darahnya kembali mendidih membayangkan yang bukan-bukan.

Kenapa dia perlu muncul? Kenapa perlu muncul di sini? Untuk apa bekerja lagi sedangkan punya lelaki yang kaya mampu memberikan segalanya? Tiada alasan untuk muncul di sini setelah bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu bukan untuk bertemunya. Takkanlah sudah bercerai pula? Tak mungkin! Lelaki mana yang sanggup melepaskan gadis semanis Aazeen. Mana-mana lelaki pun pasti mahu dekat. Aazeen yang manis. Aazeen yang manja. Aazeen yang membuai hati lelaki.

Dia sudah terkena penangan kemanisan gadis itu. Dia sudah tertipu. Mungkin Aazeen sekali lagi bermain kayu tiga. Tak cukup dengan satu. Mahu mengejar yang lebih kaya. Mahu melangkah lebih jauh. Lalu meninggalkan dahan yang lama. Mencari dahan baru yang lebih teguh. Dasar perempuan murah! Pisau cukur!

PERTEMUAN KALI INIWhere stories live. Discover now